Seorang warganegara Arab Saudi dan fasih berbahasa Malaysia, Abdullah Ahmad Abdul Aziz Muar adalah salah seorang daripada 27 Kapten Tren tempatan yang akan bersama-sama memikul tanggungjawab untuk memacu tren-tren untuk operasi haji Al Mashaaer Al Mugadassah Metro Southern Line di Tanah Suci Mekah tahun ini.
Muar pada hujung namanya bukan sekadar nama keturunan; tetapi turut mengaitkan anak muda berusia 34 tahun itu bandar Seri Maharani Muar di Johor Darul Takzim, Malaysia.
“Moyang saya, Abdul Aziz Bakar berasal dari Muar. Dia dulu tinggal di Sungai Mati, Muar tetapi berhijrah ke sini kira-kira 200 tahun lepas untuk menetap di Mekah. Kami sekarang dah jadi orang tetap Arab Saudi. Saya dilahirkan di sini. Tetapi, kami masih terus mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia. Malahan, ibu saya adalah orang Perlis.
“Saya pernah ke Muar dan amat menggemari makanan-makanan tempatan. Paling saya suka adalah Mi Bandung Muar. Tetapi, saya lebih kerap ke Perlis kerana keluarga ibu saya masih ada di sana. Ayah saya sudah lama tiada,” kata Abdullah, sambil menambah bahawa nama Muar akan terus kekal untuk keturunannya.
Menurut Abdullah, beliau fasih berbahasa Malaysia kerana selalu bertutur dalam bahasa kebangsaan itu dengan ibunya, Radiyah Haji Osman, yang kini berusia 70 dan menetap di Reazaker di Mekah.
Pernah berkhidmat dengan operasi haji Al Mashaaer Al Mugadassah untuk tiga musim pada tahun 2011, 2012 and 2013 ketika dikendalikan oleh kontraktor terdahulu, China Railway Construction Limited (CRCC), Abdullah berkata beliau terkilan kerana tidak dapat berkhidmat pada musim lepas kerana kengkangan masa dan mempunyai urusan lain.
“Saya rasa kerja ini adalah ibadah besar. Kita membantu para jemaah untuk memudahkan urusan haji mereka,” kata Abdullah, yang menerima latihan di Akademi Rel LRT Laluan Ampang bersama-sama 26 rakan senegara beliau yang lain.
Ketika kunjungan di raja Gabenor Kota Suci Mekah, Putera Mahkota Khalid Faisal Abdul Aziz Al-Saud ke MMMSL baru-baru ini untuk meninjau persiapan untuk operasi haji musim ini, Abdullah dan rakan-rakan Kapten Tren dari Arab Saudi telah diperkenalkan kepada tetamu di raja itu.
“Ia adalah saat yang paling membanggakan buat kami. Saya rasa Prasarana telah menjalankan kerja yang baik di Tanah Suci Mekah ini. Saya amat gembira untuk bekerja bersama-sama dengan Prasarana sekarang. Saya rasa lebih mudah kerana kami lebih memahami antara satu sama lain,” kata Abdullah, yang bertugas sebagai pengurus platform semasa berkhidmat dengan CRCC.
Pengurus perkhidmatan tren MMMSL, Hamdan Mat Isa, yang menjadi salah seorang pengajar para pemandu tren dari Arab Saudi, berkata kelebihan Abdullah untuk berbahasa Malaysia banyak memudahkan pembelajaran beliau semasa di Ampang.
“Bagi saya, Abdullah adalah antara pelajar yang terbaik di kalangan pelatih-pelatih Kapten Tren dalam kumpulan ini. Sebenarnya, mereka datang dalam tiga kumpulan dan Abdullah di dalam kumpulan yang terakhir seramai 10 orang.
“Saya suka dengan sikap dan komitmen beliau sepanjang tempoh latihan selama sebulan di Ampang. Malahan, semua para pelatih daripada Arab Saudi ini mempamerkan prestasi yang baik. Saya yakin perkhidmatan MMMSL akan berjalan lancar tahun ini,” tambah Hamdan.
Beroperasi selama tujuh hari tetapi diselenggarakan sepanjang tahun, MMMSL kini sedang menjalani operasi percubaan 24 jam sehari sehingga 5 September sebelum memulakan operasi sebenar pada awal pagi 9 September yang bersamaan dengan 7 Zulhijjah 1437H.
Menggunakan 15 tren 12-gerabak dengan laluan sepanjang 18.1km dan sembilan stesen, MMMSL menyediakan perkhidmatan kepada jemaah dari negara-negara Timur Tengah dan Asia Selatan dan menampung penumpang sehingga 350,000 sehari pada hari-hari puncak.
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.