Sunday, October 9

Belanjawan Pakatan Rakyat Melingkup.



Dalam cubaan untuk memanfaatkan setiap peluang yang ada, pakatan pembangkang turut tidak ketinggalan membentangkan apa yang dipanggil sebagai "belanjawan memastikan kesejahteraan untuk semua".

Namun disebalik pelbagai janji manis dan angka-angka besar, apa yang dikenali sebagai belanjawan bayangan itu, sekiranya dilaksanakan, bakal mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan kepada rakyat biasa Malaysia.

Tidak sepertimana Belanjawan 2012 komprehensif yang dibentangkan Perdana Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang memilih pendekatan perbelanjaan lebih besar bagi memastikan pertumbuhan mampan ekonomi, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengambil pendirian lebih berhati-hati.

Di bawah belanjawan Najib, ekonomi diunjurkan tumbuh pada kadar 5.0 hingga 6.0 peratus. Di bawah perancangan pakatan, aliran pertumbuhan diunjurkan naik secara perlahan daripada 4.0 kepada 4.5 peratus, berbanding 5.0 kepada 5.5 peratus pada 2011.

Malahan, menurut penganalisis politik, dokumen belanjawan pembangkang mengandungi preskripsi ortodoks Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk Malaysia ketika Anwar menjadi menteri kewangan semasa krisis kewangan Asia 1997-98 sebelum beliau dipecat.

Cadangan pemulihan itu termasuk mengenakan kadar faedah tinggi, memperketatkan pinjaman bank, meningkatkan duti import dan melakukan pemotongan besar-besaran terhadap perbelanjaan infrastruktur awam, yang sekaligus menyekat pertumbuhan ekonomi.

Rakyat Malaysia yang mengharungi krisis itu selama lebih satu dekad sukar untuk melupakan penderitaan yang mereka terpaksa lalui.

Pakatan Rakyat, gabungan parti-parti pembangkang, memperuntukkan belanjawan RM220 bilion bagi 2012, lebih kecil daripada belanjawan kerajaan sebanyak RM232.8 bilion.

Bagaimanapun, ia meramalkan pendapatan kerajaan sebanyak RM181 bilion mustahil boleh dicapai. Kerajaan menyatakan bahawa pendapatannya boleh mencecah RM187 bilion tahun depan. Najib memilih untuk berbelanja lebih pada 2012 (lebih tinggi daripada RM212 bilion tahun ini) untuk merangsang permintaan domestik dan pelaburan.

Lagipun, asas ekonomi negara kekal kukuh dan mantap. Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) telah meningkat enam kali ganda kepada RM29 bilion pada 2010, pertumbuhan tertinggi di Asia. Pada separuh pertama 2011, FDI mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 75 peratus kepada RM21.2 bilion berbanding RM12.1 bilion bagi tempoh yang sama pada 2010.

Bagaimanapun, Najib memberikan jaminan bahawa kerajaan akan memastikan fiskal tidak terjejas dan akan berusaha mengekang defisit fiskal.

Terdapat beberapa contoh lain bagaimana kehidupan akan berdepan kesukaran di bawah cadangan belanjawan pembangkang. Pertamanya ialah peruntukan subsidi yang amat kecil iaitu RM22 bilion berbanding subsidi kerajaan sebanyak RM33.2 bilion dan ini bermakna lebih ramai orang, khususnya golongan miskin, akan berdepan kesukaran untuk menyara kehidupan berikutan kos hidup yang semakin meningkat.

Dalam "Belanjawan Rakyat", Perdana Menteri secara terperinci menggariskan setiap barangan perlu yang akan terus disubsidi oleh kerajaan. Bukan sesuatu yang luar biasa jika rakyat Malaysia, termasuk golongan kaya, sering meremehkan pemberian subsidi itu. Subsidi berkenaan termasuk petrol, diesel, gas memasak, gas asli, gula, beras, tepung dan bil elektrik.

Cadangan pakatan untuk memotong sejumlah besar peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) tahun depan iaitu RM10 bilion, pastinya akan menjejaskan bayaran gaji untuk ribuan warga kerja JPM. JPM merupakan tunjang ekonomi negara dan badan pembuat keputusan kerajaan dan badan pelaksana.

Mungkin cadangan belanjawan pakatan yang paling kontroversi ialah penetapan gaji minimum RM1,100 untuk mengatasi masalah kebergantungan kepada pekerja asing. Bagaimanapun, banyak penganalisis politik berpendapat cadangan itu tidak praktikal dan memudaratkan daripada segi sosio-ekonomi.

Gaji yang dicadangkan itu jauh lebih tinggi berbanding kadar pasaran semasa bagi buruh tidak mahir. Adalah tidak masuk akal untuk menjangkakan kenaikan gaji yang begitu tinggi untuk pekerja tidak mahir tanpa mempertimbangkan kesan langsung dan tidak langsung terhadap permintaan buruh, inflasi dan produktiviti.

Pendekatan lebih baik ialah kenaikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi kadar gaji minimum. Menariknya, gaji minimum RM1,100 itu juga akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pekerja sektor awam yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah. Cadangan itu dan perancangan pembayaran bantuan khas untuk kanak-kanak, warga tua dan wanita, semuanya akan dibayar setiap tahun, telah menimbulkan kebimbangan terhadap kekukuhan kewangan negara di bawah
pentadbiran pakatan.

"Kita hanya boleh mengagihkan wang apabila kita mempunyai lebihan fiskal atau ia mungkin akan membebankan lagi negara," tulis kolumnis Lim Sue Goan dalam MySinChew.com column.

Tumpuan khas yang diberikan kepada penjawat awam membabitkan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion turut menimbulkan tanda tanya ekoran sejak awal lagi pakatan menegaskan perkhidmatan awam sudah terlalu besar dan perlu dikecilkan.

Mungkin orang akan mempersoalkan bahawa motif pakatan dalam mengambil pendekatan populis itu sebenarnya bertujuan untuk memancing semula sokongan penjawat awam.

Natijahnya ialah pakatan membelanjakan wang yang tidak dimiliknya dan belanjawannya kekal dibayangi oleh pelan induk sosio-ekonomi kerajaan Barisan Nasional yang pragmatik



- Posted using BlogPress from my iPad

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.