Thursday, January 24

PERKASA NAFI EDAR RISALAH BAKAR BIBLE.........


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini menafikan dakwaan bahawa pihaknya bertanggungjawab mengedarkan risalah "acara" membakar Bible versi bahasa Melayu pada jam 10 pagi Ahad ini.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali menegaskan PERKASA sama sekali tidak terlibat dalam pengedaran risalah itu apatah lagi menganjurkan acara sedemikian rupa.
 
Beliau turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai perbuatan jahat pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mengambil kesempatan di atas polemik yang berlaku.
 
Justeru, PERKASA mahu pihak polis menyiasat dalang di sebalik perkara tersebut.
 
"PERKASA tidak pernah mengedarkan risalah mahupun menjemput, sama sekali mengadakan upacara pembakaran Bible dalam bahasa Melayu.
 
"Untuk mengadakan upacara membakar Bible pada 27 Januari ini adalah tidak benar dan PERKASA sama sekali tidak pernah menjemput orang ramai untuk turut serta. 
 
"Jadi kita minta pihak polis menyiasat seiapa sebenarnya dalang yang mengedarkan Bible tersebut yang kita percaya adalah pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Ini juga adalah kerja pihak tak bertanggungjawab yang cuba mencurah minyak ke dalam api," katanya.
 
Mengulas lanjut kenyataan Presiden Datuk Ibrahim Ali berhubung gesaan membakar Bible bahasa Melayu sebelum ini, Syed Hassan menegaskan ia hanyalah satu peringatan kepada pihak yang bertanggungjawab supaya menghentikan segala usaha pengedaran Bible kepada orang Melayu.
 
Malah, ia juga merupakan langkah selamat bagi menjaga keharmonian umat Islam di negara ini. 
 
"Walaupun sebelum ini Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali ada menyebut barang sesiapa umat Islam yang menerima Bible bahasa Melayu yang dalamnya terkandung perkataan jawi dan kalimah Allah mesti membakarnya sebaik sahaja menerimanya.
 
"Tapi itu sebagai "wake up call" kepada semua pihak yang bertanggungjawab supaya menghentikan segala usaha mengedarkan Bible bahasa Melayu yang ada kalimah Allah di dalamnya kepada umat Islam. Sebab sehari sebelum Datuk Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan tersebut, satu laporan polis telah dibuat bahawa ada cubaan mengedar Bible bahasa Melayu yang dalamnya terkandung perkataan jawi dan kalimah Allah kepada pelajar sekolah beragama Islam," ujarnya.
 
Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata pihak PERKASA akan bertindak membakar Bible versi Melayu yang mengandungi kalimah Allah dari terjemahan perkataan 'God'. 
 
Sebaliknya ujarnya tindakan membakar Bible tersebut adalah jalan terbaik untuk mengajar mereka yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.
 
Dalam pada itu, ditanya apakah tindakan yang akan diambil PERKASA jika acara pembakaran Bible itu tetap berlangsung, Syed Hassan berkata pihaknya sama sekali tidak akan terlibat malah menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
 
"Saya tidak tahu, tapi jika ia berlangsung semestinya ia bukan dari PERKASA. PERKASA tidak akan melakukannya buat masa ini dan masih lagi memikirkan keselamatan negara, kesejahteraan negara, keharmonian antara kaum PERKASA tidak akan lakukan.
 
"Kita akan biarkan pihak polis yang menangani, sekiranya berlaku ia akan menimbulkan suasana yang tidak elok dan adalah lebih penting acara itu dihalang daripada berlaku," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.