Thursday, December 28

PERKHIDMATAN LRT, MRT, MONOREL DIPERAKUI BERKELAS DUNIA DENGAN SIJIL ISO9001:2015


Perkhidmatan LRT, MRT dan monorel, yang dikendalikan Rapid Rail Sdn Bhd – hari ini menerima persijilan ISO terkini daripada SIRIM QAS International sekali gus mengesahkan kualiti perkhidmatan-perkhidmatan rel urban negara itu adalah berkelas dunia.

Ketika menerima pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001:2015 di pejabatnya di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman berkata pengiktirafan daripada badan akreditasi itu mengukuhkan lagi status Rapid Rail dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai penyedia perkhidmatan berkelas dunia berdasarkan pelbagai anugerah-anugerah antarabangsa yang diterima pada masa-masa lepas.

Pengiktirafan antarabangsa terbaru yang diterima oleh Prasarana adalah daripada European Society for Quality Research (ESQR), yang menganugerahkan buat kali kedua berturut-turut an Anugerah Berlian Antarabangsa bagi Kecemerlangan Kualiti di Vienna pada 9 Disember lepas. Ia dianugerahkan atas kecemerlangan Prasarana menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan metro haji di Arab Saudi.

Mengulas penerimaan Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001:2015 itu, Zohari berkata persijilan berkenaan mengantikan sijil ISO9001:2008, yang telahpun dimiliki oleh Rapid Rail sejak beberapa tahun lepas.  

“Kami di Rapid Rail sentiasa meningkatkan dan memantapkan sistem pengurusan, tahap kemahiran dan tahap kualiti dalam apa jua kami lakukan bagi memastikan perkhidmatan  berkualiti kepada para pelanggan kami. Syarat-syarat untuk sijil baru ISO9001:2015 adalah jauh lebih ketat; tetapi kami tetap gigih untuk  mencapai piawaian yang diperlukan.

“Bagi saya, pengiktirafan daripada SIRIM QAS International ini amat bermakna kerana keistimewaan badan ini sendiri. Bukan saja ia adalah badan akreditasi nasional, yang diiktiraf oleh Jabatan Standards Malaysia, tetapi juga oleh UKAS, yang merupakan badan akreditasi antarabangsa,” kata Zohari.

Beribupejabat di Britain, UKAS atau United Kingdom Accreditation Service adalah badan akreditasi yang menilai kewibawaaan organisasi yang memberikan perakuan dan pengiktiraf untuk persijilan, ujian, pemeriksaan dan perkhidmatan kalibrasi (calibration).

Berucap pada majlis berkenaan, wakil SIRIM QAS International, Puan Nor’afiza Saim, berkata persijilan yang dikeluarkan oleh organisasinya diiktiraf di 37 negara lain, yang berpayung di bawah IQNet, atau International Certification Network, yang berpengkalan di Switzerland.

Kata beliau, sebagai rakan kongsi kepada IQNet, sistem pengurusan persijilan yang dilaksanakan oleh SIRIM QAS International diperakui di serata dunia; sekali gus memberi faedah kepada perkhidmatan dan hasil produk para penerima persijilannya untuk memasuki pasaran antarabangsa.

“Berdasarkan kepada pengalaman kami dalam memberikan pensijilan sistem pengurusan kepada organisasi-organisasi daripada pelbagai sektor, ianya bukanlah perkara mudah untuk memenuhi keperluan pensijilan sistem pengurusan ISO 9001 dan  melaksanakannya dalam organisasi.

“Pensijilan ISO 9001:2015 yang diterima oleh Rapid Rail hari ini tidak akan terhasil tanpa wujudnya komitmen tinggi, yang diberikan oleh pihak pengurusan dan seluruh warga kerja Rapid Rail,” kata Nor’afiza, yang merupakan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan SIRIM QAS International.  

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Abdul Hadi Amran dan Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Kelana Jaya, Haji Ismail Abdullah dan para pegawai tinggi Rapid Rail lain.

Thursday, December 21

Sidang Media Tan Sri Shahrir Samad Jawab Isu Semasa Felda



FELDA akan berusaha sedaya mungkin dalam memastikan tanah mereka yang hampir tergadai dalam projek Kuala Lumpur Vertival City (KLVC) dikembalikan hak dan kuasa kepada FELDA semula.

Bercakap kepada wartawan dalam satu sidang media di Menara FELDA, Tan Sri Shahrir Samad menegaskan bahawa segala proses mengembalikan tanah tersebut telah dilakukan termasuk laporan polis keatas Syarikat Synergy Promenade.

Tanah berkeluasan 16.43 ekar (Pecah 4 Perjanjian Jual Beli) yang bernilai RM270 juta itu dipindah milik kepada syarikat berkenaan. 

“Saya terpegun kerana tanah milik Institusi Kerajaan(FELDA) begitu senang proses penjualan dan pindah milik.

Apa yang menarik dari nilai jualan itu, tiada satu transaksi berlaku yang membawa maksud FELDA belum terima apa-apa duit hasil penjualan Tanah”, Tan Sri Shahrir Samad.

Berita Harian hari ini mendedahkan pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Cor-poration Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wira Razali Ibrahim berkata, Perdana Menteri maklum akan hal ini pada Febuari yang lalu dan telah menasihatkan beberapa perkara dalam memastikan tanah tersebut dikembalikan.

