Sunday, November 20
Rafizi Ikut Anwar Main Belakang
Pembangkang semakin galak dan lantang mengkritik, membuat kesimpulan sendiri serta menyebarkan laporan tidak disahihkan, dengan tujuan semata-mata untuk mencetus perasaan tidak puas hati serta kemarahan rakyat terhadap kerajaan. Keghairahan pembangkang untuk mendedahkan kononnya penyelewengan dengan menerima maklumat daripada individu atau kumpulan yang mempunyai agenda, mengakibatkan mereka tanpa usul periksa terus melontar fitnah dan pembohongan.
Projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) adalah antara fitnah penyelewengan yang paling serius dilemparkan tanpa usul periksa. Semuanya berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mereka yang mempunyai niat tidak baik.
Bagi yang mengikuti isu yang dilemparkan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, tindakannya terus membuat tuduhan terhadap NFC, amat tidak bertanggungjawab, apa lagi dengan kedudukannya sebagai Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi negeri Selangor. Setiap tuduhan yang dilemparkan kepada NFC sudah dijawab satu persatu oleh Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang langsung tidak menyerang Rafizi, sebaliknya kecewa melihat seorang anak muda yang kononnya pakar boleh membuat kenyataan mengenai pengurusan perniagaan tanpa berfikir panjang.
“Saya mempunyai latar belakang dalam bidang sains makanan dan bioteknologi dan orang yang bertanggungjawab membangunkan Taman Teknologi (Bukit Jalil) selama 18 tahun. “Keputusan untuk mewujudkan NFC itu seperti kembali kepada kepakaran saya dalam bidang sains makanan dan berasaskan kesedaran dalam keadaan dunia semakin tidak menentu ini, Malaysia perlu mempunyai jaminan keselamatan makanan,” kata Salleh mengenai usaha kerajaan untuk mengurangkan import daging lembu dan kerbau yang mencatat 71 peratus dari keperluan negara.
“Kami juga meminta bantuan bank, tapi satu pun tidak menerima kerana peruntukan diperlukan terlalu besar. Oleh kerana itu, kami kembali kepada kerajaan dengan cadangan baru, untuk mendapat pinjaman mudah. “Disebabkan ini adalah projek sosioekonomi yang boleh membantu meningkatkan pengeluaran daging negara, kerajaan bersetuju memberi pinjaman sebanyak RM250 juta dengan kadar faedah dua peratus yang perlu dibayar tiga tahun selepas pengeluaran sepenuhnya pinjaman itu,” kata Salleh mengenai kontrak yang turut pengawasan Kementerian Pertanian dan sekiranya gagal, projek ini akan diambil alih kerajaan.
Salleh yang ditemani peguamnya, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Perunding Korporat dan Kewangan NFC, Zakaria Mohamed, menyatakan NFC memulakan operasi fasa pertama pembangunan infrastruktur termasuk fidlot, rumah penyembelihan dan bilik sejuk, mencipta baka lembu daging lebih baik, mewujudkan pakar untuk memotong daging berkualiti tinggi dan memulakan sendiri sistem pemasaran tanpa bantuan sesiapa.
NFC yang dipantau Kementerian Pertanian telah merangka tiga fasa pembangunan dan telah menyiapkan fasa pertama membabitkan pembangunan infrastruktur, fasa kedua bermula 2012 akan bertumpu kepada pembangunan pasaran, manakala fasa ketiga akan melaksanakan perladangan kontrak. Dengan geran RM13 juta dan pinjaman RM250 juta (RM181 juta telah diterima) NFC yang memasuki tahun ketiga, sudah mula berfikir cara pembayaran balik pinjaman iaitu pada kadar RM14.4 juta setahun selama 17 tahun.
“Walaupun ini projek nasional tetapi saya mempunyai pinjaman yang harus dibayar. Oleh kerana itu dalam menunggu fasa kedua dan ketiga bermula, kami membuat keputusan untuk membuat pelaburan yang boleh membawa pulangan lebih besar dari sekadar membuat simpanan tetap. “Mungkin ini yang tidak difahami Rafizi. Dia mungkin masih muda untuk memahami hampir setiap perniagaan akan rugi pada tahun pertama, dan hasil hanya akan dilihat selepas tahun kedua.
“Kalau macam inilah dia membuat analisis perniagaan di Selangor, semua mesti mengikut ‘unjuran’ tanpa mengambil kira keadaan dan krisis yang mungkin berlaku, kasihan mereka yang berniaga di Selangor,” kata Salleh.
Sebagai anak Melayu, Salleh, sama seperti isterinya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, mempunyai semangat kebangsaan cukup kuat dan itu membuatkan dia mendesak ketiga-tiga anaknya – Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah – kembali ke tanah air untuk sama-sama menjayakan projek ini.
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.