Monday, November 10

Zaman berubah. Tuntutan rakyat berubah. Janggal jika 2014 ditafsirkan dari kaca mata 1984. @nohomar

 
  
“Dia suruh siapa berundur? Umno Selangor tu siapa?,” 

soal Ketua Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar kepada mantan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dengan nada yang tegas, Noh juga cuba mendepani komentar Tun Mahathir pada asas yang mudah, jelas dan adil apabila beliau menyatakan:

“Saya hendak komen macam mana kalau tidak ada spesifik. Hendak undur apa? Yang duduk di Umno Selangor itu semua ketua bahagian. Ketua bahagian yang dipilih oleh orang Umno, oleh perhimpunan.”

Noh mahu wibawa Umno Selangor usah dipertikaikan kerana ia adalah pilihan ahli akar umbi Umno Selangor sendiri. Pelantikan mereka adalah selaras adat, adab dan perlembagaan Umno.

Lantas, Noh mahu tahu siapa yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir yang patut berundur. Adakah barisan pimpinan sedia ada? Atau, cukup sekadar beliau sebagai “ketua” barisan pimpinan hari ini?

Mungkin jika didorong lebih lanjut, Noh seolah-olah mahu mengatakan perihal dirinya adalah dilantik oleh Presiden Umno yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi Umno.

Justeru jika ada pihak tidak berkenan dengan cara kepemimpinannya, seharusnyalah mereka merujuk pada pimpinan tertinggi Umno, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Lantaran itu jika mahu reaksi yang berimbang dan munasabah daripada saf pimpinan Umno hari ini, haruslah soalan, pandangan dan desakan seumpama itu dibuat secara khusus. Spesifik, kata Noh.

Noh nekad, nampaknya. Pada zaman Tun Mahathir berkuasa, tidak ada pemimpin parti itu yang berani “mengajar” beliau bagaimana mahu membuat teguran atau memberi pendapat.

Noh Omar malu terima teguran

Apakah yang sebenarnya merangsang Noh untuk memberi reaksi begitu tangkas, berang dan bengis begitu? Mungkin Noh di bawah tekanan yang amat besar.

Pertama, memang benar Umno Selangor sudah dua kali kecundang. Diaibkan pertama kali pada pilihanraya umum ke-12 pada 2008 apabila hanya memenangi 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor.

Kali kedua lebih buruk lagi. Umno hanya menang 12 kerusi DUN berkenaan dalam pilihanraya umum ke-13 pada Mei tahun lalu. Tentu beban untuk “menterbalikkan” keadaan menjadi lebih berat.

Faktor kedua “kebengisan” sikap Noh ini mungkin didorong hakikat baru minggu lalu Umno Selangor “ditegur secara terbuka” oleh presiden parti, Datuk Seri Najib Razak yang berasa malu, serik dan perit kerana prestasi buruk Umno Selangor itu.

Lantas syor Dr Mahathir supaya saf kepimpinan Umno Selangor dirombak adalah cabaran yang cukup peribadi dan “memeritkan” buat Noh. Beliau mendesak teguran “spesifik” daripada Dr Mahathir.

Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc berkata Umno (termasuk Umno Selangor) perlu mengikis imejnya sebagai parti rasuah dan menasihatkan pemimpinnya hidup lebih bersederhana.

"Mereka perlu rapat dengan rakyat dan bukan sahaja dengan ahli Umno. Jangan sekali-kali guna kereta mewah bila ke kampung,” kata Dr Mahathir.

Bagi Noh nasihat itu terlalu umum. Baginya Umno Selangor pimpinannya berusaha memperbaiki keadaan. Sebab itu, beliau tidak silu mendedahkan bahawa pimpinan Umno Selangor ketika itu berada di Terengganu.

Katanya, dengan bantuan Umno Terengganu, beliau dan pemimpin Umno Selangor lain bermukim di Darul Iman untuk melakar strategi merampas semula Selangor.

Mengapa di Terengganu? Mungkin mahu mempelajari bagaimana Idris Jusoh berjaya melaksanakan strategi “Gelombang Biru” dan menawan semula Terengganu setelah tumpas dalam pilihanraya umum 1999.

Namun mungkin yang menjengkelkan Noh ialah apabila Dr Mahathir menyatakan beliau dan pasukannya tidak cukup berusaha mencari bakat baru untuk memimpin Umno Selangor.
"Pemimpin Umno biasanya tidak suka menerima ahli baru yang berbakat kerana takut mereka dicabar dan hilang jawatan atau tidak dapat jadi calon pilihan raya.

