Monday, October 10

Saudagar Air LiuQ.




Rakyat tentunya lebih yakin dengan bajet kerajaan BN berbanding janji menjelang PRU Ke-12 yang lalu oleh pembangkang. Janji BN bukanlan janji kosong seperti janji ‘saudagar mimpi’ atau ‘saudagar air liur’. Malahan Najib ketika menjawab dakwaan nakal pengkritik yang tidak yakin kerajaan dapat melaksanakannya berkata: Kalau tak ada duit takkan saya berani bentangkan semalam (Jumaat). Saya akan melakukan satu perbuatan bunuh diri dari segi politik kalau saya bentang bajet yang tidak boleh dilaksanakan.


Biarlah 3P terus menjaja Buku Jingga ke sana ke mari. Biarkanlah mereka mengusung bajet 3P di merata tempat. Rakyat lebih tahu membezakan antara bajet yang berduit dengan bajet tidak berduit. Mereka dapat bezakan janji orang yang belum mempunyai kuasa sebaliknya kemaruk kuasa dengan orang yang sudah berkuasa. Bagi rakyat di negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, mereka boleh menilai sendiri sejauh mana janji PRU pada tahun 2008 telah ditunaikan oleh 3P ini.


BN yang sudah menerajui negara ini sejak merdeka, pastinya lebih arif dengan apa yang boleh dan tidak boleh dijanjikan. Janji seseorang yang berkuasa dan belum berkuasa memang ada bezanya. Sebelum berkuasa, mereka boleh janji apa sahaja malahan bulan, bintang dan matahari semata-mata untuk menang. Apabila menang, mereka tidak mampu melakukannya, tidak ada keupayaan untuk menggapai bulan, bintang, apatah lagi matahari.


Tetapi lain pula janji orang yang sudah berkuasa. Ada yang boleh dijanjikan dan ada yang tidak. Ia mengikut kemampuan.


Maka tidak hairanlah walaupun Bajet 2012 meliputi semua lapisan masyarakat, masih ada suara-suara yang tidak berpuas hati. Ada saja yang tidak kena. Diberi satu hendak dua, diberi dua hendak tiga dan diberi tiga hendak empat dan seterusnya. Bak kata orang diberi betis hendak paha. Sikap negatif, tidak puas hati sentiasa ada dalam naluri manusia. Tidak dinafikan ada perkara atau bidang yang tidak disentuh dalam bajet ini tetapi tidak bermakna ia akan dilupakan begitu sahaja. Manusia tidak pernah sempurna.


Dalam sebuah keluarga, seorang bapa kadang-kadang tidak dapat bersikap adil kepada anak-anaknya. Ada anak yang nakal, bodoh dan hodoh apabila melakukan kesalahan disebat tetapi anak lain yang cerdik dan dimanjakan terlepas daripada hukuman. Ada bapa yang ketika di luar begitu tegas dan garang tetapi apabila di rumah menjadi seorang pemaaf atau pengecut.


Begitulah juga dalam bajet yang tidak mampu memuaskan hati semua orang. Namun seperti mukadimah Selak ini, semuanya akan menikmati faedah.


Contohnya pelbagai subsidi yang diberi. Walaupun ia telah lama diberikan oleh kerajaan tetapi eloklah bajet itu memperingatkan semula supaya kita bersyukur dengan apa yang telah diberikan. Subsidi kerajaan menyebabkan saban hari, setiap mulut rakyat negara ini ‘disuap’ oleh kerajaan.


Beberapa isu yang sempat didengar mengenai bajet dalam sehari dua ini ialah belanjawan defisit yang memaksa kerajaan terus meminjam. Isu peruntukan kepada perkara berkaitan hal ehwal Islam juga disentuh termasuk peruntukan kepada sekolah agama rakyat, peruntukan mengatasi masalah gejala sosial yang semakin meruncing serta isu-isu keselamatan rakyat.


Begitu juga skim rumah pertama yang membenarkan pembeli membeli rumah pada harga maksimum RM400,000. Timbul kerisauan sama ada ia akan mengatasi masalah pemilikan rumah atau harga rumah akan melambung?
Begitu juga bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah. Adakah langkah ini akan menyebabkan harga barang tidak terkawal?


Di kalangan pemandu teksi, ada yang berkata, apalah sangat pemansuhan cukai jalan berbanding beban menanggung insurans. Kenapa tidak dihapuskan sistem syarikat dan diganti dengan permit persendirian? Walaupun sistem bas di luar bandar mendapat RM150 juta tetapi bagaimana pula sistem pengangkutan awam dalam bandar yang belum berkesan?


Ada juga yang risau dengan kehadiran kedai 1Malaysia kerana ia dilihat boleh mengancam kedai runcit. Namun kita percaya, apa yang boleh diperbaiki akan diperbaiki. Mana-mana ‘lubang’ yang boleh ditimbus akan ditimbus sebaik mungkin.


Harus diingat bahawa pemaju perumahan, peniaga runcit, pemandu teksi, penumpang bas dan pelbagai lagi adalah rakyat Malaysia. Maka setiap perkara atau tindakan yang terlibat dalam bajet ini memberi kesan kepada mereka.


Justeru berilah peluang kepada pihak-pihak berkenaan untuk memperjelaskan isu yang timbul berhubung bajet ini. Jangan terlalu cepat mencari kesilapan dan kekurangan. Lebih-lebih lagi pihak yang berkepentingan politik akan cuba menjadikan isi kandungan bajet ini sebagai modal mereka menjelang PRU Ke-13 yang dikatakan semakin hampir.


- Posted using BlogPress from my iPad

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.