Apabila borang subsidi tayar diedarkan, pemandu-pemandu teksi sudah terbayangkan empat biji tayar percuma bakal menjadi milik mereka. Dan apabila Najib mengumumkan mereka akan mendapat satu set tayar, mereka teramat gembira. Bayangkan empat biji tayar bakal menjadi milik mereka. Tidak perlu lagi pinjam tayar kawan apabila tiba masa untuk melakukan pemeriksaan di Puspakom.
Tetapi harapan itu meleset kerana maklumat sebenar tidak sampai ke pengetahuan pemandu teksi sehingga menimbulkan pelbagai persoalan. Sepatutnya awal-awal lagi, pihak berkuasa menjelaskan fakta sebenar ini supaya pemandu teksi tidak menuding jari terhadap kerajaan.
Pak Long dan Pak Lang sudah mendengar pelbagai cerita mengenai rakan-rakan yang bercakap mengenai tayar ini. Hari-hari mereka mendengar pelbagai cerita mengenai baucar subsidi tayar ini. Isu terkini mengenai ketiadaan stok tayar.
Sebelum itu, kita selak dulu sama ada pemandu teksi memperoleh satu set (empat biji) tayar atau sekadar dua atau tiga.
Teksi dalam negara bukan sekadar pelbagai warna kuning, hijau, merah putih, biru dan macam-macam warna lagi tetapi kereta yang dijadikan teksi juga pelbagai. Ada Iswara, Wira, Waja, Saga BLM, Exora dan Persona. Jika pemandu memiliki Iswara, Wira atau Saga BLM yang dikategorikan sebagai saiz rim 13 inci, maka baucar RM520 itu mampu membantunya mendapatkan satu set (empat) tayar. Itu pun bergantung kepada harga RM130 tetapi khabarnya harga tayar kini sudah naik kepada RM145 bagi setiap tayar.
Bagi rim 15 inci pula iaitu Waja, harga setiap tayar khabarnya RM175. Maknanya baucar itu hanya mampu menampung tiga tayar. Satu lagi tayar perlu mengeluarkan duit poket sendiri. Bagaimana pula dengan kereta jenis lain? Ada juga yang memberitahu, kalau nak tukar perlu tukar empat sekali, tidak boleh dua atau tiga. Kalau tukar dua pula, baki baucar tidak akan dipulangkan. Mungkin peraturan ini tidak terpakai di semua kedai yang menjadi pusat tukaran tayar ini.
Pada masa yang sama, pemandu juga dikatakan perlu membuat bayaran untuk balancing danalignment sedangkan sebelum kehadiran baucar ini, ia termasuk dalam kos penukaran tayar. Sejauh mana kebenarannya tidak pasti. SPAD boleh siasat.
Isu seperti ini perlu dijelaskan kepada pemandu teksi supaya tidak timbul pelbagai tanggapan negatif terhadap pihak kerajaan. Kita tidak mahu mendengar suara-suara sumbang yang senantiasa mencari silap untuk memperkecilkan program ini yang seolah-olah menggambarkan kerajaan tidak ikhlas atau sekadar melepas batuk di tangga. Mungkin ketika program ini dirancang, harga yang ditawarkan sudah mencukupi untuk empat tayar jenis rim 13 inci. Bagaimanapun Iswara dan Wira sudah tidak ada stok dan kini muncul Waja. Maka untuk masa depan, perancangan biarlah betul-betul teliti. Ingatlah Najib pernah berkata, pemandu teksi merupakan satu kumpulan penting dalam mempamerkan imej baik negara di samping dapat membentuk persepsi orang ramai terutama pelancong asing mengenai negara yang dilawati.
Tetapi bagi Pak Long, isu harga masih boleh ditolak ketepi. Kata orang tiada rotan akar pun berguna. Mensyukuri apa yang diperoleh itu sudah cukup baik. Bak kata orang lebih baik ada daripada tidak ada langsung. Harga tayar mungkin sudah naik lebih awal sebelum program TR1Ma dilancarkan atau naik secara kebetulan.
Isu lain yang timbul sekarang ialah ketiadaan stok tayar. Beberapa orang rakan mengeluh kerana terpaksa menunggu seminggu atau dua minggu lagi baru ada stok sedangkan masa untuk ke Puspakom semakin hampir. Pemandu khabarnya tidak boleh ke kedai lain selain yang tertera di baucar. Lucunya seorang rakan memberitahu, apabila beliau keluar dari kedai tayar berkenaan, kereta jenis sama (bukan teksi) masuk ke kedai itu dan ada pula stok tayar! SPAD boleh siasat hal ini. Takkanlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri Yaakob nak kena turun padang tengok tayar cukup atau tidak lebih-lebih lagi menjelang musim balik kampung nanti. Cukuplah Ismail Sabri kawal harga minyak masak, gula, tepung menjelang Ramadan hujung minggu ini.
Salam Perjuangan,
ReplyDeleteBlog tuan/puan telah sy follow dan sudah dipautkan di blog sy.
Mohon tuan/puan dapat follow dan link kan blog sy http://merahmato.blogspot.com di blog anda yang hebat ini demi Agama, Bangsa & Negara.
Terima kasih.