Kurang sebelas bulan dari sekarang kerajaan baru akan memerintah Malaysia. Ini bererti kini sudah masuk musim pilihanraya di mana setiap pihak yang berhajat memerintah akan membuat pelbagai ikrar dan janji untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka paling layak diberi amanah mengurus negara.
Ini juga bermakna sudah tiba musim menguji kematangan pemilih. Apakah mereka mudah termakan ikrar dan janji ahli politik atau langsung hilang selera mengambil bahagian dalam proses pemilihan wakil-wakil rakyat. Ini semua banyak bergantung pada mutu maklumat yang mereka terima.
Menjelang pilihanraya umum, pelbagai idea dan tawaran dibuat pada rakyat. Ada yang munasabah dan banyak juga hampir mustahil dilaksanakan. Ada yang sekadar menanam tebu di pinggir bibir untuk memaniskan janji politik masing-masing.
Ini masanya untuk rakyat menyemak rekod prestasi parti-parti yang bertanding serta mutu perkhidmatan wakil-wakil parti yang dipilih sebelum ini. Misalnya, jika krisis kekurangan bekalan air terawat akan berlaku pada 2014, adakah sempat untuk kerajaan Selangor menanganinya dalam tempoh kurang dua tahun?
Soal bekalan air tidak begitu sukar ditangani. Bak kata Menteri Besar Selangor, TanSri Khalid Ibrahim, ia boleh diperolehi daripada tasik air terbesar di Semenanjug iaitu Tasik Kenyir. Entah bila kerajaan Terengganu berunding dengan beliau dan pada kadar mana pembelian dipersetujui, tidak pula beliau nyatakan.
Jawapan dan penjelasan Khalid memang amat simplistik. Dapatkan air dari Terengganu dan bina loji rawatan air sendiri. Kosnya lebih rendah daripada melaksanakan projek Loji Langat 2 untuk mendapat bekalan air dari Pahang dan bina Loji rawatan air baru.
Khalid berani berkata demikian kerana dia mahu menaikkan semangat dan keyakinan penyokong khasnya dan rakyat Selangor, amnya. Beliau Menteri Besar serba tahu. Dia orang korporat. Dia percaya dia ada formula untuk berniaga masa depan dengan kualiti hidup rakyat.
Pendekatan Khalid ialah mentaliti seorang penjudi. Dalam permainan pakau misalnya, seseorang itu harus berani memberi gambaran dia mempunyai daun terup kemenangan. Dia harus beri gambaran dia yakin kerana memiliki daun keramat boleh menang. Dia berharap keyakinan yang dipamerkan akan menggentarkan saingan.
Itu memang tabiat dan silat politik Khalid. Gertak menggertak dan menggerunkan musuh. Cuma kali ini taktik ini sudah mudah dibaca rakyat jelata. Dulu sebaik sahaja memegang jawatan Menteri Besar, Khalid cuba melebarkan sayap dan kemahiran korporatnya dengan mengumumkan projek RM 10 bilion untuk merawat Sungai Kelang untuk jadi paksi ekonomi baru bagi Selangor.
Hampas. Hampir tamat pemerintahannya, tiada apa pun dilakukan untuk Sungai Kelang terutama dalam mengotakan janji mewujudkan berpuluh ribu pekerjaan baru. Bayangkan beliau berani mengacah kesetiaan rakyat Selangor dengan projek berbilion ringgit. Rizab negeri sepanjang empat tahun pemerintahannya tidak sampai dua bilion ringgit.
Memang dasar orang korporat yang kurang integriti. Amat mudah menabur janji. Walau dia tahu itu tidak akan dipenuhi. Sebelum menjaja mimpi Sungai Kelang akan boleh dibuat mandi, Khalid dan partinya memberi pengakuan bahawa jika menang di Selangor, setiap keluarga nelayan dan petani akan dipastikan memperolehi pendapatan minimum RM 1,200 sebulan.
Sampai hari ini tiada skim khususpun dilancarkan untuk menjadikan janji itu satu kenyataan. Kononnya dengan menggunakan konsep mengagihkan ekonomi negeri secara adil kepada setiap rakyat dari saat kelahiran sampai kematian, kerajaan pimpinannya akan menyediakan sandaran kewangan di setiap peringkat kehidupan.
Setelah ditertawakan oleh umum betapa janji untuk membantu membiayai warga Selangor di peringkat Taska dan Tadika dalam debat Khairy-Rafizi barulah kerajaan Selangor mengumumkan akan membayar RM50 sebulan bagi setiap rakyat berusia 5 dan 6 tahun. Itupun untuk 3,000 warga cilik Selangor yang terpilih sahaja.
Bila ditanya mengapa pada tahun kelima pemerintahan baru mahu menunaikan janji, Khalid tanpa segan silu menyatakan bahawa setiap perbelanjaan wang rakyat mesti dibuat dengan teliti. Bunyi macam ikhlas tetapi hakikatnya, peruntukan 4 tahun untuk kira-kira 20,000 pelajar Taska setahun sudah disorokkan hanya untuk mempamerkan rekod rizab negeri ada RM 2 bilion. Memang dasar orang korporat – kejuruteraan kewangan.
Kini Khalid menjual mimpi baru. Kehebatannya mengurus soal air negeri dan Lembah Kelang akan menyaksikan tarif air lebih rendah dan bekalan yang cukup dan menanam keyakinan pelabur akan terus berniaga di Selangor. Hakikatnya, lebih 30,000 peluang pekerjaan di Selangor lebur kerana penanam modal khuatir Selangor kekurangan air selepas 24 bulan kerana Khalid cuba bermain poker dengan masa depan rakyat Selangor.
Memang itu sahaja modal Khalid. Air digunakan sebagai jampi untuk memukau rakyat Selangor supaya tidak Nampak betapa air Sungai Kelang masih kotor dan bukan dia yang akan menyelesaikan isu air terawat di Selangor.
Lepas pilihanraya dia mungkin tidak lagi jadi Menteri Besar. Masalah itu adalah beban orang lain. Yang penting Khalid mahu kelihatan tangkas memberi alasan dan jawapan kepada masalah rakyat jelata. Menjelang pilihanraya, Khalid cuba menganyam mimpi baru – berasaskan air lagi. Kali ini untuk bina loji rawatan air. Pun dia tahu bukan dia yang akan melaksanakan formula mimpinya.
- Posted using BlogPress from my iPad
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.