TEMBERANG atau kebenaran. Itu persoalan yang berlegar-legar di kotak fikiran penduduk Tenang, Johor, apabila mendengar ceramah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, baru-baru ini.
Bagi penduduk di Tenang, apa yang keluar dari mulut Setiausaha Agung DAP itu mungkin benar dan mungkin tidak. Tetapi, sudah tentu ada yang mempercayainya.
Dengan gaya bersahaja tetapi penuh sindiran dan ‘tembakan’ ke atas Barisan Nasional (BN), tidak pelik jika ada yang termakan dengan kata-kata Guan Eng. Tambahan lagi, jika beliau memaklumkan betapa prihatinnya kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap usaha membela sekolah agama rakyat di Pulau Pinang, membantu warga emas dan waris masing-masing.
Tetapi, persoalannya adakah Kerajaan Pusat selama ini tidak melakukan usaha bagi memartabatkan sekolah agama rakyat serta membantu warga emas dan golongan kurang bernasib di Pulau Pinang? Kalau nak dihitung bantuan Kerajaan Pusat, tidak terkira banyaknya kerana melakukannya sepanjang masa demi rakyat. Malah, tidak keterlaluan kalau nak dikatakan apa dilakukan kerajaan Pulau Pinang seperti ‘antah dalam segantang beras.’
Mengenali Guan Eng yang hampir tiga tahun menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau sememangnya akan ‘menjaja’ perkara yang boleh menggembirakan rakyat apabila berhadapan dengan orang ramai untuk mengejar publisiti walaupun apa yang dilakukan tidaklah seberapa. Malah, kerajaan pimpinannya dilihat mempunyai agenda tersembunyi supaya dilihat baik dan hebat di mata rakyat. Mahu dilihat sebagai ‘hero’ kepada rakyat Pulau Pinang.
Dengan mengkritik dan mencari kesalahan pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu pimpinan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, kerajaan DAP Pulau Pinang lebih mudah mendapat kepercayaan rakyat walaupun belum terbukti kebenarannya.
Itu adalah antara perkara yang sering dilakukan oleh kerajaan negeri, tetapi bagaimana pula dengan kegagalan mereka untuk mengambil tindakan atau melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan. Barisan kepemimpinan kerajaan negeri sebenarnya lupa bahawa mereka bukan lagi pembangkang, tetapi pemerintah yang perlu menunaikan amanah rakyat.
Di sebalik keghairahan ‘mengangkat bakul sendiri’, sebenarnya kerajaan DAP Pulau Pinang tidak melaksanakan pembangunan untuk rakyat sepanjang hampir tiga tahun memerintah. Kebanyakan usaha pembangunan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat melalui agensinya. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), Kerajaan Persekutuan membelanjakan kira-kira RM7.2 bilion untuk projek pembangunan dan fizikal di Pulau Mutiara.
Kerajaan Pusat membina Jambatan Kedua Pulau Pinang dengan kos kira-kira RM5 bilion, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) (RM250 juta), pembesaran Jambatan Pulau Pinang (RM545 juta), penubuhan Rapid Penang Sdn Bhd (Rapid Penang) yang menyediakan perkhidmatan bas henti-henti bagi memodenkan pengangkutan awam, pembesaran Pelabuhan Pulau Pinang dan pelbagai lagi usaha untuk manfaat rakyat, khususnya warga Pulau Pinang. Adakah ini dianggap jasa kerajaan DAP Pulau Pinang?
Mungkin ramai yang tidak menyedari kerajaan DAP Pulau Pinang sebenarnya ‘bertuah’ apabila berjaya menawan Pulau Pinang kerana barisan kepemimpinan kerajaan negeri tidak perlu bersusah payah untuk memajukan negeri kerana segala-galanya sudah terbentang di depan mata. Semuanya hasil usaha BN.
Bermula dengan mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang melakukan transformasi dan era perindustrian dengan membawa masuk syarikat gergasi dari seluruh dunia pada 1970-an, membina infrastruktur dan ikon hebat – Jambatan Pulau Pinang dan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) selama 21 tahun dan disambung oleh Tsu Koon selama 18 tahun lagi, Pulau Mutiara, kalau diibaratkan sebagai sebuah rumah, ia sudah hampir siap.
Penat lelah kedua-dua tokoh itu selama 39 tahun yang mendapat sokongan Kerajaan Pusat, berjaya menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri maju. Apabila pakatan pembangkang mengambil alih, mereka tidak perlu bekerja kuat seperti kerajaan terdahulu kerana segala-galanya sudah ada. Cuma, perlu diperbaiki di mana yang kurang dan dimantapkan lagi.
Lantaran itu, kerajaan DAP Pulau Pinang menggunakan peluang itu untuk mengeksploitasi sepenuhnya peluang yang ada bagi menunjukkan kepada rakyat, kononnya merekalah yang mengusahakannya segala-galanya. Lihat saja pengisytiharan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, pelaburan berjumlah RM10.2 bilion pada 2008 dan RM12.23 bilion pada 2010, Pulau Pinang sifar miskin tegar pada 2009, adakah itu jasa kerajaan DAP Pulau Pinang? Hanya orang buta sejarah yang mengakuinya.
Bukankah BN sudah berusaha berpuluh tahun untuk mencapai semuanya itu? Mana mungkin kerajaan pimpinan Guan Eng yang baru berusia 34 bulan mampu melaksanakannya. Siapa yang mengambil kredit daripada pencapaian cemerlang itu? Janganlah jadi ‘lembu punya susu, sapi dapat nama.’
