Saturday, November 15

KERAJAAN LAKSANA PENGASINGAN SISA DI PUNCA SECARA MANDATORI MULAI SEPTEMBER 2015 @MpKotaBelud


Hari Kitar Semula yang diraikan seluruh dunia akan disambut di Malaysia tahun ini dengan tema Kitar Semula Tanggungjawab Semua. Seiring dengan objektif menjadikan amalan kitar semula sebagai tabiat hidup, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menjadikan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) sebagai komponen utama dalam pengurusan sisa pepejal negara.

Di persimpangan ini, saya mengumumkan bahawa Pengasingan Sisa di Punca secara mandatori (separation at source) akan dilaksanakan mulai September 2015.

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) telah merangka peraturan dan garis panduan untuk melaksanakan usaha ini dengan berkesan.

Pelaksanaan peraturan baru ini telah digubal menurut klausa perundangan dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Secara umumnya, proses pengasingan sisa di punca membabitkan:

Pengasingan sisa pepejal isi rumah mengikut komposisi sisa: plastik, kertas, kadbod, kaca, logam, sisa makanan, sisa pukal dan sisa kebun;

Kutipan sisa yang diasingkan akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan oleh syarikat konsesi yang dilantik. Ini akan dilaksanakan berdasarkan konsep kutipan 2+1.

Pelaksanaan kutipan 2+1 juga telahpun dijalankan sepenuhnya di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 (WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Kuantan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah) bermula September 2014.

Ke arah mendorong sokongan rakyat terhadap pelaksanaan peraturan ini, JPSPN akan melaksanakan kempen hebahan, program kesedaran dan pendidikan di seluruh negara.

Selain itu, kerajaan juga akan memastikan fasiliti pengurusan sisa pepejal ditambahbaik dan pengoperasian pusat-pusat 3R peringkat komuniti berjalan lancar untuk memastikan kejayaan inisiatif baru ini.

Pelaksanaan peraturan baru ini adalah sebahagian usaha Kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa, yang ketika ini semakin meruncing. Peningkatan jumlah sisa secara mendadak menyebabkan tapak pelupusan sedia ada semakin kehabisan ruang.

Ini ditambah pula dengan persaingan guna tanah bagi membina tapak pelupusan baru, menyebabkan kerajaan terpaksa memperkenalkan kaedah tambahan dalam pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Pengasingan sisa di punca akan membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, justeru membantu menambah jangka hayat tapak pelupusan tersebut.

Aktiviti 3R dan pengasingan sisa di punca telah dikenalpasti sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.

Sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah status negara maju menjelang 2020, Malaysia harus meningkatkan aktiviti 3R dan kadar kitar semula di peringkat kebangsaan.

Melalui pelaksanaan hebahan kempen kesedaran dan `public education’ ini, kerajaan yakin boleh mencapai sasaran pencapaian kadar kitar semula sebanyak 22% menjelang tahun 2020.

YB DATUK ABDUL RAHMAN DAHLAN
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

15 November 2014

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.