Monday, April 22

Tasamuh!!! PKR dan PAS sedang berperang Sesama Sendiri..... #GE13


Bukan satu tetapi tujuh. PAS dan PKR akan berentap di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) kali ini.
 
Mereka akan berperang merebut kerusi DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang, Kota Damansara di Selangor, Panti di Johor, Kota Putera, Bukit Besi dan Seberang Takir di Terengganu.
 
Sementara di Labuan calon-calon PAS dan PKR akan beradu pengaruh dengan seorang calon Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi Parlimen berkenaan.
 
Jika pertembungan berlaku sekali ia boleh dianggap satu kebetulan. Bagaimanapun jika persaingan sudah mencapai tujuh kawasan undi membayangkan ia satu persengketaan.
 
PKR dan PAS sedang berperang?
 
Adakah sebenarnya PKR dan PAS kini sedang berperang? Nampaknya istilah tasamuh atau bertolak ansur di antara kedua parti itu sudah tiada lagi dalam kamus perpaduan di antara keduanya.
 
Dalam persaingan bagi merebut kerusi N21, Sungai Acheh di Pulau Pinang misalnya, baik PKR mahupun PAS masing-masing tidak dapat menyembunyikan keghairahan untuk memiliki kerusi berkenaan dan meletakkan calon sendiri. 
 
Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang gagal, Badrulhisham Shaharin atau Chegu Bard berkeras mahu bertanding di DUN berkenaan “atas arahan Majlis Pimpinan Pusat PKR”. 
 
PAS terlebih dahulu mengumumkan bahawa Yusni Mat Piah akan bertanding di Sungai Acheh. 
 
Maka jika keadaan pelik dalam hubungan PAS dan PKR ini adalah berpunca daripada kedegilan Chegu Bard, rasanya kemelut ini mudah dileraikan. 
 
Bagaimanapun, jika situasi ini adalah berikutan sengketa dan matinya semangat kerjasama di antara PAS dan PKR maka ia mungkin menjadi petanda kurang baik bagi kerjasama kedua-dua parti pembangkang itu.
 
PAS selamba ambil “hak” PKR di Kangar
 
Mungkinkah ini caranya PKR bertindak balas terhadap “keceluparan” PAS mengumumkan calon-calonnya di ketiga-tiga kerusi Parlimen di Perlis?
 
Sepatutnya PKR sekurang-kurangnya diberi peluang bertanding merebut kerusi Kangar. Pada PRU 2008, peluang bertanding di Parlimen Padang Besar dan Arau adalah hak PAS. 
 
Namun kali ini untuk menggenapkan angka 76 kerusi Parlimen yang dirancang untuk ditandinginya dalam PRU ke-13, PAS selamba mengambil “hak” PKR di Kangar.
 
Keadaan ini meletakkan PKR rasa bersalah terhadap Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang menganggap PKR “tidak beradab” kerana menyebarkan khabar kononnya beliau akan bertanding di bawah lambang PKR dalam PRU ke 13!
 
PAS hilang sikap toleransi 
 
Mengapa PAS tiba-tiba hilang sikap toleransinya dengan PKR? Adakah isu surat Sheikh Dr Yusuf Qardhawi yang mencetuskan rasa kecewa PAS terhadap PKR?
 
Kemelut surat Dr Yusuf Qardhawi ini memang isu besar. PKR mendakwa surat Yang Dipertua Persatuan Ulama Islam Sedunia itu mengiktiraf Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon terbaik menjadi perdana menteri jika gabungan pembangkang menakluki Putrajaya.
 
Jika benar demikian apakah pandangan sebenar Dr Yusuf terhadap PAS sebagai sebuah gerakan Islam di Malaysia? Dalam perkataan lain apakah kurangnya pemimpin PAS, terutama presidennya, Haji Hadi Awang berbanding Anwar hingga tidak layak menjadi perdana menteri?
 
Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin menganggap pilihan perdana menteri Yusuf Qardhawi adalah pandangan peribadi dan bukan Ulama Islam Sedunia. 
 
PKR rancang terbit sejuta naskah surat Dr Yusuf Qardhawi
 
PKR merancang mencetak dan menyebarkan satu juta naskhah surat berkenaan untuk “menekan” PAS supaya mengiktiraf Anwar sebagai calon paling layak menjadi perdana menteri.  
 
Demikian jika isu surat itu benar-benar tulen. PKR seolah mahu menggambarkan PAS sebagai tidak menghormati ulama muktabar seperti Sheikh Dr Yusuf.
 
Bagaimanapun jika terbukti bahawa surat berkenaan palsu, tentu PAS kecil hati. Pemimpin dan ahlinya akan sugul bagi tempoh yang lama mengenangkan PKR tergamak menggunakan taktik kotor sesama rakan pembangkang!
 
Ikut peraturan pilihan raya, mana-mana calon yang telah disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak untuk bertanding, mereka tidak boleh menarik diri. Maknanya calon-calon PAS dan PKR terbabit akan “berentap sampai mati”. 
 
Hakikat bahawa belum ada usaha ke arah mencari jalan perdamaian oleh PAS dan PKR membayangkan bahawa musim berbulan madu di antara kedua parti pembangkang itu sudah luput. 
 

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.