Wednesday, October 9

UKUR BAJU PADA BADAN SENDIRI.................?


Bukan senang handak jadi pemimpin yang berkaliber. Kalau setakat pakai WinCable atau dari keluarga yang kaya dari generasi nenek-moyangnya baik lupakan hasrat untuk bertanding. Pemimpin yang dicari haruslah bersih dari segala politik wang serta mengumpul kekayaan.

Antara nasihat pertama untuk setiap calon yang mahu menawarkan diri dalam pemilihan UMNO kali ini ialah ukur baju di badan sendiri.

Mungkin apa yang dimaksudkan ialah kalau baru setahun jagung, jasa kepada parti pun tidak setara mana, tidak perlulah hendak calonkan diri. Jika mahu mencari populariti gunalah platform lain. Bukannya pemilihan parti.

Tetapi takrifan ukur baju di badan sendiri itu sebenarnya cukup luas. Yang paling penting ialah kesan seseorang calon yang bertanding itu kepada parti.

Sebab itu, sama ada mereka calon baharu atau calon lama yang berpengalaman, cukup penting untuk mengukur kemampuan, keupayaan dan yang paling utama kesan yang akan mereka bawa kepada parti.

Memang ramai pemimpin yang menawarkan diri kali ini cukup berpengalaman dalam parti. Ada dalam kalangan mereka yang sudah puluhan tahun berkhidmat. Ada pula yang sudah memegang pelbagai jawatan peringkat bawah. Maka, kini merupakan masa untuk mencuba peringkat lebih tinggi.

Yang ketua cawangan mahu jadi ahli jawatankuasa bahagian, ahli jawatakuasa mahu jadi naib ketua, naib mahu jadi timbalan dan timbalan pula hendak jadi ketua.

Semua impian dan hasrat itu membawa kepada lebih 30,000 pencalonan dalam pemilihan UMNO kali ini yang dikatakan paling demokratik kerana barisan kepimpinan bakal diputuskan oleh lebih 150,000 perwakilan di seluruh negara.

Tetapi apakah matlamat akhir semua calon yang menawarkan diri untuk bertanding ini?  Jawapan retoriknya tentulah untuk berkhidmat kepada parti. Sebenarya yang paling utama memastikan UMNO kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PR14) dalam tempoh empat ke lima tahun dari sekarang.

Apabila bercakap tentang membentuk barisan yang akan menerajui UMNO pada PRU14 maka perlu dipastikan pemimpin yang dipilih ini benar-benar yang berkualiti dan dihormati.

Pemilihan kali ini bukan untuk mengekalkan status quo, tetapi untuk mencari pemimpin yang mampu menggerakkan parti itu dalam berhadapan PRU14.

Maknanya, ini bukan setakat ukur baju di badan sendiri, tetapi memastikan baju itu mestilah benar-benar muat dan sesuai dengan penampilan.

Sebab itu pemimpin-pemimpin sedia ada perlu juga mengukur baju mereka sama ada ia masih lagi sesuai atau sudah tidak sesuai.

Bagi mana-mana pemimpin yang kelihatan akan  menjadi beban kepada parti pada PRU14 eloklah mengundurkan diri supaya masa tidak terbuang begitu sahaja pada pilihan raya nanti semata-mata untuk membela dan mempertahankan mereka.

Bagi perwakilan pula, pilihlah pemimpin yang bukan sahaja bersih, tetapi mesti kelihatan bersih. Mana-mana pemimpin yang terpalit dengan skandal sama ada yang membabitkan ahli keluarga atau pekerja mereka sudah tentu akan membawa imej yang tidak elok kepada parti.

Pemimpin itu sendiri sepatutnya mengaudit diri sendiri. Tanya diri sendiri adakah dengan pelbagai kes tidak elok yang masih belum selesai termasuk yang membabitkan rasuah dan penyelewengan akan turut terpalit kepada parti jika dia memang pada pemilihan ini.

Sebagai pemimpin kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. Jangan hanya kerana mahu mengejarkan jawatan atau mahu mengekalkan jawatan buat sepenggal lagi, maka  sanggup mengketepikan kesan negative yang bakal terkena kepada parti.

Sesiapa sahaja boleh mendakwa dirinya bersih. Atau boleh mendakwa apa yang berlaku itu tidak ada kena mengena dengan dirinya dan jawatan yang disandangnya.

Perlu diingat, rakyat Malaysia teramasuk tiga juta ahli UMNO cukup bijak dan matang. Mungkin para perwakilan tetap akan memilih pemimpin yang kelihatan tidak bersih itu. Tetapi awas, ia tidak berakhir pada pemilihan Oktober ini. Hukuman sebenar bakal menanti pada PRU14.

 Jika para perwakilan tekad juga memilih pemimpin yang ada masalah atau yang terpalit dengan masalah yang menjadi beban kepada parti, maka ahli-ahli biasa yang tidak ada kuasa mengundi pada pemilihan ini akan menggunakan kuasa mereka pada pilihan raya ini.

Tetapi bagi pemimpin yang pentingkan diri sendiri, mereka tentunya tidak kisah jika parti kalah pada PRU14 atau gagal membentuk kerajaan. Yang penting mereka menjadi ketua atau kekal sebagai ketua.

Rakyat juga tentunya tidak kisah, kerana apabila mereka sudah bosan dengan kepimpinan parti yang masih mengangkat mereka yang bergelumang dengan pelbagai masalah, tentu mereka tidak ada masalah untuk beralih arah.

Jadi, kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang menawarkan diri untuk pemilihan kali ini pastikan  baju itu benar-benar muat dengan diri mereka. Bagi pemimpin yang sudah season, mereka tentunya tahu macam mana hendak ukur dan tahu sama ada ia masih sesuai atau tidak lagi sesuai.

Bagi para perwakilan pula, pilihlah pemimpin yang memakai baju yang betul dan sesuai dengan budaya dan kepentingan masyarakat di negara ini.  Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah meminta supaya pemimpin parti itu perlu berubah. Jika tidak, mereka yang akan diubah. Jika perwakilan tidak `mampu' mengubahnya maka rakyat yang akan berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.