Friday, September 16

Mat Sabu berguru dengan Hishamuddin?



Apa yang Mat Sabu merapu dalam ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang kira-kira tiga minggu lalu, kita semua sudah maklum. Kesannya beliau dikritik semua pihak, kecuali beberapa pemimpin Pas yang terpaksa mempertahankan Timbalan Presiden mereka.

Menarik ialah ucapan beliau menghina pemimpin negara dan anggota keselamatan yang memperjuangkan kemerdekaan dibuat pada 21 Ogos, iaitu 12 hari selepas tersiarnya rencana bertajuk ’31 Ogos Hari Malapetaka’ tulisan penyokong PKR dan bekas pelarian Hishamuddin Rais dalam Suara Keadilan (9 Ogos 2011).

Antara lain, rencana ini menyebut: “Di Tanah Melayu kuasa kolonial British telah memilih Umno untuk jadi barua mereka...Parti Komunis Malaya adalah parti yang menentang British...Pada bulan Ogos (akan) penuh dengan kisah melawan komunis...Kita akan muntah tahi setiap tahun apabila melihat ‘Bukit Kepong’ di kaca TV. Memang betul ada serangan ke rumah pasong Bukit Kepong. Memang betul polis yang diserang ketika itu adalah polis Melayu.

Tetapi polis Melayu ini upahan British. Kerana mereka Melayu tidak semestinya apa yang mereka lakukan baik dan betul. Melayu bukan bermakna betul. Ada Melayu barua dan ada Melayu nasionalis.

“Anak muda hari ini juga wajib diberitahu bahawa serangan Bukit Kepong itu dipimpin oleh Mat Indera. Mat Indera adalah seorang nasionalis kiri Melayu. Ini tidak terdapat dalam filem ‘Bukit Kepong’ kerana Umno tidak mahu rakyat Malaysia tahu bahawa ada Melayu yang berani angkat senjata melawan British.”

Nampaknya ada persamaan jelas antara apa yang ditulis ini dengan kandungan ceramah Mat Sabu. Untuk mempertahankan dirinya, Mat Sabu mengemukakan buku Pengukir Nama Johor, yang dicetak pada 2004. Ini mengungkit persoalan: Sejak bila Mat Sabu merujuk buku sejarah, apatah lagi terbitan Yayasan Warisan Johor, untuk bahan ceramahnya?

Padahal, dalam kalangan kepimpinan Pas, Mat Sabu tidak dilihat sebagai seorang intelek atau orang banyak membaca. Beliau diterima sebagai penceramah yang suka buat lawak, bagaikan seorang penglipur lara. Justeru, ada kemungkinan bahan yang dirujuk oleh Mat Sabu dalam ceramahnya pada 21 Ogos lalu bukan daripada mana-mana buku sejarah, tapi daripada tulisan Hishamuddin.

Dalam rencana itu, Hishamuddin menghina pemimpin negara seperti Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra dengan panggilan ‘barua yang setia’, ‘budak suruhan’ dan ‘kuda British’.

Mengenai Hari Merdeka, beliau menulis: “Semenjak 31 Ogos 1957, anak semua bangsa di Tanah Melayu telah hidup dalam kesengsaraan. Dasar ‘ketuanan Melayu’ telah membawa malapetaka kepada Tanah Melayu. Justeru, 31 Ogos adalah hari untuk memperingati kesampaian malapetaka itu.”

Mungkin juga kerana dendam tebal hati yang hitam. Ramai tahu sejarah Hishamuddin. Tidak mahu bertanggungjawab atas kekecohan ditimbulkannya sebagai pemimpin pelajar pada 1970an, beliau lari meninggalkan negara. Ramai pemimpin pelajar lain ditahan polis anggapnya seorang pengecut.

Berpuluhan tahun beliau di luar negara, menghabiskan masa muda di Sepanyol, Portugal, UK, Jepun, Australia dan India. Beliau akhirnya dapat pulang ke tanah air atas ehsan kerajaan Malaysia. Namun hari ini, beliau bertindak menghina pemimpin negara, memperlekeh bangsa Melayu dan mengutuk kemerdekaan negara sendiri. Bagaikan ‘melepas anjing tersepit’, kata pepatah Melayu.

Pada saya, orang yang tidak tahu bersyukur seperti inilah yang dikategorikan sebagai ‘malapetaka’. Mereka lupa amaran Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur Aku akan memberi tambahan kepadamu; tetapi jika kamu tidak bersyukur sungguh azab-Ku dasyat sekali.” (Surah Ibrahim: 7)
Hari ini semua rakyat negara ini meraikan Hari Malaysia. Tetapi bagi Hishamuddin dan Mat Sabu mungkin tidak berasa apa-apa. Mungkin juga ada sebab mereka mahu lupakan tarikh ini.

Ramai masih ingat 16 September sebagai tarikh Ketua Pembangkang cuba ambil alih negara melalui ‘pintu belakang’ setelah kalah dalam pilihan raya umum 2008 secara demokratik. Bagi majoriti rakyat negara kita, inilah sebenarnya Hari Malapetaka dalam sejarah Malaysia, bukan 31 Ogos.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.