Wednesday, September 21

Guan Eng Berdepan Saman UMNO.



Semalam adalah hari terakhir bagi Ketua Menteri, Lim Guan Eng memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan UMNO Pulau Pinang dengan kejadian kebakaran Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang dan demonstrasi membantah kerajaan negeri yang berlaku pada Ogos dan Julai lalu. 

Sekiranya Setiausaha Agung DAP itu gagal berbuat demikian, UMNO negeri akan memfailkan saman malu sebanyak RM30 juta.

Sememangnya sudah dijangka, Guan Eng tidak akan meminta maaf walaupun beliau mempunyai masa tujuh hari untuk memikirkan semasak-masaknya dan diberi ruang seluas-luasnya untuk mempertimbangkan permohonan maaf serta menarik balik kenyataan itu.
Malah, tidak sampai dua jam selepas peguam yang dilantik UMNO menyerahkan notis tuntutan ke Pejabat Ketua Menteri pada 14 September lalu, Guan Eng menyatakan beliau tidak akan tunduk dan bersedia berjumpa UMNO di mahkamah. 

Guan Eng juga menegaskan beliau sedang melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan yang sama ke atas pemimpin UMNO yang didakwanya banyak membuat tuduhan ke atas kerajaan negeri. 

Kini, firma guaman yang dilantik oleh UMNO negeri untuk mengendalikan kes itu sedang membuat persediaan untuk memfailkan saman malu dan dijangkakan dilakukan pada awal bulan depan. 

Selain saman malu, UMNO Pulau Pinang juga membuat laporan polis berhubung kenyataan Guan Eng itu yang didakwa satu fitnah terhadap UMNO negeri dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 499 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sesungguhnya, UMNO Pulau Pinang tidak keseorangan untuk berdepan dengan pemimpin nombor satu Pulau Pinang itu kerana kepemimpinan peringkat Pusat memberi jaminan akan menghulurkan bantuan, seperti diakui Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Tindakan UMNO Pulau Pinang itu adalah satu keputusan tepat bagi menyelamatkan maruah parti daripada tercalar akibat tohmahan jahat pemimpin pakatan pembangkang yang dilihat berusaha menyemai kebencian serta membentuk persepsi rakyat bahawa UMNO adalah sebuah parti tidak bertanggungjawab. 

“Saya mengalu-alukan tindakan UMNO Pulau Pinang kerana kita bukan parti yang tidak bermaruah. Kita parti yang bermaruah. Kalau ada sesiapa yang membuat tohmahan kononnya UMNO terbabit dalam perbuatan membakar bangunan (Pejabat DAP), ini satu kenyataan buruk sangka dan fitnah. 

“Kalau kita tidak buat apa-apa nanti rakyat percaya bahawa perkara itu betul. Oleh itu, maruah kita kena jaga, tidak kira siapa yang buat tuduhan itu,” kata Muhyiddin yang mengulas perkara itu ketika melakukan lawatan kerja ke Pulau Pinang, Sabtu lalu. 

Sebenarnya tindakan undang-undang yang dimulakan itu sesuatu yang perlu kerana sejak memerintah Pulau Pinang kira-kira tiga tahun lalu, Guan Eng bersama barisan pemimpin negeri sering membuat tohmahan buruk dan menuding jari kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN) dulu. Apa saja masalah yang timbul, BN khususnya UMNO dipersalahkan dan dijadikan ‘budak belasahan’ bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka. 

Pada masa sama, pemimpin kerajaan negeri dulu, termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang kini masih memegang jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang, mengambil sikap berdiam diri dan seolah-olah mahu menyorokkan diri walaupun tohmahan yang dilemparkan tiada bukti dan tidak berasas. 

Kalau ada kenyataan balas sekalipun, ia tidak mampu untuk mengatasi tohmahan yang dilemparkan ke atas mereka. Inilah yang menyebabkan Guan Eng dan kuncu-kuncunya begitu berani dan ligat membuat ‘ulang tayang’ tuduhan serta memperlekehkan pentadbiran BN sebelum ini. 

Penafian yang dibuat secara lisan oleh pemimpin BN kepada media serta beberapa majlis bersama rakyat tidak banyak membantu memperbetulkan salah tanggapan rakyat yang mula termakan dengan kelentong pakatan pembangkang. 

Tiga setengah tahun rakyat Pulau Pinang disogok dan dimomokkan dengan tohmahan jahat seolah-olah BN tidak bermaruah serta tidak bertanggungjawab dan kesannnya semakin dirasai sekarang. 

Justeru, saman malu yang dimulakan oleh UMNO Pulau Pinang ke atas Guan Eng serta laporan polis itu boleh membuka mata rakyat dan berfikir bahawa tidak semua yang diucapkan oleh pemimpin kerajaan negeri boleh ditelan bulat-bulat. 

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.