Akademi Perkeretaapian Indonesia (API) bercadang untuk mengembangkan kolaborasi dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menghantar staf penyelenggaraan dan Pusat Kawalan Operasi (OCC) MRT Jakarta mengikuti latihan dengan Akademi Rel Rapid Rail di Kuala Lumpur.
Mengumumkan perkara ini hari ini, Pengarah API, Dedy Cahyadi berkata langkah ini adalah adalah lanjutan daripada program latihan yang sedia ada; dan khusus untuk pemandu tren MRT Jakarta, yang bakal memulakan operasi tahun depan.
Dedy berkata API, yang bertanggungjawab untuk program latihan kakitangan rel Republik Indonesia, amat berpuas hati dengan program Latihan Pemandu Metro Profesional, yang kini dikendalikan oleh Akademi Rel Rapid Rapid untuk para pemandu tren MRT Jakarta.
“Setakat ini, 54 pemandu tren telah tamat mengikuti program latihan dan respons yang diberikan oleh kesemua mereka adalah amat baik. Ini menyakinkan kami untuk membuat program tambahan untuk staf penyelenggaraan dan petugas OCC MRT Jakarta,” kata Dedy kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Latihan Pemandu Metro Profesional untuk kumpulan pelatih yang kelima.
Diadakan di Akademi Rel, Depot LRT Laluan Ampang di Ampang di sini, majlis berkenaan turut dihadiri oleh dua pegawai tinggi MRT Jakarta, Cenni Ratisha dan Damaris Hastiti di samping Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang, Abdul Hadi Amran serta Ketua Akademi Rel, Haji Zaki Mohamad.
Kata Dedy, program kolaborasi API dan Prasarana dipersetujui pada 2016 dengan kumpulan pertama menjalani latihan selama enam minggu pada tahun berikutnya. Mereka datang secara berperingkat dalam lapan kumpulan di mana latihan meliputi kerja kursus dalam kelas dan praktikal termasuk memandu sendiri tren-tren automatik LRT Laluan Ampang/Sri Petaling. Kumpulan 5 terdiri daripada sembilan pemandu tren termasuk dua wanita.
Menurut beliau, apa yang pihak API cukup gembira dengan program latihan yang disediakan oleh Akademi Rel dan Rapid Rail adalah para pemandu berkenaan bukan saja menimba ilmu mengenai tugas sebagai pemandu tren; tetapi turut didedahkan dengan tugas-tugas lain termasuk aspek keselamatan dan budaya kerja.
“Kita bukan saja mahu kemahiran dalam operasi keretapian; tetapi seluruh budaya dalam mengendalikan operasi dan mengurus perkhidmatan tren khususunya aspek-aspek keselamatan dan budaya layanan pelanggan. Prasarana memberikan ini kepada para pelatih kami di sini,” kata Dedy.
Katanya lagi, pemilihan Malaysia bukan sekadar kerana kedudukan georafi Jakarta dan Kuala Lumpur yang berdekatan; tetapi juga kerana reputasi Prasarana dan Rapid Rail sebagai operator tren automatik serta pertimbangan Malaysia dan Indonesia sebagai bangsa serumpun dan menggunakan bahasa yang sama untuk memudahkan pembelajaran dan diskusi.
Berucap pada majlis berkenaan, Dedy mengingatkan para pelatih bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar sebagai perintis kepada pembangunan rel urban di Indonesia, yang diharapkan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan aktiviti bisnes di Jakarta dan Indonesia keseluruhanannya.
“Tolong manfaatkan sebaik mungkin masa anda semua di sini. Sentiasa bekerja dengan tulus dan sentiasa ingat bahawa kalian semua adalah harapan untuk membangunkan negara. Sebagai perintis, kalian menjadi pemangkin kepada pembangunan rel urban di Indonesia,” kata Dedy.
Haji Zaki, dalam ucapannya, turut melahirkan harapan yang sama agar semua para pelatih menggunakan kesempatan berada di Malaysia dengan sepenuhnya untuk mempelajari segala aspek mengenai operasi tren.
“Bukan saja terhad kepada pemanduan tren; tetapi semua aspek-aspek lain. Kami di Akademi Rel sentiasa bersedia untuk memberi tunjuk ajar dan berkongsi apa jua pengalaman yang kami ada untuk membantu membangunkan industri rel di Indonesia,” kata Zaki.
Sesi ujian dan pentauliahan (testing and commissioning) MRT Jakarta dijadualkan bermula September ini.
very nice post, keep sharing
ReplyDelete