Laporan Polis dibuat tidak dinamakan sesiapa didalam Lembaga Pengarah ketika itu kerana kita telah berunding dengan Syarikat berkenaan tetapi gagal mencapai sebarang keputusan.

“Saya ingin tegaskan ada 3 perkara mustahak yang rakyat perlu tahu dalam kes ini, yang pertama kita telah “Private Caveat” tanah tersebut ,yang kedua laporan polis telah dibuat keatas syarikat terbabit kerana rundingan untuk serah semula gagal, yang ketiga audit penuh keatas segala hal yang berkaitan penjanjian dan penjualan tanah tersebut”, Datuk Wira Razali Ibrahim.

Beliau turut menegaskan, FELDA tidak berminat dalam soal urusan wang dan pembangunan ditanah tersebut kerana apa yang menjadi keutamaan sekarang hak Tanah tersebut dikembalikan kepada FELDA.

Urustadbir Mengelirukan- FELDA Berisiko Hilang Hak Tanah Jalan Semarak


FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Carian dalam portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati Menara KLVC Tower1A sudah diluluskan untuk dimajukan dengan bangunan pejabat 68 tingkat meliputi 59 tingkat pejabat, dua tingkat podium pejabat termasuk parkir, enam tingkat tempat letak kereta, dua tingkat parkir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.

Sumber memberitahu BH, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Cor-poration Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Urus tadbir mengelirukan

Menurut sumber itu, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif.

“Ia agak mengelirukan dari segi urus tadbir kerana Lembaga Pengarah FELDA tak tahu siapa sebenarnya buat keputusan, sama ada FIC atau FELDA kerana ketika itu ada orang yang sama duduk dalam FIC dan dalam FELDA.

“FELDA keluarkan surat kuasa wakil kepada syarikat pemaju untuk bangunkan kawasan terbabit, namun tanah berkenaan kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015,” katanya.

Carian BH di Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga mendapati satu daripada tanah iaitu lot 390 seluas 16 hektar yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat lama FELDA, Anjung FELDA dan Wisma FELDA ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama projek itu pada 21 Julai 2016.

Difahamkan, sehingga kini tiada pengumuman dikeluarkan FELDA berhubung pemindahan hak milik tanah itu atau transaksi pengambilalihan tanah antara FELDA dengan pemilik baharu tanah itu.

BH turut bertemu pemaju itu di pejabatnya untuk mendapatkan penjelasan lanjut, tetapi seorang pengarah syarikat terbabit enggan memberi sebarang komen.

Mengikut laporan media pada 14 Mei 2014, kawasan itu mulanya dirancang dimajukan sebagai projek pembangunan bercampur komersial dan kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM500 juta oleh anak syarikat FIC, iaitu ENCORP Bhd.

Namun, pada 6 November 2014, DBKL menerima permohonan kebenaran merancang kawasan sama daripada pemaju utama KLVC dan bukan ENCORP.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati kontraktor utama projek KLVC adalah sebuah syarikat baharu yang hanya ditubuhkan Januari lalu.

Sumber Berita Harian

Wednesday, December 20

WIRA MRT BANGKOK DIJULANG STAF TERHEBAT PRASARANA


Pemandu tren Saravan Subramaniam, yang dijulang sebagai wira kerana tindakan pantasnya membantu menggelakkan kegelinciran tren semasa dipinjamkan ke MRT Purple Line Bangkok, Thailand tahun lepas, telah dijulang sebagai staf terhebat Kumpulan Prasarana untuk tahun 2017.

Saravanan, yang juga penerima Anugerah Khas Staf Rail daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Majlis Anugerah Industri yang diadakan bulan Oktober, mengatasi empat pencalonan lain dalam senarai akhir dalam kategori Pujian Awam atau Public Commendation untuk Anugerah PEARL atau ‘Prasarana Employee Appreciation and Recognition for Life’ pada majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 15 Disember lepas.

Salah satu daripada pencalonan dalam senarai-pendek itu adalah gandingan ‘cyber troopers’ dalaman Prasarana - Sharifah Khairin Syed Mohd Ali dan Nik Nur Amelia Farhana Nik Ibrahim, yang memenangi Anugerah Terbaik Media Sosial untuk Kategori Lojistik dan Pengangkutan pada Minggu Media Sosial Malaysia di Kuala Lumpur bulan lepas.

Untuk kategori Pematuhan Nilai-Nilai Murni Prasarana, jemaah hakim memilih satu pasukan lapan anggota yang bertanggungjawab menghasilkan program khas ‘Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) Hiring & Webinar Cloud Hosting’ untuk urusan pengambilan dan pengurusan staf melalui atas talian.

Lapan anggota berkenaan adalah Encik Nurul Haszeli Ahmad, Mohd Nizar Abd Azik, Hazrul Nizzam Sidek, Mohd Abdul Hanan, Suhaimi Maidin, Anuar Mustafa, Muhammad Nor Hafiz Yaacob, Shek Mohd Fahmi dan Allahyarham Amiza Abdul Aziz, yang meninggal dunia ketika bertugas di Tanah Suci Mekah menjelang bermulanya operasi MMMSL pada musim haji tahun ini.

Mengulas kejayaan dipilih sebagai pemenang utama pengiktirafan PEARL, Saravanan berkata beliau tidak menyangka akan terpilih sebagai penerima terulung untuk anugerah berkenaan, yang diberikan secara peringkat dan secara keseluruhan melibatkan lebih 500 penerima daripada lebih 10,000 wargakerja Prasarana dan anak-anak syarikatnya.

