Monday, July 18
Usaha pihak tertentu semai elemen subversif di Malaysia mesti dihalang
Komunisme hari ini cuba direformasikan semula mengikut perubahan zaman. Ia disebut sebagai neokomunisme. ‘Neo’ bermaksud gaya baru atau bentuk baru. Jadi, neo-komunisme itu adalah bentuk baru dari komunisme asal yang dituliskan oleh Karl Marx (1818-1883) dan Frederich Engels (1820-1895).
Satu perbahasan menarik mengenai neokomunisme ialah wujudnya konsep ‘demokrasi komunis’. Namun, konsep demokrasi komunis lebih menekankan pada elemen substantif. ‘Demokrasi’ menurut komunis bermaksud mewujudkan ‘kepentingan terbaik’ bagi masyarakat. Bagi komunis ‘kepentingan terbaik’ itu adalah komunisme yang dapat mengakhiri penguasaan kapitalisme (William Ebestein, 1998).
Bagi komunis, mereka yang mengetahui ‘kepentingan terbaik’ untuk rakyat ialah minoriti kecil yang berkuasa dalam parti komunis. Justeru, dalam sistem komunis tidak wujud parti pembangkang kerana komunis adalah parti tunggal yang dianggap paling benar.
Di Indonesia gerakan neokomunisme dapat dikesan ketika Pilihan Raya Umum (Pemilu) 1999 dan 2004. Mereka cuba mengambil bahagian dalam sistem pilihan raya tetapi cubaannya itu tidak berhasil kerana masyarakat Indonesia tidak dapat menerima fahaman berjalur komunisme walaupun mereka cuba bertopengkan demokrasi.
Perlu diingat ketika era perjuangan komunis di Tanah Melayu dulu, pejuang komunis di Indonesia turut memasuki Tanah Melayu secara sulit dan membantu rakan komrad mereka di Tanah Melayu. Mereka digunakan untuk menarik sokongan orang Melayu. Justeru, tidak mustahil sejarah akan berulang kembali, apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan ini.
Di Eropah, parti berfahaman komunis mendapat sokongan tidak kurang 10 peratus. Oleh itu, tidak mustahil ejen neokomunisme antarabangsa berusaha gigih untuk menyuntik fahaman ini secara halus, terutama di negara di mana fahaman komunis pernah cuba diperjuangkan termasuk di tanah air kita sendiri. Buktinya, dalam kekalutan golongan tertentu untuk menganjurkan himpunan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), pihak keselamatan dapat menghidu penyusupan aktivis komunis luar yang turut memberikan sokongan kepada perhimpunan itu.
Penahanan ke atas mereka yang disyaki berfahaman komunis dari luar negara dan juga penahanan aktivis sosialis dalam negara membuktikan masih ada usaha pihak tertentu untuk menyemai elemen subversif di negara ini. Justeru, kebimbangan terhadap kembalinya fahaman komunis di tanah air ada asasnya. Ia bukan satu tuduhan melulu kerajaan.
Pendekatan mereka amat licik sehingga mereka yang terpengaruh dengannya tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya terperangkap dalam jerat anasir subversif itu. Pejuang neokomunisme gemar mewacanakan isu yang kononnya akan mereka perjuangkan untuk masyarakat marhaen yang kononnya diabaikan oleh kerajaan. Di antara dakyah gerak sarafnya ialah cuba menggambarkan bahawa kerajaan mengutamakan kapitalis walaupun pada realitinya kerajaan membawa program pembangunan yang meluas untuk rakyat dan negara.
Di Indonesia, ia disebarkan secara halus melalui forum dan diskusi tertutup serta program bedah buku dan penayangan filem berunsur perjuangan komunis. Hari ini penyebaran ideologi neokomunisme menjadi lebih mudah melalui jaringan media sosial. Di negara kita sendiri terdapat pelbagai media sosial yang memuatkan kritikan yang berunsur antifederalisme, antiraja berpelembagaan dan menghina Agong dan raja-raja. Mereka juga suka memperkecil-kecilkan pejuang tanah air yang banyak berkorban menentang kezaliman komunis.
Langkah pertama dalam pendekatan neokomunisme ialah mereka juga akan turut sama memperjuangkan hak kebebasan walaupun komunis sebenarnya antihak kebebasan. Tujuan sebenarnya adalah mereka mahu mengambil kesempatan untuk menyuntik fahaman komunisme secara halus sehinggalah akhirnya rakyat secara tidak sedar akan menyokong perjuangan mereka.
Satu lagi fahaman yang berkembar dengan komunisme ialah sosialisme. Bagi komunis masyarakat sosialis adalah tahap awal ke arah mewujudkan sebuah negara komunis. Justeru, dalam bukunya Manifesto Komunis, Karl Marx mengarahkan supaya semua komunis di seluruh dunia mengasaskan fahaman sosialisme kerana mewujudkan masyarakat sosialis adalah laluan penting ke arah mencipta masyarakat dan negara komunis.
Hari ini kita dapati suara sosialisme turut berkumandang di celah-celah suara yang memperjuangkan hak kebebasan. Peliknya, sejak PAS menyuarakan konsep ‘negara kebajikan’, kita dapati beberapa tulisan oleh mereka yang berfikiran sosialis memuji dan menyokong usaha PAS itu sedangkan golongan sosialis berpandangan sistem ekonomi tidak ada kaitannya dengan agama. Pelbagai persoalan timbul di sini.
Apakah mereka berpendapat bahawa PAS sudah meninggalkan kerangka agama dalam perjuangannya sehingga bersedia untuk menyokong idea ‘negara kebajikan’ PAS itu? Dulu ketika PAS memperjuangkan negara Islam mereka menentang habis-habisan. Mungkinkah mereka berpendapat apa yang diusulkan PAS itu selari dengan perjuangan sosialis? Tulisan mereka itu dimuatkan di beberapa akhbar tabloid dan media sosial yang pro pembangkang.
Melihat kepada situasi sekarang, gerakan neokomunisme seolah-olah berjaya mencampurbaurkan pelbagai kelompok ideologi politik di bawah BERSIH 2.0 dengan berselindung di sebalik tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Saya bukanlah anti kepada perhimpunan aman tetapi pada hemat saya, melalui perhimpunan seperti itulah mereka akan mengambil kesempatan menyemai fahaman radikal dan revolusioner.
Melalui cara ini juga mereka akan berusaha menyemai bibit pertentangan antara kerajaan dan rakyat. Ini bermakna teori pertentangan kelas cuba diaplikasikan oleh neokomunisme dalam masyarakat kita. Apabila sampai ke satu tahap di mana rakyat dan kerajaan sentiasa bertentangan atau berkonflik maka mudahlah bagi mereka memperoleh kekuatan dari akar umbi (rakyat) untuk menyokong tindakan radikal mereka bagi menggulingkan kerajaan.
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.