Saturday, June 4

Video Seks: Hishammuddin Dakwa Anwar Bermotifkan Dendam


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Jumaat, mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim bermotifkan dendam semasa mengucapkan kata-kata fitnah terhadapnya berhubung video seks yang dikatakan mirip aksi seorang pemimpin pembangkang bersama seorang wanita.
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan dan pembelaan Hishammuddin yang memohon agar Mahkamah Tinggi Sivil Baharu di sini untuk menolak pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan oleh Ketua Pembangkang itu terhadap saman fitnah beliau.
Selain itu, Hishammuddin selaku plaintif juga mendakwa, motif utama Anwar juga adalah untuk meluahkan kebencian peribadinya dan kata-kata itu diterbitkan dengan hasrat untuk merosakkan reputasinya sebagai menteri dan Naib Presiden UMNO.
Hishammuddin seterusnya mendakwa, kenyataannya bahawa orang yang merasakan diri mereka menjadi mangsa atau dibabitkan dalam video itu perlu membuat laporan polis diucapkan dalam keadaan perlindungan bersyarat dalam kapasitinya sebagai menteri.
Hishammuddin turut menafikan sebarang penyalahgunaan kedudukan atau jawatannya atau sebarang tindakan yang bertentangan dengan tugas dan tanggungjawabnya.
Sehubungan itu, plaintif memohon agar tuntutan balas Anwar selaku defendan pada 25 Mei lalu ditolak dengan kos.
Sementara itu, pada sebutan pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera pada Jumaat, kes itu ditetapkan sebagai sebutan semula pada 25 Julai depan di hadapan Hakim Datuk V. T. Singham untuk Anwar menjawab pembelaan tersebut.
Pertukaran hakim disebabkan Vazeer Alam pernah mewakili isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail semasa beliau menjadi seorang pengamal undang-undang.
Hishammuddin diwakili oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Sunil Abraham manakala Peguam Datuk S. Ambiga hadir bagi pihak Anwar.
Hishammuddin memfailkan saman pada 26 April lepas melalui Tetuan Zul Rafique & Partners kerana mendakwa Anwar telah mengeluarkan kata-kata fitnah itu semasa wawancara dengan media selepas membuat laporan polis pada 22 Mac lepas di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.
Beliau mendakwa, kata-kata fitnah itu antara lain bermaksud bahawa beliau bertanggungjawab menayangkan video itu kepada sekumpulan editor dan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lepas.
Selain itu, beliau juga mendakwa kata-kata fitnah itu kemudiannya diterbitkan secara meluas di media dan internet serta menyebabkan kerosakan teruk dari segi reputasi peribadi dan profesional.
Plaintif berkata, pernyataan yang dibuat oleh defendan adalah benar-benar palsu terhadap beliau dan tiada kewajaran serta berniat jahat untuk merosakkan reputasi, memalukannya sebagai ahli politik sehingga menyebabkan beliau telah diheret dalam skandal umum dan dibenci.
Sehubungan itu, beliau memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan injunksi bagi menahan Anwar sama ada dengan sendiri atau melalui ejennya, menerbitkan atau terus menerbitkan kata-kata itu yang menfitnahnya

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.