MKP masih teringat masa zaman bebudak dulu bila tiba musim kenduri amat bermakna. Apa tidaknya boleh tengok dan melihat bermacam-macam karenah manusia. Diwaktu itulah jua dapat berkumpul bersama rakan-rakan...
Tun Seri Lanang menyebutkan bahawa pada suatu masa dahulu apabila ada majlis kenduri kahwin, atau apa-apa jua keramaian, maka seluruh penduduk kampung dijemput, maka berduyun-duyun datang. Maka yang capik datang berpimpin, yang buta datang bertongkat, yang kurap mengekor angin yang pekak leka bertanya sehingga sampai di rumah orang kenduri itu.
Sampai sahaja ke orang rumah kenduri, masing-masing mengambil peranan tanpa disuruh, tanpa dikeluarkan surat arahan, memo atau mesyuarat panjang berjam-jam ataupun tanpa panggilan baris pada menjalankan tugas mengikut kebolehan masing-masing.
Tukang Masak menanak nasi, Si Buta menghembus lesung, Si Pekak membakar meriam, Si Pekong menghalau ayam di jemuran. Hasilnya air didih menganak sungai, kerak nasi membusut jantan, kepala kerbau dijadikan tungku. Indah sungguh hidup pada ketika itu.
Hari ini segala-galanya tinggal kenangan. Tiada lagi kompang berbunyi, tiada lagi gema seruling. Dari khemah hingga ke air minuman sama warna. Baju bentara pula mempunyai cogan kata tertentu. Untuk bersalam pun terpaksa melihat 'gang' dahulu takut-takut 'gang' nampak kita bersalam dengan orang yang mungkin berlainan parti. Nak bertegur sapa pun kena tengok kiri dan kanan dulu. Inilah realiti hari ini.
Menjelang pilihan raya, orang sudah mula ghairah memasang bendera parti, memanipulasi semua isu. Posmen pun bercakap macam menteri. Masjid yang dijadikan tempat beribadat dan penyerahan diri kepada Allah SWT pun dijadikan gelanggang politik. Media aliran perdana, media baharu seperti blog, twitter, facebook, website dan portal pun dijadikan medan hentam kromo.
Demikian juga media tradisional seperti wayang kulit, dikir barat, opera Cina dan yang seumpamanya dijadikan gelanggang untuk menabur fitnah, menyebar khabar angin dan membuat segala persepsi negatif. Hukum hakam tidak dihiraukan lagi. Kepada kumpulan ini matlamatnya hanya untuk menang pilihan raya.
Ironinya, sesuatu yang negatif jika diulang berkali-kali lambut laun maka orang mula percaya dan menganggapnya sebagai benar belaka, terutama orang yang cetek serta dangkal pengetahuan terhadap dunia politik.
Maka terjadilah apa yang disebut matlamat menghalalkan cara hinggakan isu kalimah Allah pun dibenar digunakan oleh bukan Islam.
Terdapat juga sikap seperti lempar batu sembunyi tangan. Nyawa pasukan polis dan tentera yang terkorban dalam medan tempur dengan pengganas pun disifatkan sebagai sandiwara dan mainan politik pemerintah.
Justeru jika berpolitik dan ghairah sangat untuk mendapatkan kuasa pun biarlah beradab dan bersendikan kesopanan dan kesusilaan, etika bersendikan dukungan agama yang tinggi. Janganlah sampai segala-galanya dipolitikkan dan menyamakan orang yang menerima bantuan sebagai haiwan dan ikan.
Malaysia sudah 56 tahun merdeka. Sewajarnya parti-parti politik yang ditaja parti pembangkang lebih matang dan beradab. Ulama yang berpolitik wajar menjadi contoh ikutan dan ikon. Sebaliknya jika ulama menggunakan pendekatan matlamat menghalalkan cara apakah perlu pengundi membabi buta menyokong hanya semata-mata mereka ulama tanpa mengambil kira asas-asal agama iaitu awal agama mengenal Allah dan ajaran yang dibuat oleh Rasulullah SAW?
Menjelang pilihan raya umum marilah sama-sama kita renung-renungkan agar kita tidak jadi orang yang tempang tanpa azam bulat untuk mengecap masa depan yang lebih gemilang.
Terbaik dari ladang PAS.... sesuatu yang pemimpin UMNO tak berani lakukan
ReplyDeletehttp://goo.gl/ZgX52