Thursday, September 22
Tukar ISA Kepada SOCIETAL SECURITY
Jika ISA mahu digantikan dengan akta baru, akta tersebut perlulah berasaskan konsep keselamatan insan, terutama sekali keselamatan masyarakat. Kerana keselamatan masyarakat adalah membabitkan masalah kaum dan jati diri yang boleh mengancam keselamatan nasional serta kelangsungan negara Malaysia.
Undang-undang keselamatan masyarakat ini wajar berpaksikan Perkara 10 (4) bagi mengawal isu-isu sensitif, termasuk mengenai kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11(4), Bahasa Melayu dalam Perkara 152, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang keselamatan masyarakat ini juga wajar bersandarkan kepada Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya bertujuan menentang tindakan "menggalakkan permusuhan antara kaum" yang mungkin menyebabkan keganasan di Malaysia sehingga mengancam ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat.
Cadangan ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 15 September 2011, bahawa dua akta baru yang akan menggantikan ISA adalah "bermatlamatkan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara."
Cadangan ini juga tidak bertentangan dengan prinsip serta amalan demokrasi di Malaysia kerana prinsip ini tidak akan bermakna dan amalan ini akan terancam jika keselamatan masyarakat diabaikan dan keselamatan nasional serta kelangsungan negara tidak dipelihara sepanjang masa.
Hakikatnya demikian sebab negara-negara maju yang kini cuba memaksa negara-negara membangun supaya mengamalkan prinsip hak asasi manusia sejagat dan prinsip demokrasi liberal pun pernah menindas umat manusia dengan dahsyatnya berasaskan kepada warna kulit serta mempunyai undang-undang yang disifatkan kurang demokratik.
Contohnya, Amerika Syarikat (AS) pernah mengamalkan perhambaan serta penindasan ke atas rakyatnya yang berketurunan Afrika dan berkulit hitam. Dalam tahun 1950-an, AS juga mempunyai Internal Security Act (ISA) 1950 yang juga dikenali sebagai Subversive Activities Control Act atau The McCarran Act.
Mutakhir ini, AS mempunyai Patriot Act (Akta Patriot) yang disifatkan sebagai mencanggahi prinsip hak-hak asasi manusia yang dikuatkuasakan demi keselamatan negaranya berikutan tragedi 11 September, di samping melakukan ethnic profiling terhadap umat Islam yang menjadi warganegaranya.
Britain pula mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan bagi menjamin keselamatan negaranya termasuk Broadcasting Act (Akta Penyiaran) 1981 dan 1990 serta Official Secret Act (Akta Rahsia Rasmi)1989.
Maka, rakyat Malaysia tidak wajar terpengaruh dengan konsep kemanusiaan, keadilan dan kesamarataan yang dipropagandakan oleh Barat, khususnya AS. Konsep ini adalah taktik mempengaruhi rakyat asing melakukan pertukaran kepimpinan supaya AS boleh menjadikan negara-negara terbabit sebagai satelit atau proksinya atas kepentingan geopolitiknya di abad ke-21.
Kesimpulannya, setelah ISA dimansuhkan, Malaysia memerlukan undang-undang baru untuk menjamin keselamatan masyarakat atau societal security di kalangan warganegaranya yang berbilang agama, bangsa, sosiobudaya dan tahap ekonomi.
Kerajaan Malaysia perlu menghimpunkan pakar keselamatan negara dan sarjana kajian keselamatan bukan tradisional daripada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menghalusi, memperincikan serta menggubal undang-undang ini secara menyeluruh dan berkesan.
Pembentukan undang-undang ini penting untuk mengelakkan masalah kaum dan jati diri sebab masalah ini adalah antara ancaman keselamatan insan yang serius dalam era selepas Perang Dingin, terutamanya di negara majmuk seperti Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.