Saturday, January 1

Realiti Dan Fantasi 2011


ANTARA realiti dan fantasi. Itulah dua pilihan yang ada dalam kalangan rakyat Malaysia apabila mereka melangkah masuk ke tahun 2011 pada hari ini.

Realiti ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, manakala fantasi ditawarkan oleh pakatan pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu bercita-cita menjadi Perdana Menteri.

Sememangnya tahun 2011 bukan sahaja dilihat penting oleh BN, tetapi juga pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Justeru, sudah pastilah masing-masing mengatur strategi dengan matlamat untuk meraih sokongan rakyat bagi membolehkan mereka memerintah. Bagi BN, seperti kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, tahun 2011 menjanjikan cabaran getir untuk mereka.

Ujian pertama akan bermula di Dewan Undangan Negeri Tenang yang bakal berlangsung pilihan raya kecil dan ia akan disusuli dengan pilihan raya negeri Sarawak yang paling lambat pun dijangka pada Julai ini dan seterusnya pilihan raya umum.

Berdasarkan cabaran-cabaran berkenaan, sudah tentulah BN perlu menyusun strategi terbaik bagi memastikan kedudukannya dalam arena politik negara kukuh.

Biarpun dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini menyaksikan BN mencapai kejayaan, namun bak kata Hishammuddin ia bukanlah ukuran sebenar, banyak lagi yang perlu dilakukan.

Najib dijangka melancarkan pelan transformasi politik (PTP) yang akan membantu memperkukuhkan lagi gerak kerja BN bagi mencatatkan kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun apa pun, ia bergantung sejauh mana pelan dan tindakan yang dirancang disambut oleh pemimpin serta ahli di peringkat akar umbi kerana merekalah bakal menyampaikan secara langsung kepada rakyat.

Oleh itu, fajar 2011 perlu disambut dengan keazaman yang tinggi oleh pemimpin dan ahli BN untuk memperkukuhkan parti.

Tumpuan sudah pasti diberikan kepada pengukuhan kedudukan BN di negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Sementara Perak juga akan termasuk dalam perhitungan selepas negeri itu terlepas 11 bulan kepada pembangkang.

Bagi mencapai cita-cita menawan kembali negeri-negeri berkenaan, ahli-ahli BN termasuklah UMNO perlu menyingkirkan segala tindak-tanduk politiking sesama sendiri. Ini termasuklah tidak mengamalkan cah keting, tikam belakang dan memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Pengumuman Najib mengenai pengerusi perhubungan UMNO negeri baru-baru ini sepatutnya menamatkan segala spekulasi sekali gus membolehkan UMNO memberi tumpuan sepenuhnya bagi menyusun strategi bagi menghadapi pilihan raya.

Sama ada pelantikan yang dibuat disenangi atau tidak, ia seharusnya tidak lagi menjadi persoalan kerana Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO sudah membuat keputusan berdasarkan pelbagai pertimbangan yang mendalam.

Oleh itu, tidak perlulah ada mana-mana pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat negeri merajuk atau ingin membawa diri, kalau begitulah sikap mereka biarkan sahaja. UMNO sudah tidak ada masa lagi untuk pujuk memujuk pemimpin seumpama itu kerana apa yang lebih penting ialah perjuangan parti.

'Musuh politik' BN dan UMNO ialah PKR, DAP dan Pas yang sudah meletakkan sasaran PRU-13 sebagai landasan untuk mereka menawan Putrajaya. Oleh itu, pemimpin dan ahli BN perlu membuat persediaan bagi berhadapan dengan serangan pembangkang yang sudah pasti lebih hebat demi mencapai cita-cita politik mereka dan bukannya membuang masa melayan kerenah memualkan dalam parti sendiri.

Pembangkang awal-awal lagi mengemukakan pelbagai janji kepada rakyat jika mereka diberi peluang memerintah, sama ada janji itu mampu ditunaikan atau tidak, itu soal kedua. Apa yang penting rakyat perlu dipengaruhi bagi membolehkan sokongan diraih. Sebenarnya, BN tidak boleh memandang remeh apa yang dilakukan oleh pembangkang itu kerana dalam tahun 2008, politik persepsi serta 'mengula-gulakan' rakyatlah yang menjadi punca BN kehilangan kuasa di beberapa negeri dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN perlu mempertingkatkan usaha menyakinkan rakyat terhadap realiti yang ditawarkan oleh parti, masa depan negara tidak boleh digadaikan kepada satu pakatan yang terlalu gilakan kuasa semata-mata.

Turut menjadi perhatian pada 2011 ialah sejauh mana kerjasama PKR, DAP dan Pas mampu bertahan dalam usaha mereka mewujudkan satu barisan alternatif.

Setakat ini, segala-galanya dicorakkan oleh PKR dan DAP manakala Pas menjadi pak turut sahaja. Oleh itu, ramai yang ingin melihat apakah pendirian Pas seterusnya.

Sikap PKR dan DAP yang melakukan apa sahaja tindakan semata-mata kerana kuasa dikatakan tidak sehaluan dengan Pas, biarpun ada sebahagian pemimpin parti itu mengiakan saja apa kata PKR dan DAP demi menjaga hubungan serta meraih kuasa.

Sudah terdapat arus di dalam Pas yang mahu parti itu keluar daripada pakatan dan berjuang sendirian. Ia kerana mereka amat memahami selagi Pas berada dalam gabungan berkenaan, PKR dan DAP sudah pasti tidak akan membiarkan Pas menjadi sebuah parti yang dominan.

Hakikatnya, corak politik yang diamalkan oleh PKR dan DAP tidak sesuai dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas tetapi entah mengapa Pas mahu juga bertahan untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti tersebut.

Keadaan itu menyebabkan ramai beranggapan bahawa Pas sudah kehilangan rasa yakin diri, tidak seperti mana suatu ketika dulu.

Malahan lebih bahaya daripada itu, Pas dikatakan akan mengalami kerugian lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang berbanding dengan PKR dan DAP.

Bagi PKR pula, parti itu akan melangkah ke tahun baru dengan seribu satu masalah. Krisis keyakinan bukan sahaja membelenggu ahli-ahlinya, malah juga pemimpin mereka.

Sebab itulah, kita menyaksikan hari demi hari ada sahaja pemimpin atau ahli PKR meninggalkan parti tersebut. Ini kerana mereka semakin menyedari bahawa perjuangan PKR hanya untuk kuasa dan segala yang dibentangkan kepada rakyat hanya sekadar janji-janji yang sukar ditunaikan.

Apa yang berlaku Selangor, contohnya sudah menjadi bukti bahawa PKR tidaklah sehebat mana. Oleh itu, rakyat perlu mengkaji dengan sebaik-baiknya segala usaha yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh kepimpinan Najib dan bukannya berkhayal dengan janji-janji kosong pembangkang.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.