“Saya sebenarnya amat terkejut. Kerana, pada saya, staf-staf lain pun amat hebat. Apapun, saya amaat gembira. Saya juga amat berterima kasih kepada Prasarana kerana menghargai khidmat saya; dan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat di Thailand,” kata Saravanan, yang berharap akan terpilih untuk program-program kerja luar negara lain.

Mengimbau kembali insiden yang berlalu pada bulan Mac 2016 itu, Saravan berkata dia sedang memandu tren MRT Bangkok Purple Line, yang ketika itu dalam tempoh Pengujian dan Penglulusan atau ‘Testing & Commissioning’ sebelum digunakan untuk perkhidmatan.

Ketika memandu di pagi itu, beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada pergerakan tren lalu serta merta memberhentikan tren untuk pemeriksaan lanjut. Atas kepantasan reaksi itu, beliau telah menyelamatkan tren tersebut daripada tergelincir dari landasan kerana tren itu sememangnya mempunyai masalah teknikal.

Kerana jasanya itu, Saravanan telah menerima surat pujian, yang ditinta dengan tulisan emas di atas dulang seramik daripada Encik Naoto Miyashita, Presiden Japan Transport Engineering Company (JTREC) – pengeluar tren berkenaan.

Kejayaan menggelakkan insiden kegelinciran tren itu, Kapten tren itu juga mendapat surat kepujian daripada Pengarah Projek MRT Bangkok Purple Line, Encik Hiroyuki Takita, yang juga Pengarah Urusan Kanan JTREC.

Bercakap bagi pihak arwah ayahnya, Puan Ami Soerrayah menyatakan rasa terima kasih kepada Prasarana kerana menghargai bakti Allahyarham Aminza.

“Syukur Alhamdulillah. Saya amat berterima kasih kerana Syarikat memberi pengiktirafan atas jasa terakhir yang dicurahkan Arwah Ayah dan pasukan Ayah. Memang Ayah bertungkus lumus untuk tugasan itu; dari sebelum berangkat ke Tanah Suci hinggalah ke akhir hayatnya.
“Matlamat Ayah hanyalah untuk memudahkan proses pengambilan dan latihan di MMMSL ini; daripada tahun lepas ketika Ayah berkhidmat di sana buat kali pertama. Dia pernah cerita tentang pelbagai cabaran tentang program pengambilan dan latihan pada tahun lepas dan perlunya pembaikian dalam sistem berkenaan.

“Ayah mahukan ‘improvement’ dari tahun pertama bersama MMMSL. Tapi itulah, Arwah tak sempat nak rasa bangga dengan kejayaan dia dan apa yang telah dia curahkan kepada syarikat.

“Terima kasih kepada pasukan Ayah kerana bersama-sama memudahkan idea Ayah untuk MMMSL tahun ni. Itu sahaja jasa terakhir yang sempat arwah Ayah sediakan untuk Syarikat … semoga manfaatnya berterusan untuk kemudahan bersama,” kata Ami Soerrayah Aminza, yang bertugas dengan Rapid KL LRT Laluan Ampang sebagai penganalisa operasi.

Pada majlis Malam Penghargaan Prasarana yang diadakan buat julung kali itu, Prasarana turut memberi penghargaan kepada para pesara dan para pemenang pelbagai pertandingan inovasi ‘Innovative & Creative Circle’, yang diadakan di dalam dan luar negara.

Tuesday, December 19

DAIM ZAINUDDIN JANGAN KELENTONG RAKYAT @MpKotaBelud


Adakah Tun Daim dan Tun Dr Mahathir boleh keluarkan kenyataan, mahukan ECRL dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh syarikat asing?

Saya yakin bahawa Tun Daim Zainuddin sebagai seorang bekas Menteri Kewangan berpengalaman di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad akan faham mengapa kerajaan hari ini memilih untuk strukturkan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai pelaburan domestik dengan pembiayaan asing.

Kerajaan amat jelas melalui pelbagai jawapan di Parlimen dan kenyataan mengenai ECRL yang projek ini adalah pelaburan domestik dibiayai pinjaman mudah dari China dengan kadar faedah lebih memihak kepada kita, yang lebih rendah dari kos dibiayai kerajaan.

Kita belajar dari kesilapan lalu di mana kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir dan Tun Daim telah meminjam dengan banyak dari Jepun dan terpaksa membayar berganda apabila nilai Yen meningkat tinggi berbanding Ringgit manakala kerajaan hari ini sudah memastikan pinjaman mudah dari China turut dilengkapi mekanisme meringankan risiko tukaran matawang.

Sama ada distrukturkan sebagai pelaburan terus asing atau pelaburan domestik dengan pinjaman asing, objektif projek ECRL adalah bagi menjana aktiviti ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan jalinan pengangkutan kritikal antara pantai timur dengan pantai barat semenanjung bagi mengatasi keasingan ekonomi, dan ia masih lagi boleh dicapai.

Bagaimanapun, perbezaan utama adalah jika ECRL adalah pelaburan terus asing maka ia pihak asing akan memilik dan mengendalikan rangkaian keretapi ini.

Memandangkan rangkaian keretapi ini akan menyusuri semenanjung, kerajaan telah membuat keputusan bahawa pemilikan dan operasinya mesti dimilik negara bersandarkan kepada faktor keselamatan negara dan strategik ekonomi.