"Oleh itu usaha mereka bukanlah memperkuatkan Umno, tetapi memperkuatkan kedudukan mereka,"
kata Dr Mahathir.
Belon ego Noh pecah menghadapi pandangan Dr Mahathir ini apabila beliau berkata:
“Hendak kata saya, saya tidak pernah kalah. Majoriti saya meningkat lagi. Siapa yang dimaksudkan secara spesifik?”
Noh cuba mengkilas asakan umum Dr Mahathir bahawa Umno perlu mengikis persepsi umum bahawa ia adalah parti rasuah.
“Bukanlah kita kata (rasuah) bermula daripada dia, dia dulu presiden. Sejak bila orang cop Umno parti rasuah? Ia bermula zaman bila,?” kata Noh.

Teguran Tun M seperti membuka pekung

Melontarkan semula soalan apabila menerima teguran adalah kurang matang. Malah menonjolkan rekod dan prestasi diri sendiri di saat Umno memang terbukti gagal lebih enam tahun di Selangor juga adalah kurang bijak.

Adalah lebih bijak jika teguran Dr Mahathir diperinci. Misalnya, kritikan beliau pada umumnya Umno gemar mencantas watak-watak “Hang Nadim” dalam parti harus perhalusi.

Dengan mendepang rekod sendiri, Noh sebenarnya mengiakan kenyataan Dr Mahathir bahawa memang ada pemimpin Umno yang lebih sibuk mengukuhkan kedudukannya dalam parti daripada berikhtiar mengenegahkan “panglima-panglima baru Umno” di Selangor.

Amatilah saranan Dr Mahathir supaya hemah veteran Umno diambilkira dalam menyaring potensi leftenan-leftenan Umno Selangor yang baru. Ini boleh menjamin proses ini tidak mengundang “musuh dalam selimut” nanti.

Daripada terlalu sensitif dengan pandangan Dr Mahathir bahawa Umno perlu mengikis imej Umno parti rasuah, adalah lebih elok Noh dan rakan-rakannya memikirkan bagaimana mahu melancarkan imej baru yang bersih, ikhlas dan berani Umno di Selangor.

Jika mantan presiden Umno sendiri tidak boleh menegur, siapa lagikah yang mahu mengambil mahu mengambil berat tentang nasib Umno Selangor?

Umno ialah parti untuk seluruh Malaysia. Justeru nasib parti itu juga harus jadi isu bagi seluruh ahlinya, bukan ahli Umno Selangor sahaja.

5 comments:

  1. Kalau Tun M pun yg pimpin Umno Selangor sekarang ,BN akan kalah juga.Umno tak sepatutnya salah menyalah antara mereka aptah lagi orang pencen macam TM,buat lah kerja dgn betul.Umno memerlukan 'pemimpin rakyat' bukan hanya pemeimpin grombolan Umno.Ikut lah contoh Azeez Rahim,pemimpin Umno kena turun ke bawah,kesawah keladang kelongkang,kepadang,kelaut dan ke mesji dan surau, di situlah tempat rakat yg perlu di gauli oleh pemimpin Umno.Bukan di cofeehouse atau di lobby hotel.

    ReplyDelete
  2. Org umno besar jasa nya..beribu masjid di bina seluruh negara...tp yg memenuhi dan mengimarahkan masjid....kebanyakkannya org pas..org umno..dok gebang besaq jat coffee house. .

    ReplyDelete
  3. Betul orang pas makmurkan masjid. ..secara lahiriah...tapi kalau bersekutu dgn kafir pasal nama Allah maka kosong la Imarah mereka. ..Allah tak pandang sikit pon...manusia nampak lain Allah nampak lain...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bukan semua dalam Umno tu baghal...namun tidak dinafikan sebahagian pemimpinnya Kaldai Akaq....

      Delete
  4. Aku setuju pandangan noh omar ni.masa berubah dan fikiran orang melayu juga berubah kerana ada segolongan orang yg dilantik sebagai pemimpin UMNO tidak mahu berubah tapi berusaha tidak mahu diubah itu yg timbul politik wang dan sebagainya.UMNO dulu dah tak ada yang tingal hanya UMNO baru dengan penuh cabaran dialam yg berbeza.Pemimpin umno mesti berusaha dgn gigih agar bila kita orang melsyu mendongak kelangit nampak umno dan bila tunduk kebumi nampak umno serta bila melihat kehadapan nampak kegimilangan dan harapan bersama UMNO.....gitu UMNO baru.
    .

    ReplyDelete

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.