Friday, February 3

Tanah Melayu Pulau Pinang,Tubuhkan Suruhanjaya DiRaja.


Kesedaran dan tindakan menyelamat Batu Uban bukan hanya bertumpu kepada isu penjualan tanah bertujuan merobah landskap setempat. Ia bukan hanya isu menghapuskan 'kecacatan' ruang 'kekampungan' demi membina bangunan konkrit moden bagi menampung jumlah penduduk dan objektif komersial yang lain.

Isunya bukan hanya ke atas kawasan yang dikenal pasti sebagai Kampung Batu Uban sahaja. Malah, Batu Uban adalah simbol sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang atau Kedah.

Ia bukan sekadar Batu Uban, tetapi kepada semua penempatan Melayu di Pulau Pinang. Ini bukan soal menafikan hak kepada kaum lain. Ini soal menuntut hak sendiri. Ini bukan hak ekonomi atau politik. Ini hak sejarah dan warisan.

Sejak puluhan tahun lamanya, tanah Melayu tergadai di Pulau Pinang. Nama Melayu pun kian terhakis. Apakah kita sanggup menggadai nama, sejarah dan warisan? Warisan adalah sama pentingnya dengan dimensi ekonomi dan politik.

Politik dan ekonomi Melayu Pulau Pinang sentiasa tenggelam dalam arus pasca kolonial. Wacana kehidupan pun tidak dapat diwajahkan dengan sewajarnya. Melayu telah tewas dalam wacana Pulau Pinang, sedangkan jumlah penduduk Melayu di negeri itu bukanlah sedikit.

Kita telah lupa bahawa pada satu masa dulu, Pulau Pinang adalah pusat persuratan, kewartawanan dan penerbitan Melayu di Nusantara. Pulau Pinang merupakan pusat pemikiran dan penerbitan wacana Melayu-Islam sebelum Perang Dunia kedua.

Apakah kita sanggup melenyapkan keupayaan dan genius Melayu di Pulau Pinang? Apakah tewas dan tiada lagi kudrat dan iltizam menyelamatkan sejarah dan warisan Melayu-Islam di Pulau Pinang?

Pulau Pinang bukan hanya geografi yang merangkumi pulau dan Seberang Perai. Ia ada sejarah, identiti, personaliti, pengalaman dan asal-usul. Sejarah dan warisan sama pentingnya dengan makanan dan minuman.

Jika satu lapisan sejarah terhakis, maka nama tempat pun akan terhakis. Apakah kita sanggup membiarkan nama asal dan awal di Pulau Pinang juga dipinggirkan dan seterusnya lenyap dari pendengaran dan ingatan?

Apakah kita hendak sebuah Singapura bermaharajalela di utara Semenanjung Tanah Melayu?

Di sini saya cadangkan beberapa langkah bagi mengatasi masalah kehilangan sejarah ini. Ia bukan sekadar satu inisiatif, tetapi juga satu tindakan yang mesti dipenuhi oleh semua pihak berwajib.

l Satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan khusus mengatasi masalah warisan Melayu di Pulau Pinang. Suruhanjaya ini hendaklah mengkaji dan meneliti apa yang telah berlaku dan bagaimana peminggiran dan penghakisan warisan Melayu telah terjadi.

l Pihak berwajib mesti menubuhkan satu bank tanah. Bank tanah itu hendaklah sebuah institusi dan organisasi rasmi yang dikendalikan oleh satu atau kedua-dua pihak negeri dan persekutuan.

l Seorang Pesuruhjaya Warisan Melayu khusus untuk Pulau Pinang di wujudkan. Fungsi Pesuruhjaya itu ialah mengenal pasti, menilai kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan warisan, dan memulihara kawasan itu.

l Institusi pendidikan dan perdagangan dan GLC Melayu mesti menggembeling tenaga mengekalkan ruang warisan yang ada di Pulau dan di Sebarang Perai. Sebagai contoh, pendudukan di kawasan Lebuh Acheh-Armenian.

l Pihak berwajib sedia ada dan boleh ditubuhkan mengkaji semua penamaan ruang, jalan dan tempat di Pulau Pinang. Nama ruang, jalan dan tempat janganlah diluluskan dengan sewenangnya-wenangnya. Apakah nama dan penamaan tidak penting? Apakah nama 'Tanjung Pinang' itu, bersebelahan Tanjong To'kong, bertujuan menghakiskan nama asal tempat itu. Kita perlu ingat, nama tempat berupaya mentakrif dan mempengaruhi sejarah masa depan.

