Thursday, October 27
Malaysia selamat dalam situasi ekonomi, politik global
WALAUPUN Malaysia lebih demokratik dari Singapura tetapi lebih banyak gambaran negatif yang diberikan oleh media Barat terhadap Malaysia berbanding dengan Singapura sekalipun Lee Kuan Yew memusuhi mereka.
Apakah sebabnya?
Malaysia adalah sebuah negara Islam bersifat majmuk atau multiracial di bawah kepimpinan Melayu dan Islam yang berjaya dalam memberikan maruah yang tinggi kepada orang Islam dan bukan Islam menerusi dasar sosialisme dan kapitalisme yang bijak dan bukan dengan kekerasan.
Perlembagaan telah menakrifkan bahawa Melayu mestilah beragama Islam dan melarang sebarang usaha untuk memurtadkan orang Islam. Keistimewaan kedudukan Melayu ini dianggap sebagai race supremacy yang mesti dipecahkan. Maka, akhir-akhir ini kita telah mula dapat melihat usaha yang agresif secara tersembunyi atau secara terang-terangan dijalankan oleh sesuatu pihak untuk mencemarkan identiti ini atau memecahkan tradisi itu.
Dari kaca mata Barat keistimewaan kepada sesuatu kaum dalam masyarakat majmuk yang berkongsi kuasa politik dan kuasa pemerintahan adalah tidak adil dan tidak sewajarnya dibiarkan sekalipun amalan ini berlaku di negara mereka sendiri.
Sebagai kuasa besar, mereka berasa bertanggungjawab untuk membetulkan dunia ini. Maka sebarang dasar yang bertujuan memantapkan kedudukan agama akan ditentang oleh Barat dengan menggunakan ruang-ruang atau isu-isu dalaman sesebuah negara yang dianggapnya tidak demokratik.
Apakah tekanan seumpama ini akan didatangkan oleh kuasa Barat terhadap Malaysia? Tidak ada rakan yang kekal kepada Amerika Syarikat (AS) jika kuasa dan kepentingannya tercabar.
Kerja ini lebih mudah dilakukan oleh mereka sekarang berbanding dengan keadaan semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini kerana, sekarang kebebasan tidak lagi dikawal dan ejen-ejen asing dapat bergerak dengan bebas.
Inilah cabaran paling sulit sedang dihadapi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkehendakkan kebijaksanaan dan kehalusan beliau dalam menangani masalah politik dalam negara dan juga dalam menjalankan dasar luar negara.
Untuk pembangunan maruah bangsa dan nasionalisme memerlukan sikap radikal dan berani seperti Dr. Mahathir yang telah meninggalkan kesan yang mendalam. Tetapi kemaraan globalisasi yang telah pun menjinakkan China dan India terhadap AS, maka siapalah kita sebuah negara kecil untuk bersuara dengan lantang bagi pihak Dunia Ketiga yang mungkin akan mendatangkan ancaman dan gangguan kepada negara kita.
Najib juga telah berusaha untuk meyakinkan dunia terhadap demokrasi Malaysia yang sering dicemarkan oleh ejen-ejen politik asing di negara ini.
Penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan olehnya tidak sahaja mematahkan suatu isu popular pembangkang malah memberikan tamparan kepada demokrasi AS sendiri dan meletakkan rakan strategiknya Singapura dalam keadaan serba salah dan tekanan dalam negeri yang semakin hebat.
Najib juga telah menjanjikan kebebasan yang lebih luas kepada media, akan menghapuskan pelesenan akhbar dan sebagainya serta menunjukkan sikap positif terhadap tuntutan-tuntutan untuk mengadakan pilihan raya umum yang lebih bersih dan telus.
Yang masih tinggal untuk dimomokkan oleh pembangkang sebagai senjata kepada kuasa luar adalah kedudukan Raja-Raja Melayu yang digambarkan sebagai institusi supremacy kedudukan Melayu dan Islam di samping beberapa peraturan yang menampakkan ketidak terbukaan dan ketidakadilan dari segi peluang perniagaan kepada pemodal-pemodal asing dan juga kepada anak negeri yang bukan Melayu.
Berakhirnya episod Muammar Gaddafi maka semakin hampirlah AS kepada dasar globalisasi "Satu Amerika Satu Dunia". Syria dan Iran hanya menunggu saat untuk kesempurnaan misi AS di Asia Barat.
Dengan itu, AS akan lebih dapat menumpukan kepada usaha menyempurnakan pendemokrasian Asia terutama di kalangan negara ASEAN yang menjadi rakan strategiknya untuk mengimbangi China.
Tekanan secara bijak dan halus akan dilakukan secara terang atau tersembunyi dari masa ke masa ke atas negara-negara yang belum dapat dipegang sepenuhnya.
Kepimpinan Singapura telah pun secara rasmi mengundurkan diri baru-baru ini. Kuan Yew bersara sepenuhnya dan tidak lagi menjadi Menteri Mentor atau penasihat.
Malaysia juga adalah salah satu anggota ASEAN yang menjadi rakan strategik AS untuk mengimbangi kuasa gergasi dunia yang sedang dalam pembikinan iaitu komunis China.
Ini bukan perkara baru kepada Malaysia yang telah pun menjadi rakan Barat sejak sebelum dan selepas merdeka berbanding dengan negara lain di Asia, tetapi ini belum tentu akan menjamin keselamatan Malaysia.
Sejauh ini Najib telah pun menunjukkan kefahaman dan kebijaksanaannya untuk Malaysia terus selamat dalam situasi ekonomi dan politik dunia yang amat mencabar.
Sebenarnya bukanlah suatu perkara baru Malaya dan Malaysia menjadi kawan baik Barat atau menjadi alat kepada Barat tetapi kebijaksanaannya dalam mengendalikan sikap ini mengikut keadaan semasa telah memberikan kesempatan kepadanya untuk membina bangsa yang terhormat dan bermaruah di atas faktor keselamatan dan kestabilan negara.
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.