Monday, February 21

'you must take your work seriously but don't take yourself seriously'

NAJIB bergambar bersama rakan internetnya di Facebook dan Twitter sempena Jamuan Petang 1Malaysia Perdana Menteri Bersama Rakan Internet di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.


Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau harus memastikan setiap keputusannya selaku Perdana Menteri adalah tepat tanpa sebarang ruang untuk berlaku kesilapan kerana kesannya bukan saja menjejaskan dirinya, sebaliknya boleh memudaratkan rakyat dan negara.
Beliau berkata, apabila mencapai tahap tertentu, terutama kedudukan tertinggi dalam negara, seseorang yang perlu membuat 10 keputusan mesti pastikan kesemuanya tepat kerana sekiranya berlaku satu kesalahan sekali pun, ia mungkin kesilapan yang amat merugikan pelbagai pihak.


“Justeru, untuk mengelakkan keputusan yang salah, kita perlu berfikiran rasional. Saya sudah lama dalam politik, dah 35 tahun, saya melalui macam-macam keadaan dan krisis politik. Saya sudah lihat semuanya. Jadi sebagai Perdana Menteri, saya sedia hadapi apa saja cabaran supaya semua keputusan saya adalah amat tepat, insya-Allah. 

“Saya selalu ingatkan diri untuk memastikan semua keputusan 100 peratus tepat setiap kali. Saya juga tak boleh nampak menggelabah atau cemas kerana dalam apa juga keadaan, kita sebagai kuasa muktamad membuat keputusan negara perlu sentiasa tenang.

“Kalau kita bertenang, kita boleh berfikir. Kalau kita panik, cemas atau menggelabah, kita tidak boleh berfikir secara rasional,” katanya ketika sesi dialog sempena Jamuan Petang 1Malaysia Perdana Menteri Bersama Rakan Internet di Seri Perdana, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Naserudin Abd Fatah dari Perak iaitu seorang daripada lima jemputan yang terpilih bagi mengajukan soalan kepada Perdana Menteri pada majlis minum petang itu. 
Kira-kira 600 rakan internet Perdana Menteri berusia antara 16 hingga 72 tahun dari seluruh negara, termasuk yang mengikuti laman blognya, www.1malaysia.com.my atau menerusi laman sembang Facebook dan Twitter menghadiri majlis jamuan petang itu.

Jamuan seumpamanya yang julung kali diadakan pada 13 Mac 2010 dihadiri kira-kira 300 rakan internet beliau. Majlis semalam yang sepatutnya diadakan 5 November tahun lalu itu terpaksa ditangguhkan kerana Perdana Menteri terkena jangkitan cacar air.

Najib berkata, beliau juga menjadikan petikan dalam buku karya Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Colin Powell iaitu 'you must take your work seriously but don't take yourself seriously' (anda mesti mengambil serius mengenai kerja tapi jangan mengambil serius mengenai diri sendiri).

“Maknanya anda mesti ada masa untuk berehat, ada masanya orang ramai perlu memahami yang saya perlu bersenam, perlu menggunakan treadmil dan sekali sekala bermain golf tetapi saya memberi jaminan kepada anda semua bahawa saya mengambil serius mengenai kerja yang perlu dilakukan,” katanya.

Menjawab soalan Ainul Aizat Ishak dari Kuala Lumpur mengenai minatnya terhadap muzik pula, Najib berkata beliau sukakan muzik era 70-an dan 80-an selain beberapa lagu Melayu terkini tetapi tidak begitu menggemarinya sehingga boleh menamakan tajuk lagu.

Menjawab soalan John Britto Victor Arokiasamy dari Kedah mengenai cabaran dan halangan mencapai gagasan 1Malaysia, Perdana Menteri berkata, masyarakat pelbagai kaum perlu melakukan perubahan minda untuk melepasi tiga tahap sebelum menzahirkan perpaduan sebenar, bermula dengan kesediaan bertolak ansur antara kaum lain. 

Kepada soalan Mohammad Ayzuddin Bujang dari Negeri Sembilan mengenai negara maju berpendapatan tinggi, Najib berkata, apa yang dimaksudkan itu sudah jelas cuma perlu diterjemahkan bagaimana mencapai status itu menjelang 2020.

Menjawab soalan Mohd Sulaiman Gerrard Abdullah dari Selangor pula, Perdana Menteri berkata, konsep yang sama dapat memajukan sukan negara, khususnya bola sepak yang menjadi sukan nombor satu negara.

Menjadikan Piala AFF Suzuki yang dijuarai Malaysia tempoh hari, Najib berkata kejayaan itu tidak datang sekelip mata, sebaliknya adalah perancangan jangka panjang yang teliti.

"Kalau kita lihat skuad Harimau Malaya yang memenangi pertandingan itu, 17 daripada 25 pemainnya bersama sejak Tingkatan Tiga lagi di Sekolah Sukan Bukit Jalil yang saya tubuhkan sewaktu menjadi Menteri Belia dan Sukan,” katanya.

"Inilah yang saya minta daripada rakyat Malaysia, selaku Perdana Menteri saya sudah lakarkan hala tuju masa depan negara dan segenap lapisan rakyat perlu bekerjasama mengukuhkan asas dan melakukan pengisian yang perlu bagi menjamin kejayaan jangka panjang," katanya. 

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.