Saturday, August 11

Pelacur Setaraf Dengan Mercun?


Walaupun amat berbeza dari segi bentuk dan rupa, ada satu persamaan antara pelacur dengan mercun, iaitu keduanya haram, tetapi dibiarkan berleluasa macam benda halal.

Mula-mula, sempena Ramadan al-Mubarak, kita bercakap mengenai mercun. Dulu, kini – mungkin selamanya! – bulan puasa dan raya telah diterima sebagai musim mercun. Sepatah kata Saloma: “Dam, dam, dum, mercun berdentum...”

Sebenarnya lirik lagu itu sudah tidak relevan, sebab sejak lebih sedekad lalu mercun telah diharamkan di negara kita. Adalah menjadi kesalahan – boleh dihukum denda dan penjara – bagi siapa sahaja yang menjual, menyimpan atau bermain mercun.

Mengimport mercun dan bunga api adalah dilarang di bawah Butiran 34, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008, kecuali dengan permit import yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, itu pula hanya untuk dua jenis mercun iaitu PoP PoP dan Happy Boom.

Bukan tidak ada usaha menyekat mercun masuk ke negara ini. Polis Kelantan menubuhkan skuad khas bagi memantau kegiatan penyeludupan mercun. Minggu lalu mercun bernilai hampir RM180,000 yang cuba diseludupkan masuk berjaya dirampas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan.

Di Ipoh, Kastam merampas 1,190 karton mercun dan bunga api bernilai RM744,315, dipercayai rampasan terbesar tahun ini. Tetapi nampaknya si penyeludup lebih cekap berbanding pihak berkuasa. Jumlah yang berjaya diseludupkan jauh lebih besar daripada yang dirampas.

Buktinya mercun meletup berdentum-dentam sana-sini setiap kali musim raya.Nyata sekali pengedar dan penjual mercun tidak takut pada undang-undang. Benda haram itu dijual secara terbuka di pasar malam dan bazar Ramadan, sama seperti menjual ayam percik atau air tebu.

Mereka berani, sebab tidak ada tindakan pihak berkuasa. Siapa sahaja boleh main mercun, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, termasuk di kawasan perumahan polis. Maknanya, anak dan suku-sakat polis pun main mercun!


Sebab itu penjual mercun naik lemak. Seperti tahun-tahun sebelumnya, puasa kali ini pun banyak kecederaan dan kecacatan akibat mercun. Beberapa jari sudah bercerai dari tangan, banyak juga muka lebam. Minggu lalu seorang pekerja kilang lelaki dan anak jirannya cedera parah di muka dan mata akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup sekali gus.

Walaupun haram, mercun dijual tanpa sekatan. Kita gagal menyekat yang haram. Maka ada baiknya mercun dihalalkan sahaja. Biar banyak lagi jari-jemari putus, baru meriah beraya di hospital!

Pelacur pun sama macam mercun, diisytiharkan haram tetapi dibiarkan macam halal. Bukan rahsia lagi, semua orang tahu menjual seks sudah menjadi satu industri di tempat kita.

Mungkin belum ke tahap korporat atau industri berat, tetapi yang pasti boleh masuk dalam kategori industri kecil dan sederhana (IKS), dan kini berkembang pesat dengan penyertaan dari luar termasuk dari Indonesia, Thailand, China dan negara-negara bekas USSR. Hebat!

Pusat-pusat hiburan, rumah urut, spa tumbuh macam cendawan, semua menawarkan seks. Seperti yang dilaporkan media, di Selangor sahaja ada 571 premis rumah urut dan 775 pusat hiburan yang berlesen didaftarkan; yang beroperasi secara haram lagi banyak.

Entah kenapa hanya Selangor menjadi tumpuan, sedangkan di negeri-negeri lain pun tempat maksiat tumbuh melata. Buktinya selalu kita lihat di TV pihak berkuasa menangkap GRO, termasuk dari luar negara.

Ada pun GRO, atau pegawai perhubungan pelanggan, adalah nama glamor sesuai dengan industri yang semakin berkembang. Dulu-dulu dipanggil pelayan atau kupu-kupu malam. Apa pun nama dan gelaran, bisnesnya hanya satu: seks.

Pusat maksiat diserbu, GRO ditangkap dan digari kemudian dimasukkan dalam lori. Tidaklah diketahui apa jadi pada mereka selepas itu. Apa yang pasti esok atau lusa pusat maksiat itu beroperasi seperti biasa.

Ada pusat maksiat yang telah diserbu sebanyak enam kali, masih tidak serik-serik berniaga seks. Ini bukti kita tidak tegas memerangi pelacuran. Kita banyak cakap, tetapi tidak ada tindakan, dan pelacuran terus membiak.

Maka ada baiknya pelacur-pelacur haram itu dilesenkan – sama seperti permit judi – boleh juga kerajaan memungut cukai.

Malah, silap-silap gaya kita boleh dicatat dalam Guinness World Records sebagai negara Islam pertama menghalalkan pelacuran!

1 comment:

  1. Siapa yg bisness yg haram2 mcm ni,kerajaan ingat nak bagi lesen hiburan dan pusat mcm ni utk memberi kebebasan kpd kaum dan agama lain,tp disebaliknya dia org dah lwn kerajaan di bandar2,saya setuju kita tgkap,kita buat serbuan,semua kerja yg haram2 mcm ni slalu,biar dia rasa mcm mana kerajaan rasa..trus kan,hapuskan,

    ReplyDelete

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.