Thursday, February 3

Kemelut Wang Ihsan.


SUDAH lebih dua bulan banjir besar yang melanda Kedah berlalu. Namun, kesan bencana yang disifatkan paling dahsyat dalam tempoh 40 tahun itu masih dirasai apabila dilapor melumpuhkan lima daerah meliputi Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Nerang, Kuala Kedah dan Pendang. 

Apa pun, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kedah pada 9 Disember lalu membawa khabar gembira apabila beliau mengumumkan bantuan wang ihsan RM500 kepada 32,000 keluarga yang dikenal pasti sebagai mangsa banjir di Kedah dan Perlis



Wang ihsan itu yang disalurkan melalui peruntukan berjumlah RM30.6 juta disifatkan rahmat oleh semua mangsa banjir, terutama dalam membantu meringankan beban ditanggung untuk memulakan kehidupan baru selepas dilanda bencana.
Namun, sejak lebih seminggu lalu berita kurang enak mula kedengaran. Majlis Keselamatan Negara (MKN) dikatakan lewat menyerahkan agihan wang ihsan kepada kira-kira 16,000 mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara, sehingga menimbulkan persoalan banyak pihak. 

Malah, tidak kurang menuduh pihak berwajib sengaja melarikan peruntukan berkenaan untuk dinikmati sendiri, tanpa mengambil kira keadaan mangsa yang begitu memerlukan. 

Justeru, tidak hairan lebih 50 penduduk dilapor menyerbu Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Banjir Negeri Kedah, Ahad lalu untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu. 

Namun, di sebalik kekalutan itu, MKN kemudian tampil mendedahkan punca sebenar kelewatan pengagihan disebabkan wujud unsur penipuan dalam permohonan bantuan wang ihsan disumbangkan Kerajaan Pusat di Kedah yang dihidu sejak Disember lalu. 
Penolong Setiausaha MKN negeri, Mejar Haris Mohamed Padzilah, ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya mengesan sebahagian nama yang mencurigakan dalam senarai penerima bantuan wang ihsan, sehingga memaksa semakan terperinci. 

Katanya, MKN sudah menjelaskan, sumbangan wang ihsan akan disalurkan hanya kepada setiap ketua keluarga. 

Bagaimanapun data diterima menunjukkan ada keluarga yang mendaftar lebih daripada satu permohonan dengan nama ahli keluarga berbeza. 

“Misalnya, selain suami, ada nama isteri dan anak tinggal serumah turut mendaftar untuk mendapatkan bantuan. Keadaan itu memaksa MKN menyemak semua senarai yang mencurigakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bagi mengesahkan identiti keluarga berkenaan yang secara tidak langsung menyebabkan kelewatan,” katanya. 

Persoalan sekarang, kenapa perkara sebegini boleh timbul sedangkan syarat pengagihan wang ihsan sudah terlebih dulu dinyatakan kepada semua termasuk JKKKP yang diberi kuasa melakukan bancian mangsa banjir. 

Mungkinkah ia betul-betul membabitkan kesilapan atau mungkinkah ia sebenarnya kesilapan yang disengajakan? Apa yang pasti, pendedahan dilakukan MKN mampu menjawab segalanya. 

MKN sendiri percaya ia bukan kesilapan yang tidak disengajakan, sebaliknya dilakukan sesetengah pihak dengan niat mengambil kesempatan daripada bantuan Kerajaan Pusat itu. 

Persoalannya, di mana naluri kejujuran mangsa banjir terbabit? Adakah nilai murni dan kejujuran tidak lagi penting sehingga ada yang membenarkan tamak menguasai diri sekali gus mengenepikan etika dan akhlak? 

Walaupun kes ini bukan dalam kategori jenayah yang boleh dikenakan hukuman namun perbuatan itu hakikatnya tidak wajar dilakukan. Ia sebenarnya menyusahkan banyak pihak dan mencerminkan pemikiran cetek individu terbabit. 

Bayangkan jika perbuatan itu tidak dikesan. Apa nasib mangsa banjir, terutama yang diklasifikasikan sebagai golongan terdesak dan amat memerlukan, jika peruntukan yang sepatutnya mereka terima diambil individu yang tidak sepatutnya menerimanya. 

Juga, bayangkan kesukaran MKN mengesan 10,000 kes pendaftaran berulang menerusi sistem pangkalan data yang dikemas kini melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKKKP dan MKN sendiri. 

Banjir buruk melanda Kedah baru-baru ini menyebabkan lebih 100,000 mangsa di lima daerah terjejas. Tanaman padi juga dilapor mengalami kerosakan sehingga pesawah menanggung kerugian keseluruhan mencecah RM50 juta. 

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.