Monday, July 17

LEBIH SETENGAH JUTA BAKAL NIKMATI DISKAUN 50 PERATUS TAMBANG PERKHIDMATAN REL & BRT RAPIDKL SEHINGGA 31 OGOS


Lebih setengah juta pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT Rapid KL sedia ada dan puluhan ribu pengguna baharu dijangka menikmati diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan mereka mulai esok sehingga 31 Ogos 2017 berikutan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika majlis perasmian fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) hari ini.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri tersebut, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan MRT SBK berkata pihaknya sedang bersiap sedia untuk menyelaraskan sistem tambang kesemua perkhidmatan terlibat untuk kemudahan semua pengguna.

“Insya Allah, sistem tambang kami akan siap diselaraskan untuk memberi diskaun 50 peratus kepada kesemua pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT mulai esok, kata Zohari.

Selaras dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK kepada orang ramai mulai 4 petang ini, Zohari turut menyeru orang ramai untuk mengambil kesempatan untuk menggunakan secara percuma perkhidmatan MRT fasa dua dari Stesen Kajang ke Stesen Muzium Negara sehingga tamat waktu perkhidmatan hari ini (17 Julai 2017) dengan tren terakhir berlepas dari Stesen Kajang dan Muzium Negara kira-kira jam 11.30 malam ini.

“Perkhidmatan fasa kedua MRT SBK akan beroperasi secara percuma di antara Stesen MRT Kajang dan Stesen MRT Muzium Negara, yang dihubungkan ke Stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki bawah tanah, pada hari ini sebelum ia dihubungkan dengan sepenuhnya dengan MRT fasa satu dari Stesen MRT Sungai Buloh dan stesen-stesen LRT dan KTM di dalam jaringan rel  bersepadu Lembah Kelang mulai 6 pagi esok,” kata Zohari.

Dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK, Zohari berkata lebih 1,200 anggota Rapid Rail yang ditugaskan untuk mengendalikan perkhidmatan MRT SBK turut bersedia menyambut bilangan pengguna baharu perkhidmatan MRT yang dijangka meningkat 10 kali ganda sehari berbanding jumlah pengguna MRT sedia ada.

Berikutan jangkaan peningkatan jumlah pengguna baharu tersebut, terutamanya di stesen-stesen sambungan dan bersepadu, Rapid Rail telah dan sedang mengubahsuai beberapa stesen utama, antaranya Stesen LRT KL Sentral.

“Anjung Timur (East Wing) Stesen LRT KL Sentral telah siap diubahsuai dan dibuka sepenuhnya mulai hari ini sebagai pintu masuk kedua Stesen LRT KL Sentral.

“Anjung Timur Stesen LRT KL Sentral dilengkapi Pejabat Khidmat Pelanggan; 17 pintu  penghadang otomatik; empat eskalator, kamera litar tertutup, 11 mesin penjualan token, kemudahan menambah nilai Touch ‘n Go, dan kemudahan untuk penukaran kad MyRapid yang biasa,” kata Zohari sambil mengingatkan pemegang kad MyRapid untuk menukar kad mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go yang baharu untuk memastikan perjalanan yang lancar di antara sistem LRT dan sistem MRT yang baharu tersebut.

“Para pemegang kad MyRapid yang biasa (kad berwarna hitam) boleh menukar kad mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go secara percuma di kebanyakan stesen LRT, BRT, dan monorel sehingga 31 Julai ini.

“Para pemegang kad konsesi, termasuk warga emas, OKU, dan pelajar boleh menukar kad konsesi MyRapid mereka di Stesen LRT Subang Jaya, Stesen LRT Awan Besar, dan Stesen LRT Sri Rampai dari 7 pagi sehingga 7 petang, setiap hari, selain Pusat Kad Konsesi MyRapid di Hentian Akhir Bandar Pasar Seni,” tambah Zohari.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.