l Wartakan Batu Uban dengan mewujudkan zon warisan. Susun semula penempatan di Batu Uban. Jangan bina apa-apa muzium di situ. Apakah orang Melayu di Pulau Pinang mesti dimuziumkan seperti begitu? Sebaliknya, wujudkan rumah tersusun, kompleks sejarah dan warisan bagi menandakan penempatan Melayu pertama di Pulau tersebut - 1700-an. Rujuk kepada lakaran peta Inggeris 1763.

l Jadikan Batu Uban sebagai pusat maklumat sejarah dan warisan hidup Pulau Pinang dan hubungannya dengan pelabuhan Batu Bara di Sumatera Utara. Batu Uban mempunyai hubungan akrab dengan Batu Bara bermula awal 1700-an lagi. Jadikan Batu Uban itu bandar kembar Batu Bara. Salah satu tindakan lanjut ialah wujudkan perhubungan feri antara Batu Uban dan Batu Bara. Batu Uban juga mempunyai hubungan dengan Kampung Bodi (Buadi) di Payakumbuh, Sumatera Barat. Haji Muhammad Salleh @Nakhoda nan Intan dan Dato' Jenaton berangkat dari Payakumbuh, ke Batu Bara dan kemudian ke Batu Uban.

l Perancangan Batu Uban dan juga tempat seperti Tanjung To'kong, dan beberapa buah kawasan lagi di Tanjung dan Air Itam hendaklah mengambil kira isu pemuliharaan tempat dan penduduk. Jika Melaka dapat lakukannya, mengapa tidak Pulau Pinang? Dan sekali lagi, wujudkan institusi dan bidang kuasa yang relevan dan berkesan.

l Apakah wujudnya seni bina dan landskap Melayu Pulau Pinang? Ciri-ciri dan bentuk rumah Melayu Pulau Pinang/Kedah yang wujud hendaklah diperkasakan. Ruang penempatan Melayu dalam sejarah mesti dirancangkan dengan sewajarnya pada zaman ini. Apa yang selalu terserlah ialah seni bina Melayu-kolonial rumah Jawi Peranakan di Tanjung.

Akan tetapi terdapat juga keaslian seni bina rumah Melayu di kawasan seperti di Air Itam, Gelugor, Bayan Lepas dan Balik Pulau. Dan kita mesti ingat, Pulau Pinang adalah satu wilayah Kesultanan Kedah. Sumbernya di Kedah. Mengapa ini tidak ditonjolkan oleh para perancang tempatan?

l Salah satu fungsi kritikal pejabat Pesuruhanjaya Warisan Melayu Pulau Pinang ialah menukar nama yang penting lalu berusaha mewartawakannya, seperti Tanjung (mengganti Georgetown) dan Seberang Perai (mengganti Province Wellesley), serta juga nama Butterworth. Jika kita serius dalam mengekalkan dan memperkasakan sejarah, nama jalan, ruang, tempat pada masa depan di Pulau Pinang mesti mewajahkan ciri-ciri sejarah dan warisan Melayu.

l Pameran dan penceritaan sejarah dan warisan Pulau Pinang di Muzium Negeri Pulau Pinang hendaklah dirombak dan diwajahkan dengan sewajarnya.

l Mengkaji semula dokumen yang diserahkan kepada UNESCO bagi mendapat status tapak warisan. Budaya dan sejarah Pulau Pinang telah disalah tafsir dan tidak diwajahkan dengan sewajarnya. Apa yang diceritakan adalah satu penganiayaan, penafian hak warisan, kewujudan dan sejarah.

Saya menggesa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan warisan dan sejarah negeri Pulau Pinang dan Kedah dalam hal ini dengan inisiatif dan tindakan konkrit jangka panjang dengan telus, tulus dan ikhlas.

Ini bukan hanya masalah warisan dan sejarah Pulau Pinang, tetapi masa depan warisan dan sejarah negara. Apakah kita mahu menggadai 'permata mutiara' di depan mata kita - yang bukan sekadar pulau dan tempat, tetapi pengalaman warisan dan identiti?

Ketidakadilan dimensi warisan adalah sama beratnya dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah, kerana ia menafikan hak dan menindas identiti.

Jika langkah-langkah seperti di atas tidak dilakukan, maka Melayu dan wajah Melayu Pulau Pinang akan menjadi satu mitos, yang anehnya lahir dari peneroka awal dan keturunan yang wujud asal-usulnya, roh dan jasadnya, identiti dan personalitinya.

DR. A MURAD MERICAN.Utusan.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.