Sehubungan itu, ECRL dimiliki dan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang kemudiannya akan membayar semula pinjaman mudah apabila rangkaian ini mula beroperasi.

Jika projek ini adalah pelaburan terus asing, pemilik asing akan memindahkan semula keuntungan dari operasinya ke negara mereka.

Pembiayaan asing bagi projek pelaburan domestik bukan konsep baharu di Malaysia.

Ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir dan Tun Daim, projek seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Projek Janakuasa Hidroelektrik Kenyir, Stesen Janakuasa Port Dickson (Tuanku Jaafar) dan pelbagai projek lain turut dibiayai melalui pinjaman mudah dari Jepun.

Bagi tempoh lebih dekat, Jambatan Kedua Pulau Pinang turut dibiayai pinjamah mudah dari China.

Bagaimanapun, jika Tun Daim mahupun Tun Dr Mahathir mempunyai isu dengan projek ECRL sebagai pelaburan domestik melalui pinjaman mudah berbanding pelaburan terus asing, saya sarankan mereka nyatakan pendirian mereka dan gesa kerajaan untuk menjual projek infrastruktur strategic ECRL dan letakkan ia di bawah pemilikan asing.

Adakah Tun Daim dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan lebih gembira jika warga asing memiliki dan mengendalikan ERCL? Dan jika ia pelaburan terus asing China, adakah mereka akan mengkritik projek itu dan mendakwa ia adalah penguasaan ekonomi oleh negara China sebagaimana mereka dakwa pada pelaburan lain negara itu di Malaysia?

Saya ingin ulangi sekali lagi bahawa Perdana Menteri mengunjurkan projek ECRL ini sebagai pengubah ekonomi yang sudah terlewat di mana ia akan menyediakan satu jalinan penghubung antara pelabuhan pantai timur dan barat serta menyediakan rangkaian keretapi selamat bagi mengangkut berjuta penumpang. Projek ini akan menjana ekonomi negeri pantai timur secara signifikan pada masa akan datang.

Projek utama ini seharusnya dilakukan ketika era Tun Dr Mahathir ketika perunding yang dilantik pada masa itu mengunjurkan kosnya adalah lebih rendah. Malangnya, Tun Dr Mahathir memilih untuk membina projek mega lain berbanding rangkaian keretapi yang dapat memberi peningkatan kepada ekonomi pantai timur. Jika kerajaan hari ini melengahkan projek ini sebagaimana tindakan Dr Mahathir, kosnya akan melonjak lebih tinggi pada masa akan datang.

Pada masa projek ECRL ini akan bermula, ia tidak sepatutnya dilengahkan atau lebih teruk lagi, dipolitikkan. Rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang berhak menerima layanan dan peluang lebih baik.

Abdul Rahman Dahlan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Unit Perancang Ekonomi
Putrajaya.

Monday, December 18

POLIS BANTUAN PRASARANA MEMBERKAS 21 DARI 22 SUSPEK KES GANGGUAN SEKSUAL


Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad  berjaya memberkas 21 daripada 22 suspek yang terlibat dalam kejadian gangguan seksual yang dilaporkan sepanjang tahun ini.

Di samping itu, Polis Bantuan juga telah menahan 13 suspek kerana disyaki menggangu penumpang di atas pengangkutan awam.

“Salah satu pembelajaran dari kejadian ini adalah, mangsa melaporkan terus kepada Polis Bantuan yang bertugas dan bekerjasama rapat dengan pihak kami untuk menangkap suspek.

Rata-rata suspek berjaya ditangkap selang beberapa hari selepas laporan dibuat.

“Kami memahami kegusaran di kalangan masyarakat seperti maklumbalas yang disuarakan menerusi media social, tetapi perlu diingatkan bahawa kesan daripada penularan di media sosial juga mungkin boleh menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk menangkap suspek," kata Lim Jin Aun, Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana.

Sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam yang utama, Kumpulan Prasarana menerusi anak-anak syarikatnya membawa lebih daripada sejuta pengguna setiap hari dan tidak terkecuali daripada menghadapi insiden yang tidak diingini.

Walau bagaimanapun, kakitangan operasi dan Polis Bantuan Prasarana komited untuk membantu pelanggan kami sebaik mungkin.
Pada petang 14 Disember, empat kes gangguan seksual berlaku dalam rangkaian rel Rapid KL.

Suspek yang terlibat dalam tiga kes telah ditangkap tidak lama selepas mangsa melaporkan insiden ini kepada Polis Bantuan yang bertugas di stesen.

Dalam kes keempat, Polis Bantuan telah mengejar suspek apabila dilaporkan oleh mangsa namun suspek berjaya memboloskan diri.

Menurut Lim, pihak Polis Bantuan telah mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan telah menyerahkan rakaman kepada pihak polis bagi membantu untuk menangkap suspek.

“Kami juga telah bertemu dengan mangsa dan memberi jaminan bahawa kejadian itu akan disiasat dengan teliti.

"Kami ingin menyakinkan para penumpang, bahawa Polis Bantuan kami sentiasa mengadakan rondaan sama ada dalam beruniform atau berpakaian preman di sepanjang rangkaian kendalian Prasarana.

