Friday, April 1

Penduduk Satok Gembira Wakil Rakyatnya Disebut-Sebut Bakal KM


Satok yang terkenal dengan Pasar Minggunya adalah sebuah kawasan yang sunyi meskipun terletak berhampiran bandar raya sibuk.
Namun, mutakhir ini, kawasan itu kecoh apabila cakap-cakap yang mengatakan bahawa Ahli Dewan Undangan (ADUN) Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merupakan salah seorang calon yang diuar-uarkan bakal mengambil alih kerusi Ketua Menteri.
Kalangan pengundi yang rata-ratanya dari golongan Melayu berpendapatan sederhana berasa teruja dengan khabar angin itu dan ingin melihat anak jati Satok menjadi pengganti Ketua Menteri.
Abang Johari merupakan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar dan sudah berkhidmat sebagai ADUN Satok selama lima penggal.
Di kedai kopi dan warung, pengundi lebih gemar berbicara mengenai kemungkinan Abang Johari menjadi Ketua Menteri baru berbanding pilihan raya akan datang.
Walaupun pilihan raya negeri amat ditunggu-tunggu semua, orang ramai ternyata lebih minat berbincang mengenai 'isu' Abang Johari.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mencalonkan seorang peguam Ahmad Nazib Johari, 35, menentang Abang Johari.
Pada pilihan raya negeri 2006, Abang Johari menewaskan calon PKR, Mohamad Jolhi dengan majoriti 2, 798 undi.
Khabar angin yang mengatakan Abang Johari antara calon yang dikaitkan untuk mengganti Tan Sri Abdul Taib Mahmud turut disambut baik penduduk lama Kampung Bintangor di Satok, Jamel Mustapha.
"Siapa yang tidak gembira apabila wakil rakyat menjadi Ketua Menteri? Saya gembira. Jika beliau menjadi Ketua Menteri, ia saat membanggakan orang Melayu di Sarawak," kata bekas pesara Polis Marin itu.
Jamel yang sudah menetap di Satok lebih 40 tahun berkata, dia amat menyenangi usaha Barisan Nasional (BN) dan Abang Johari untuk membangunkan kawasan tersebut.
"Bila waktu pilihan raya, baru pembangkang nampak. Sidaknya nyuruh kamek nukar 'baju baru'. Tapi belum tentu 'baju baru' nyaman.(Kelibat pembangkang hanya akan kelihatan menjelang pilihan raya. Mereka menyuruh kami bertukar parti. Namun, belum pasti parti baru itu menyenangkan.)
"Oleh itu, kami tetap mengundi BN. Kami yakin dengan mereka dan Abang Jo berkhidmat kepada kami dengan baik," katanya.
Sementara itu, Salim Zaini berkata walaupun ada segelintir pengundi di Sarawak menyokong pembangkang, situasi akan berubah apabila menjelang hari pengundian.
"Mulut jak cakap lain tapi tangan pangkah lain. (Di mulut mereka menyokong pembangkang tetapi tangan akan memangkah calon BN.)
"Kami ada mendengar cakap-cakap mengenai kemungkinan Abang Jo untuk menjadi Ketua Menteri baru.
"Walaupun ia betul pasti lagi, kami gembira jika ia menjadi kenyataan. Kami yakin dia boleh memimpin dengan baik memandangkan dia ahli politik lama. Kami turut menghormati bapanya (bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Openg Abang Sapiee)," jelasnya

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.