Friday, March 14

Pesawat MAS Mungkin Ada di Lautan Hindi #PrayForMH370


Pegawai Amerika Syarikat mendedahkan ada "petunjuk" pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lalu mungkin terhempas di Lautan Hindi dan sedang menggerakkan kapal USS Kidd ke kawasan untuk mencarinya, lapor stesen televisyen ABC News.

Pegawai kanan Pentagon itu memberitahu ABC News, pihaknya memerlukan masa 24 jam untuk menggerakkan kapalnya ke kawasan itu.

"Kami ada petunjuk pesawat itu terhempas di Lautan Hindi," kata pegawai kanan berkenaan.

Jelas pegawai itu, mereka ada petunjuk pesawat itu terbang empat atau lima jam selepas hilang daripada radar dan mereka percaya ia terhempas ke dalam laut.

Amerika Syarikat mempunyai pangkalan tentera di Diego Garcia yang terletak di Lautan Hindi.

Pendedahan pegawai kanan Pentagon itu menyusul kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang media pada Khamis menafikan laporan awal akhbar The Wall Street Journal yang mengatakan ada bukti pesawat itu telah terbang selama beberapa jam selepas ia kali terakhir dikesan.

Usaha mengesan pesawat Boeing 777-200 itu pada mulanya digerakkan di kawasan Laut China Selatan sebelum diperluaskan di kawasan Selat Melaka sampai ke perairan dekat Kepulauan Andaman.

Ia diperluaskan selepas ada bukti pesawat berkenaan berpatah balik dari laluan asalnya dan dikesan pada kali terakhir di kawasan utara Semenanjung Malaysia dekat Selat Melaka.

"Kita sedang bekerjasama dengan dekat dengan pihak FAA dan NTSB tentang isu kemungkinan patah balik itu," kata Hishammuddin, merujuk kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika.

Dalam sidang media pada Khamis juga, Hishammuddin menafikan laporan awal rakaman satelit dari China yang menunjukkan objek di Laut China Selatan yang berkemungkinan ada kaitan dengan pesawat MH370.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia yang membuat tinjauan ke kawasan berkenaan kemudian mendapati laporan itu tidak benar. Kedutaan China juga kemudiannya memaklumkan imej satelit itu dikeluarkan tanpa kebenaran serta tidak menunjukkan serpihan daripada MH370.

Bekas juruterbang berpengalaman Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain sebelum ini berkata Lautan Hindi adalah kawasan laut yang paling bergelora kerana kawasan perairannya yang luas dan tidak dihimpit oleh daratan, berbanding kawasan laut lain.

"Ini adalah kawasan yang paling sunyi di dunia. Sangat sedikit kapal dan pesawat yang lalu di situ. Ombaknya kuat dan angin kencang. Sekiranya pesawat hilang di situ, peluang untuk menemuinya sangat tipis," katanya.

 http://www.astroawani.com/


No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.