"Sekali lagi, kami ingin meminta penumpang yang menjadi mangsa gangguan untuk menghubungi Polis Bantuan secepat mungkin, dan memberikan kerjasama erat kepada kami untuk memberkas suspek.

Perkongsian di media sosial dapat menjana kesedaran di kalangan orang ramai tetapi dalam masa yang sama kami tidak mahu suspek menyembunyikan diri setelah publisiti meluas di layar media sosial.” tambah Lim.

Sunday, December 17

SEJARAH TERCIPTA BUAT @MyRapidKL @KBAB51 @PrasaranaCEO.


Sejarah tercipta buat Prasarana Sendirian Berhad apabila DYMM Sultan Selangor mencemar duli menghabiskan masa selama 7 jam melawat kesemua kemudahan LRT, MRT dan Monorel.


Hari ini diberi peluang mengikuti dan mengiringi rombongan DiRaja Selangor menaiki pengangkutan awam LRT, MRT & Monorail #RapidKL di sekitar Lembah Klang.


Secara keseluruhannya DYMM Sultan Selangor & Tengku Permaisuri serta rombongan amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Kemudahan begitu moden dan canggih, rakyat jaga kebersihan fasiliti dan menggunakan sebaik mungkin

Untuk info, semalam 15 Disember 2017 genap setahun perkhidmatan MRT dibuka untuk orang ramai dan telah mencapai seramai 20 juta jumlah penumpang / pengguna.

Sambutan positif dari penumpang dan pertumbuhan peningkatan yang positif dapat dilihat. Dalam bab ini, boleh dikatakan government right in spending on public transport. Usaha dan inisiatif yang baik dalam mentransformasikan pengangkutan awam.

Dalam masa yang sama #Prasarana tidak mudah berpuas hati dengan perkhidmatan mereka berikan dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki mutu kualiti servis dan mendengar to the needs of the public.

#Negaraku
#BetterNation

Friday, December 15

Malaysia tak pernah ada tahanan politik.


Bekas ketua polis negara hari ini menepis anggapan yang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tahanan politik, sambil berkata Malaysia tidak pernah ada tahanan seperti itu.

Tan Sri Musa Hassan turut membandingkan ketua umum PKR itu dengan nasib dialami pemimpin Myanmar, Aung San Syuu Kyi, tidak lama dulu.

“Di Myanmar, Aung San Syuu Kyi dulu tahanan politik dia tak boleh keluar rumah langsung, dia tidak boleh terlibat dengan politik,” katanya

Mengulas gesaan peguam hak asasi dan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Anwar dibebaskan.

Malah, Musa berkata Malaysia tidak pernah ada tahanan politik walaupun sebelum ini kerajaan pernah membuat tangkapan ahli politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Bagi saya, di Malaysia ini tak ada tahanan politik kerana setiap orang yang ditahan ataupun dipenjarakan menjalani proses perbicaraan.

“Kalau dulu ada ISA pun, orang yang ditahan itu tadi boleh membuat rayuan di mahkamah untuk cabar penahanan dia,” katanya.

Menurutnya, bekas tahanan ISA di Malaysia boleh menyertai politik.“Mereka boleh menang pilihan raya boleh jadi menteri, boleh jadi ketua dan macam-macam lagi,” kata.

Semalam Dr Mahathir dan Motley dalam kenyataan bersama menganggap Anwar sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.

“Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan kami dengan serius dan demi keadilan dan hubungan antarabangsa Malaysia,” kata mereka.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabitkan dengan pertuduhan liwat. Beliau bagaimanapun menafikannya dan berkata ia sebahagian daripada konspirasi politik menjatuhkannya.

Thursday, December 14

SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN UNTUK TEMUDUGA TERBUKA RAPID RAIL @MyRapidKL @KBAB51 @prasaranaCEO


Dengan majoritinya berpakaian segak dan kemas, mereka datang beramai-ramai ke Stesen LRT Putra Heights dengan harapan menggunung untuk menyertai Rapid Rail dan Kumpulan Prasarana untuk menabur bakti kepada komuniti.

Seawal 7.30 pagi, sudah ada yang sabar menunggu giliran untuk ditemuduga untuk jawatan Pegawai Stesen dan Pegawai Transit untuk perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang.

Sehingga 11 pagi apabila pendaftaran ditutup, lebih 500 permohonan diterima. Ini tidak termasuk  sekumpulan besar yang pemohon yang terpaksa pulang awal kerana tidak layak atas beberapa kriteria termasuk tidak memiliki lesen memandu dan ‘terlebih layak’ atau ‘over-qualified’.

Bermula dengan sesi penapisan atau ‘screening’ untuk ujian mata dan dokumentasi, para pemohon seterusnya menduduki ujian tulisan Bahasa Inggeris, personaliti dan IQ sebelum menemui pegawai temuduga, yang terdiri daripada para pegawai dari Rapid Rail dan Divisyen Modal Insan.

Pemeriksaan dokumentasi dan sijil serta ujian rabun warna

Terbuka hanya kepada mereka yang mempunyai Diploma dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, para pemohon turut dikehendaki  mempunyai lesen memandu, majoriti daripada mereka yang hadir untuk temuduga terbuka hari ini mendapat maklumat melalui makluman di sosial media.

