Adalah sesuatu yang aneh, Anwar yang dianugerahkan Tuhan begitu pandai bermain kata-kata tiba-tiba hilang kawalan diri hanya kerana wartawan bertanya soal jam tersebut.
Ia menunjukkan seolah-olah isu jam tangan berkenaan yang dikatakan menjadi petunjuk penting dalam isu video seks melibatkan seorang pemimpin pembangkang benar-benar menghantui Anwar.
Soalnya, kenapakah Anwar begitu marah atau berang apabila ditanya soalan berhubung isu tersebut?.
Anwar seharusnya tidak berasa takut apatah lagi berdolak-dalik jika benar jam itu ada dalam simpanannya dan kalau pun beliau tidak mahu menjawab soalan yang dikemukakan, kawallah diri kerana bukankah Anwar ingin menjadi Perdana Menteri?
Tindakan Anwar yang berang tidak tentu fasal hanya akan menyebabkan rakyat membuat pelbagai tafsiran terhadap tindak tanduknya.
Anwar sepatutnya faham bahawa rakyat kini sudah bijak menilai. Mereka tidak mudah disogokkan dengan mainan kata-kata, apatah lagi sikap berdolak-dalik.
Isu rakaman video itu dikaitkan dengan beliau. Oleh itu Anwar perlu menanganinya sendiri secara berhemah dan bukannya cuba mengalih pandangan dengan mengaitkan individu-individu lain termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tentu fasal.
Mungkin Anwar semakin merasai tindakannya menyatakan bahawa jam Omega tersebut berada dalam simpanan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kini mula memakan diri.
Anwar dan Wan Azizah ternyata tidak boleh menjawab secara jujur, apatah lagi menunjukkan bukti bahawa jam yang menjadi kontroversi berkenaan ada dalam simpanan mereka.
Apa yang kedua-dua mereka boleh buat sekadar memutar-belitkan kata-kata dan mengalih isu, sedangkan jika menunjukkan jam berkenaan sudah pasti nama Anwar dapat dibersihkan.
Tetapi malangnya, beliau tidak mengambil kesempatan itu, begitu juga Wan Azizah. Malahan mereka juga menolak semua usaha yang bertujuan bagi menunjukkan kebenaran.
Semua ini sudah tentulah menimbulkan persoalan mengenai kaitan Anwar dengan isu video tersebut. Walaupun kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi memandangkan kes itu dalam siasatan polis tetapi tindak-tanduk Anwar menyebabkan orang tertanya-tanya.
Justeru adalah lebih baik Anwar menghentikan tindakannya yang dilihat kebudak-budakkan dalam melayan soalan wartawan. Sebagai seorang pemimpin yang bercita-cita tinggi, Anwar haruslah bersikap matang dan sabar.
Kalau Anwar berada di pihak yang benar tiada apa yang perlu beliau takutkan, tanyalah apa pun soalan sudah pasti segalanya mampu dijawab dengan tenang tetapi Anwar tidak bersikap begitu.
Sebut sahaja jam Omega terus terpancar kemarahan di wajahnya dan mulutnya mula menghamburkan kata-kata yang 'tidak enak didengar'. Apa pun Anwar boleh berbuat apa sahaja yang beliau inginkan tetapi kebenaran akan muncul akhirnya.
Lagi pula Anwar sudah menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan dan kita berharap selepas ini beliau akan menerima hasil siasatan tersebut dengan hati terbuka biarpun jika ia tidak menyebelahi beliau.