Wednesday, June 28

DELEGASI 49 KAPTEN TREN BERLEPAS KE MEKAH UNTUK OPERASI TREN HAJI MMMSL


Persiapan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi mengendalikan operasi perkhidmatan tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Tanah Suci Mekah musim ini semakin rancak dengan penghantaran kumpulan kedua Kapten tren seramai 49 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang hari ini.

Mereka akan menyertai 50 orang pemandu tren Malaysia yang sudahpun berada di Depoh MMMSL di Arafah sejak bulan Mei lepas untuk menjalani latihan dan menguji 15 set tren 12 gerabak yang akan digunakan untuk operasi yang khusus dijalankan pada musim haji selama tujuh hari mulai 29 Ogos ini.

Sementara 49 orang Kapten tren yang berlepas hari ini adalah daripada yang sedia berkhidmat dengan Rapid Rail untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan Laluan MRT Sungai Buloh – Kajang, kumpulan 50 yang sudah berada di Depoh MMMSL sekarang adalah bekas pemandu dan pesara yang pernah berkhidmat dengan Rapid KL, STAR-LRT dan KTM.

Selain 50 Kapten tren ini, turut sudah berada di Depoh MMMSL sekarang sejak April lepas adalah pasukan pengambilan staf tempatan Arab Saudi seramai 21 orang, yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil dan melatih 6,600 pekerja tempatan untuk kerja-kerja mengawal penumpang MMMSL musim ini.

Untuk operasi musim ini, Kapten-kapten tren dari Malaysia ini akan disokong oleh 24 Kapten tren Arab Saudi, yang dilatih oleh Akademi Rel, Rapid Rail di Kuala Lumpur tahun lepas, yang mana telahpun mula berkhidmat dengan MMMSL sejak operasi tahun lepas.

Turut serta dalam delegasi yang berlepas pada hari ini adalah dua jurulatih Kapten Tren, 8 staf untuk operasi stesen dan seorang pelukis kejuruteraan serta seorang pengurus untuk kawalan penumpang.

Majlis penghantaran ini telah diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz, yang diiringi oleh Puan Masnizam Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif, Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), yang merupakan anak syarikat Prasarana dan pemegang kontrak mengendalikan operasi dan penyelenggaraan aset dan fasiliti MMMSL.

Kontrak untuk tempoh tiga tahun itu telah dianugerahkan kepada PRIME pada tahun 2015 dengan anak syarikat Prasarana itu mengambil alih tugas yang sebelum ini dijalankan oleh China Railway Construction Corporation (CRCC) sejak perkhidmatan MMMSL ini diperkenalkan di Tanah Suci Mekah pada tahun 2010.

Sampai di Mekah, kesemua Kapten tren, yang akan menginap di kuarters kakitangan di Depoh MMMSL, ini perlu menjalani latihan khas selama lima hari sebelum dikehendaki pula 40 jam pemanduan tren bagi melayakkan beliau untuk berkhidmat pada musim haji nanti.

Operasi MMMSL untuk musim haji 2017 ini akan bermula pada 29 Ogos dan berakhir pada 4 September bersamaan dengan 7 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Kerja-kerja penyelenggaran tren, stesen dan fasiliti lain, bagaimanapun, berjalan sepanjang tahun.

Seramai 350,000 pemegang tiket akan menggunakan perkhidmatan MMMSL dan mereka akan bergerak pada masa yang sama mengikut ibadat dalam rukun-rukun haji – wukuf di Padang Arafah, bermalam di Mina dan melontar di Jamrah.

Mereka yang menggunakan perkhidmatan ini adalah dari negara-negara Timur Tengah dan rantau Asia Selatan termasuk India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Para jemaah Malaysia tidak menggunakan perkhidmatan ini kerana kedudukan khemah mereka di Mina yang terlalu jauh daripada jajaran MMMSL ini.

Dengan jajaran sepanjang 18.1km dengan sembilan stesen yang menghubungkan Arafah, Mina dan Jamrah, operasi tren diseliakan oleh Pusat Kawalan Operasi serba canggih, yang terletak di Arafah.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.