Sudah menjadi kelaziman barisan kepemimpinan negeri untuk menjaja perihal cerita kehebatan mereka. Mereka tidak pernah bosan untuk mengulangi kejayaan yang boleh dianggap sebagai ‘kisah dongeng.’ Ungkapan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang didakwa menjadi prinsip pentadbiran kerajaan, tidak pernah lekang dari tutur kata mereka.
Mengimbas kembali kepada peristiwa yang berlaku di Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu, menunjukkan banyak kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri yang boleh menjadi renungan rakyat untuk jangka masa panjang.
Guan Eng sendiri sering mendakwa bahawa kerajaannya mengamalkan ketelusan, tetapi apa sebenarnya dilakukan tidaklah membuktikan amalan itu. Contohnya, sebelum memegang tampuk kuasa, mereka berjanji untuk mewajibkan Exco kerajaan negeri mengisytiharkan harta kepada umum. Tetapi, sehingga kini belum dilaksanakan. Apabila ditanya bila hendak dilaksanakan, pelbagai jawapan ‘putar belit’ diberikan termasuk meminta Kerajaan Pusat melaksanakannya terlebih dulu.
Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kecekapan dalam banyak perkara termasuk soal pelantikan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Kerajaan negeri dilihat tidak cekap dalam hal ini kerana mengejar kepentingan politik, bukannya akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Ketua Agama Islam di Pulau Pinang untuk melantik bekas Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia, Ellias Zakaria.
Sekiranya kerajaan negeri cekap, kontroversi pelantikan Ellias tidak berlaku dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidaklah memberi janji palsu kepada pengundi di DUN Permatang Pasir ketika pilihan raya kecil pada Ogos 2009. Anwar dalam satu majlis yang dihadiri Guan Eng, berjanji untuk melantik calon PAS pada pilihan raya kecil itu, Mohd Salleh Man menerajui MAIPP sekiranya menang.
Tetapi, akhirnya Ellias dilantik kerana sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dulu walaupun Mohd Salleh menang pilihan raya kecil itu. Sebagai ‘sagu hati’ kepada penyokong PAS dan menutup ‘malu’, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu dilantik sebagai Timbalan YDP MAIPP. Kalau kerajaan negeri cekap, masalah itu tidak berlaku kerana Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan pelantikan Ellias.
Kepincangan terbaru kerajaan negeri ialah salah guna kuasa sesetengah pemimpin pakatan pembangkang yang dilihat melampau serta bertindak memilih bulu. Misalnya, Setiausaha Politik Guan Eng, Ng Wei Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar daripada DAP, bertindak campur tangan dalam tugasan penguatkuasaan MPPP ke atas restoran nasi kandar.
Meskipun Wei Aik melanggar peraturan, tetapi Guan Eng hanya membisu dan tiada tindakan diambil ke atas wakil rakyat kesayangannya itu. Adakah Wei Aik terlalu kebal sehingga tiada tindakan diambil walaupun terbukti mencampuri urusan pihak berkuasa tempatan.
Walaupun kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa mereka prihatin terhadap nasib rakyat dan tidak meminggirkan orang Melayu, kenapa tindakan kerajaan negeri dilihat dilakukan secara berpilih. Lihat saja tindakan penguatkuasaan dan perobohan gerai peniaga dan penjaja Melayu, cadangan pengambilan tanah di Balik Pulau yang majoritinya dimiliki oleh orang Melayu untuk dijadikan tapak hab pendidikan. Sebahagian penduduk Kampung Buah Pala yang tidak mendapat sebarang pampasan walaupun tempat tinggal mereka sudah ‘berkubur.’
Kalau benar kerajaan negeri berjiwa rakyat, cadangan pengambilan tanah di Kampung Genting dan Pondok Upeh, Balik Pulau perlu dibatalkan. Jika diteruskan, ia umpama ‘merampas’ tanah rakyat yang rata-rata miskin yang mendiami kawasan itu. Kenapa kerajaan negeri tidak mengambil tanah lain yang tidak berpenghuni atau menambak kawasan paya. Di manakah keikhlasan kerajaan negeri?
Bagaimanapun pula dengan isu tanah Lot 21 dan Lot 22 yang dicadangkan sebagai tapak kubur bagi mengatasi kesesakan Tanah Perkuburan Islam Jelutong ketika era pentadbiran BN, yang kini diluluskan untuk dimajukan sebagai tapak kediaman mewah. Kenapa harapan ribuan umat Islam Jelutong untuk mendapat tanah perkuburan yang lebih selesa, kini digantung tanpa bertali. Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah itu, sedangkan Lot 21 dan Lot 22 akan dimajukan pada bila-bila masa saja.
Kerajaan negeri juga sentiasa bercakap kononnya mahu mencontohi pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz tetapi pada masa tidak menunjukkan ke arah itu. Lihat saja dari segi kelulusan lesen rumah urut dan pusat hiburan awam yang diluluskan sepanjang 2008 dan 2009 yang masing-masing berjumlah 96 dan 1,376. Sepatutnya, perkara yang membawa kepada keruntuhan moral ditangani, bukannya terus mendapat galakan.
Sebenarnya, omongan kepemimpinan kerajaan DAP Pulau Pinang bahawa pentadbiran mereka menjadi model kepada pemerintahan kerajaan pakatan, bukanlah gambaran tepat dan lebih bersifat untuk mencari publisiti bagi memenangi hati rakyat. Sandiwara mereka dan dasar tersurat mereka sekadar untuk mengaburi mata rakyat bagi melindungi agenda yang tersirat.
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.