Wednesday, June 20

DEBAT : SIAPA LEBIH HEBAT DAN BERANI?


Debat "Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi" antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub memberi nafas baru terhadap semaian demokrasi yang lebih matang.

Rata-rata hujah yang disampaikan kedua-dua pembahas merujuk kepada kejadian perhimpunan aman bertukar ganas anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di ibu negara April lalu.

Saifuddin dalam hujahnya menyifatkan pihak yang berhasrat untuk menyuburkan demokrasi melalui demonstrasi jalanan sering alpa tentang matlamat sebenar akibat terperangkap dengan anasir-anasir provokasi dan rusuhan.

Malah menurut beliau risiko yang dihadapi lebih menjurus ke arah ancaman ketenteraman awam dan kerosakan harta benda serta mengakibatkan kerugian.

Justeru kata Saifuddin ruang yang telah disediakan kerajaan melalui transformasi politik dan pengukuhan institusi-institusi dalam negara mampu memberi keseimbangan baik dalam usaha menyuburkan demokrasi tanpa perlu membawa ke jalanan.

"Ada banyak kaedah yang lebih aman untuk mengukuhkan demokrasi yang wujud. Kita mahu demokrasi lebih matang dan progresif. Demostrasi jalanan mengundang banyak risiko orang awam. Matlamat sebenar tidak tercapai tapi anasir lain diangkat.

"Ada cara yang sesuai untuk mendapatkan hak. Sebagai contoh, CUEPACS yang dulu tak puas hati dengan SBPA. Mereka terus berjumpa dengan Perdana Menteri, tak buat pun demostrasi jalanan," katanya.

Salahuddin yang membalas hujah tersebut menyifatkan ruang media yang disekat untuk pihak pembangkang sebagai alasan untuk bersama "penyokong" melontarkan pandangan melalui demonstrasi jalanan.

Malah hadirin dikejutkan apabila beliau menyatakan bahawa demonstrasi jalan merupakan budaya rakyat dalam usaha menyuburkan demokrasi dengan mengambil contoh rusuhan di luar negara sehingga mencatatkan angka korban.

"Demostrasi telah diterapkan dalam budaya sejak dahulu. Bermula dengan demostrasi jalanan walaupun terpaksa mengorbankan beberapa orang. Bukan korban yang harus diangkat tapi untuk melahirkan demokrasi seperti di Eropah.

"Tak betul (Bersih 3.0) nak guling kerajaan. Malah kita tak ada senjata pun. Kita hanya mahu suburkan demokrasi. Nanti bila PR kuasai Putrajaya, kita bagi ruang tersebut untuk BN," katanya.

Ahli Parlimen PAS itu kemudian mendakwa kerajaan yang takut akan demonstrasi jalanan merupakan kerajaan yang berselindung di sebalik prinsip demokrasi tetapi mengamalkan pentadbiran berbentuk autokratik.

"Demonstrasi jalanan dalam sebuah negara yang sempurna... ia mengukuhkan demokrasi... tetapi negara yang cuba untuk memperolokkan demokrasi, itu tidak betul."

Merujuk kepada perhimpunan BERSIH 3.0 yang bertukar menjadi ganas April lalu, beliau berkata ia tercetus akibat provokasi polis melalui tembakan meriam air dan gas pemedih mata.

"Insiden (keganasan) tercetus kerana ada provokasi. Saya cabar agar kerajaan tubuhkan panel siasatan diraja bagi menyiasat siapa yang mencetuskan provokasi sebenarnya," tegas beliau.

Saifuddin seterusnya memberi contoh tindakan ahli-ahli parlimen pembangkang sering bertindak keluar Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan yang menyentuh isu-isu berkepentingan seraya mengakibatkan susutnya semangat demokrasi dalam Parlimen itu sendiri.

Beliau menyentuh bagaimana cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan pilihan raya dan projek nadir bumi Lynas yang ditolak pembangkang dari awal sedangkan ruang telah disediakan oleh kerajaan.

"Kalau mahu ruang, ruang ada tapi banyak orang tak pakai. Belum sempat PSC nak sampai ke tangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tapi sudah mahu demo jalanan, mana kewajarannya?" kata beliau disahut tepukan hadirin.

Pada sesi pengulungan Salahuddin mengakui bahawa beliau dan rakan pakatan terlibat secara langsung terlibat dalam perhimpunan BERSIH 3.0 yang sebelum ini didakwa digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepenuhnya.

Manakala Saifuddin pula mempertahankan bahawa kesuburan demokrasi boleh dicapai melalui transformasi politik yang sedang dilaksanakan kini selain menegaskan tanggungjawab kerajaan untuk tidak memperjudikan keselamatan awam.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.