Sekarang bertugas sebagai Pengurus di sebuah restoran makanan segera di Kepong, Mohd Faizal Mukhtaruddin, 29, berkata beliau mendapat tahu mengenai program hari selepas mendapat mesej ‘whatsapp’ daripada rakannya yang bekerja di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Sesi temuduga bersama para pegawai Rapid Rail

“Saya memang cukup berminat untuk bekerja dengan Prasarana. Kerana, ia memberi peluang kepada kita untuk berkhidmat kepada negara dan kepada orang ramai. Ia memberi saya peluang untuk memberi sesuatu kepada negara. Saya nak jadi askar, tak boleh kerana masalah fizikikal,” kata pemuda bertubuh kecil itu.

Amirah Alias ingin menggunakan ilmu kejuruteraan yang dimilikinya

Berkelulusan bidang kejuruteraan, Amirah Alias, berharap untuk dapat bekerja dengan Rapid KL untuk mempraktikkan apa yang dipelajarinya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Berusia 27 dan kini bekerja dalam skim latihan sebuah syarikat komunikasi, Amirah berkata bahawa tugasnya sekarang tidak memberi peluang sepenuhnya dengan ilmu kejuruteraan yang dimilikinya.

“Saya rasa saya boleh memberi yang lebih baik jika dapat bertugas dengan Rapid KL. Saya pengguna tegar LRT dan sentiasa mengikuti perkembangan Rapid KL. Saya dapat tahu mengenai program ini daripada Facebook MyRapid,” kata Amirah, yang tinggal di Petaling Jaya.

Promosi mengenai iklan mengenai temuduga terbuka itu telah diwar-warkan melalui sosial media khususnya melalui Facebook MyRapid, yang mendapat lebih 98,000 tontonan.

Baitulmuqaddis hendaklah secara sah jadi ibu negara Palestin


Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dalam usahanya untuk menolak sebarang langkah mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel kerana akhirnya ia hendaklah menjadi ibu negara Palestin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Malaysia mengutuk dan menolak sama sekali keputusan satu pihak oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Status muktamad Baitulmuqaddis tidak boleh diputuskan melalui pengiktirafan satu pihak kerana ia mesti diselesaikan menerusi rundingan pelbagai hala antara Palestin dan Israel di bawah kerangka penyelesaian dua negara.

Langkah seumpama itu menjejaskan semua usaha ke arah mencari penyelesaian yang komprehensiff, adil lagi berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel. Lebih-lebih lagi, masa depan penyelesaian dua negara itu tergantung dalam konteks ia mudah tergugat, kata Najib ketika berucap pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Al-Quds Al-Sharif (Baitulmuqaddis)

Tuesday, December 12

Kedudukan Ringgit Semakin Baik Selepas PAU 2017


Perhimpunan Agung UMNO 2017, PAU2017 sudah berakhir pada petang Sabtu yang lepas. Semua perwakilan UMNO dari seluruh negara sudah membawa balik semangat yang secukupnya dari segi mentaliti menang, ukhuwah sesama ahli parti dan kekuatan berpasukan yang semakin kuat untuk menghadapi pembangkang pada PRU14.

Pembangkang seolah olah kering idea bagaimana untuk menganggu momentum kuat yang melanda di PWTC. Gelombang kuat di PAU2017 cukup kuat. Maka datanglah cerita cerita palsu kononya setiap perwakilan dapat jam Tissot di PAU2017 serta kononnya UMNO sudah berpakat dengan parti komunis daripada China.

Cerita jam Tissot itu adalah palsu. Hanya gambar jam sahaja yang diambil, tiada pun bukti sahih ada gambar jam Tissot itu dipakai dan diberi di PWTC. Kira kira 16 parti politik yang hadir dari 20 negara di PAU2017 bukannya hanya parti dari China sahaja. Di zaman Mahathir, lebih 12 kali parti komunis itu hadir. Mengapa tidak pertikaikan?

Senang buat tuduhan palsu, kemudian sebar bagi masyarakat keliru. Sama seperti apa yang Rafizi Ramli buat. Buat tuduhan palsu kata Raslan Dahlan adalah abang kepada Dato Seri Rahman Dahlan.

Kemudian bila kantoi, terus padam posting yang dibuat tersebut. Itulah sahaja yang boleh pembangkang buat bila mereka kering isu dan idea untuk menghentam Barisan Nasional.

Momentum yang kuat semasa PAU2017 membuatkan mereka buntu. Terpaksalah reka dan cari cerita cerita yang palsu ini untuk buat rakyat marah. Hari ini, mereka sebar pula video lama Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang di whatsapp. Begitulah cara jahat pembangkang bila tidak tahu apa isu yang boleh hentam Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional.

Hakikatnya, rakyat kena tahu, kedudukan ringgit dan ekonomi negara semakin baik selepas PAU2017. Ini fakta yang jelas, bukan rekaan seperti mana tuduhan pembangkang.

Semasa persidangan PAU2017 berlangsung minggu lepas, agensi penarafan Moody’s Investors Service mengesahkan penarafan ke atas penerbit mata wang tempatan dan asing serta bon tidak bercagar pada rating AAA, dengan prospek yang stabil.

“Moody’s hari ini mengesahkan penarafan Malaysia sebagai stabil di bawah kategori A3, membuktikan bahawa ekonomi kita berada di landasan yang betul” kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Disember 2017.

Kedudukan ringgit juga menjadi lebih baik selepas PAU2017. Ringgit dijangka terus mencatatkan aliran mengukuh ke paras bawah RM4 berbanding dolar Amerika. Ia disahkan oleh penganalisis pasaran, bukannya pakar ekonomi di facebook.

