Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata beliau berasa kagum dan bangga dengan polis yang tidak mudah melatah dengan provokasi yang dilakukan kira-kira 20,000 peserta perhimpunan itu.
"Saya sedih dengan apa yang berlaku hari ini, penganjur menjanjikan perhimpunan aman sebaliknya bertukar menjadi tidak terkawal walaupun kerajaan sedaya upaya memberi kebenaran untuk rakyat berkumpul secara aman di tempat yang disyorkan.
"Mereka masih berdegil ingin mengadakan di Dataran Merdeka," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau mengulas kejayaan polis menghalang percubaan peserta perhimpunan haram itu menceroboh Dataran Merdeka dengan merempuh penghalang dan kawat berduri dipasang selepas Mahkamah Majistet mengisytiharkan dataran itu sebagai kawasan larangan mulai semalam hingga 1 Mei.
Hishamuddin kesal dengan pihak penganjur dan peserta yang sanggup memperjudikan keselamatan umum demi kepentingan minoriti seperti mereka.
Katanya, peserta perhimpunan itu perlu 'membayar balik setimpal' apa yang mereka lakukan iaitu menggadaikan keselamatan majoriti orang awam demi menyuarakan hak asasi mereka.
"Saya sedih dengan usaha transformasi kerajaan yang cuba kita bawa, seperti menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman, tetapi telah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan mengajak rakyat berdemonstrasi dan mengancam keselamatan awam," katanya.
"Perkara mengenai orang ramai perlu lihat secara teliti, apa yang cuba penganjur katakan perhimpunan ini adalah aman tetapi tidak aman," katanya.
Hishamuddin berkata bukan perkara mudah bagi kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara hak asasi manusia dengan menjaga keamanan negara.
Beliau berkata perhimpunan hari ini tidak menjejaskan keselamatan dan kepentingan awam di negara ini dan yakin dengan kemampuan polis menjaga keselamatan awam.
Menurut laporan Polis Bukit Aman, sehingga 8 malam, seramai 388 orang yang berada di perhimpunan itu telah ditahan dan mereka telah dibawa ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini
Sementara itu, di SHAH ALAM, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata sudah sampai masa golongan majoriti senyap melahirkan perasaan tidak senang hati mereka terhadap perbuatan menimbulkan huru-hara dan menzahirkan perasaan jijik mereka dengan perbuatan yang melanggar peraturan. "Kita tak mahu perkara huru-hara, tidak ikut peraturan ini terus menjadi budaya minoriti yang vokal yang diketuai dan didalangi pembangkang." katanya mengulas tindakan mengadakan perhimpunan di ibu negara hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Rapat 1Malaysia bersama Persatuan Bekas Polis DiRaja Malaysia Selangor di Universiti Teknologi MARA, Ahmad berharap rakyat sedar tindakan kumpulan yang menyusahkan rakyat termasuk pemandu teksi, merugikan peniaga selain menakutkan pelabur serta pelancong.
Beliau berkata masa depan negara tidak harus dipertaruhkan di tangan pergerakan seperti penganjur perhimpunan hari ini yang hanya mewakili kalangan minoriti di negara ini.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata majoriti rakyat negara ini yang cintakan keamanan, kedamaian, keharmonian, keselamatan, kemakmuran adalah golongan yang senyap.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengucapkan syabas kepada semua petugas yang menjaga keamanan dalam perhimpunan itu dengan penuh tegas, adil dan berhemah. "Saya berharap petugas yang dicederakan oleh perusuh agar segera sembuh dan mendapat rehat yang secukupnya sebelum kembali bertugas seperti biasa," katanya dalam kenyataan, di sini, malam Sabtu.
Beliau berbangga dengan keberanian yang telah ditunjukkan oleh seluruh anggota polis pada perhimpunan itu. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.