Itu yang dijangka oleh pakar menjelaang Januari 2018, manakala mereka juga turut meramalkan nilai ringgit menuju RM4 berbanding dolar selepas PAU 2017.

Menurut penganalisis, antara penyebab nilai ringgit semakin positif adalah kerana pertumbuhan ekonomi yang kukuh hasil usaha keras Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

TA Securities Holdings Bhd pula turut mengakui perkara sama. Ia berkata, unjuran ringgit bagi 2018 adalah pada paras RM4.10 berbanding dolar AS daripada RM4.15 sebelum ini.

Kenaikan nilai ringgit juga berlaku kerana pengukuhan harga minyak mentah dunia dan jangkaan keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 yang dijangka memihak kepada Barisan Nasional, seterusnya menjadikan kedudukan Putrajaya stabil dan tidak bertukar tangan.

The Economist Intelligence Unit dalam kajian terbarunya merumuskan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib akan terus menguasai Putrajaya.

Terbaru, Nada Choueiri yang mengetuai pasukan International Monetary Fund, IMF dan berada di Kuala Lumpur pada 28 November hingga 8 Disember 2017 telah memberikan pujian terhadap keadaan ekonomi Malaysia. IMF meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar 5.5% hingga 6% pada tahun 2017.

Rating Moody’s yang semakin naik, ramalan dari The Economist Intelligence Unit, pujian daripada IMF dan jangkaan kedudukan ringgit yang semakin kukuh ini adalah bukti dan fakta jelas bagaimana kedudukan sebenar ekonomi di negara ini. Ekonomi negara ini bukan dinilai berdasarkan satu tweet yang dibuat oleh artis yang mengeluh tentang kos gaya hidupnya.

Dulu pemimpin tersebut yang berulang kali tuduh ekonomi Malaysia hendak bankrup dan ringgit kononnya akan jadi RM5 berbanding dollar. Kini selepas semua tuduhan yang dibuat itu tidak betul dan tidak menjadi, maka pembangkang pergunakan pula artis untuk membuat tuduhan.

Ingatlah pada nasib yang menimpa Aishah, dulu sampai jadi calon parti pembangkang tetapi kini sudah bertukar haluan memilih Gegar Vaganza. Tidak kemana mana pun artis bersama dengan pembangkang.

Baca dulu apa yang Moody’s ramal, apa yang The Economist tulis dan apa yang IMF cakap tentang ekonomi Malaysia, usah jadi alat perkakas pembangkang di media sosial. Faktanya, ringgit semakin baik selepas PAU2017.

Monday, December 4

Wayang Gempaq Keling Tun M Tak Menjadi......?


"Gempaq Keling" ayat popular di Pulau Pinang bila seseorang individu yang cuba membuat kejutan tapi tak jadi, diejek dengan panggilan "Gempaq Keling". Bukan niat MKP mahu menghina keturunan atau sebagainya akan tetapi ini adalah seloka yang cukup popular di Utara Tanah Air. Sembang bagi orang bimbang pokok nyioq pun boleh tumbang akan tetapi macam "Tin Kosong" aje.

Agak mustahil jika difikirkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat menjangka ada sesuatu yang tidak kena dengan permohonan empat parti pembangkang yang dipimpinnya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk berdaftar sebagai sebuah entiti politik.

Sebagai seorang ahli politik veteran yang terkenal dengan ketegasan dan disiplin “hati keringnya” sebagai seorang doktor, sudah tentu beliau tidak akan membiarkan permohonan itu dipeti-sejukkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Dr Mahathir pernah membuat pengakuan bahawa sebagai seorang doktor, falsafah pentadbirannya ialah jika sesuatu isu itu perlukan tindakan segera beliau sentiasa bersedia melakukannya demi ‘menyelamatkan kepentingan lebih besar’.

Lantas bila beliau merungut dan memaksa diri untuk menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia menjentik sedikit keraguan sama ada beliau sebenarnya hanya ‘berlakon’ untuk menjadikan isu berkenaan suatu sensasi politik.

Nasibnya agak kurang baik kerana pada Isnin 20 November lalu tarikh beliau mahu bertemu Zahid, kebetulan Timbalan Perdana Menteri yang pernah ditahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dilihat condong kepada politik saingannya, Anwar Ibrahim, Zahid tiada di pejabat.

Maka beliau dan beberapa panglima pembangkang terpaksa berhadapan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim sahaja. Ketika itu seharusnya Dr Mahathir sedar beliau tidak mengamalkan falsafah kedoktorannya.

Lazimnya Dr Mahathir akan bertindak menyemak mengapa tiada jawapan tuntas daripada pihak RoS. Jika beliau menggunakan naluri kedoktorannya dan mengambil tindakan susulan, pasti beliau sudah mendapat jawapan daripada RoS lebih awal lagi.

Dr Mahathir diberitahu bahawa adalah sukar memproses permohonan PH itu kerana ada dua parti yang memohon untuk bergabung di bawah panji-panji PH itu menghadapi masalah melanggar pra-syarat pendaftaran.

Rekod pengurusan DAP selekeh. RoS sudah berkali-kali mengarahkan parti berkenaan memperbaiki proses pemilihan barisan peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC).

Namun DAP memandang ringan isu itu.

Begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpinnya sendiri. Walaupun perlembagaan parti menetapkan bahawa mesyuarat agungnya mesti dilaksanakan dalam tempoh setahun penubuhannya, tindakan itu masih belum diambil.

Tambahan pula, “penyelewengan” dengan menggunakan rujukan Armada untuk sayap pemuda parti itu juga adalah bercanggah dengan peraturan penubuhan PPBM.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan banyak laporan daripada ahli akar umbi parti itu langsung kepada RoS berhubung pelbagai tatacara pengurusan PPBM yang dikatakan tidak telus dan ada tuduhan berlaku penyelewengan kuasa.

Kelemahan PPBM ini mengundang komentar sinis entiti politik seperti PAS yang menganggap kegagalan menyelesaikan masalah remeh pendaftaran itu sebagai dalil parti itu tidak layak mentadbir negara ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PPBM tidak mempunyai kualiti kepimpinan apabila soal pendaftaran dan kegagalan mengadakan mesyuarat agung parti tidak dapat diselesaikan.

"Semua ini menunjukkan kelemahan pengurusan. Tidak sepatutnya seorang pemimpin yang pernah jadi seorang perdana menteri selama 22 tahun, tiba-tiba nak urus pendaftaran dan pengurusan parti pun tak boleh selesai … macam mana nak dapatkan sokongan masyarakat," katanya.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berpendapat kegagalan PH itu adalah peluang kepada PAS untuk bertanding satu lawan satu dengan BN.

"Bagi kita kalau tak ada langsung Pakatan Harapan lebih baik... biar PAS sahaja yang lawan dengan Umno (dan BN)," katanya.

Bagaimanapun kunjungan Dr Mahathir dan juak-juak politiknya ke RoS ada juga kebaikannya.

Sekurang-kurangnya RoS bersedia memberi ruang pada PPBM mengemukakan cadangan bagaimana melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berdasarkan situasi terkini parti itu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap RoS itu masalah PPBM dan PH itu akan menemui jalan penyelesaian tidak lama lagi.

“InsyaAllah dalam tempoh masa satu hingga dua hari ini, kita akan hantar surat cadangan tersebut kepada RoS dan selepas mereka terima, kita akan duduk bersama untuk meneliti bentuk cadangan sesuai yang boleh dilaksanakan,” katanya selepas bertemu Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim.

Di samping itu, DAP juga berjanji akan menghantar laporan audit mengenai pemilihan semula CEC parti itu kepada RoS selewat-lewatnya minggu ini.

Menurut Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, tindakan itu perlu dilakukan segera bagi elak masalah pendaftaran ke atas Pakatan Harapan.

"Walaupun mengikut undang-undang RoS, DAP mempunyai 60 hari untuk menghantar laporan proses pemilihan kepada RoS.

"Bagaimanapun, saya telah mengarahkan syarikat audit yang terbabit dalam pemilihan semula CEC itu segerakan kerja mereka," katanya.

DAP terpaksa mengadakan pemilihan semula CEC kerana pemilihan sebelum ini didakwa tidak sah kerana RoS tidak menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Yang lebih menarik ialah, Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu juga memilih untuk tidak bersikap keras dan pedas seperti Dr Mahathir terhadap RoS dengan enggan menuduh kelewatan pendaftaran parti itu ada kaitan dengan unsur sabotaj.

Sebaliknya, beliau memberi komitmen bahawa PH akan sentiasa memberi kerjasama kepada RoS agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera.

“Kami tidak mahu menggunakan perkataan sabotaj atau apa-apapun. Bila dah diberitahu lewat kerana DAP dan Bersatu, kami akan cepat-cepat menyelesaikannya,” katanya.

Dr Mahathir kelihatan cuba menonjolkan sisi kekuatan PH apabila hampir semua pemimpin utamanya dibawa untuk “menyergap” Kementerian Dalam Negeri dan RoS.

Namun ada pihak yang menafsirkan bahawa ia cuma satu “gempak politik” sahaja.

Ego politik Mahathir masih besar. Bagaimanapun Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Tan Kok Wai, sedar wayang politik seperti itu tidak akan menghasilkan natijah yang baik buat PH. Mereka memilih mengambil sikap berlembut.

@Sir_Azri Bayar Gantirugi Pada Anwar Guna Duit Seringgit...


Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menjelaskan keseluruhan ganti rugi berjumlah RM951,260.27 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.



Peguam Irna Shahana Samsudin yang mewakili Wan Muhammad Azri mengesahkan pembayaran yang dibuat oleh anak guamnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Husna Dzulkifli.

Wan Muhammad Azri yang turut hadir memberitahu pemberita, beliau telah melunaskan RM1,260.30 dalam bentuk tunai (note RM1 dan 30 sen) manakala bakinya RM950,000 dijelaskan dalam bentuk bank deraf.

Sementara itu, peguam J. Leela yang mewakili Anwar memberitahu, mahkamah menetapkan esok untuk pihaknya menarik balik petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri.

Anwar memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri pada 21 Mac 2013 kerana mendakwa blogger itu menyiarkan artikel dan paparan video seks sejenis secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac 2013 di blog miliknya, www.papagomo.com.

Pada 28 Februari 2014, Hakim Rosilah Yop memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar jumlah ganti rugi berserta kos kepada Ketua Umum PKR itu selepas mendapati Anwar berjaya membuktikan kes saman fitnahnya terhadap beliau.