Thursday, January 27
Kerajaan Selangor Masih Hendak Bermimpi Pada Siang Hari.
Selain gagal mengemukakan hujah mengapa Perkara 52(1) perlu dipinda, sidang khas ini juga menunjukkan tembelang sebenar kerajaan negeri Selangor yang menggunakan pentas DUN untuk menghalalkan tindakan mencela, menghina, mengutuk dan mempersenda UMNO serta Barisan Nasional (BN).
Berselindung di sebalik agenda meminda Perkara 52(1), sidang khas itu digunakan pembahas penyokong kerajaan – Mohamed Azmin Ali (PKR–Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS–Ulu Kelang), Shuhaimi Shafiei (PKR–Sri Muda), Ng Suee Lim (DAP–Sekinchan) dan M Manoharan (DAP–Kota Alam Shah) untuk mengkritik UMNO dan BN habis-habisan sebagai penderhaka kepada Raja-Raja Melayu.
Dimulakan dengan persoalan siapa lebih menderhaka yang dilontarkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sama ada UMNO atau kerajaan negeri, sesi perbahasan dari pagi hingga ke petang tidak habis-habis menyelongkar dan menggali semua apa yang dianggap ‘dosa’ UMNO dan BN terhadap institusi raja-raja.
Budaya ceramah murahan dan picisan dibawa masuk ke dalam pentas DUN. Mujur juga wakil rakyat BN tidak terikut-ikut dengan langkah sumbang penyokong kerajaan yang ketandusan idea dengan hanya menjaja isu lapuk mengaitkan penderhakaan UMNO dan BN terhadap Raja-Raja.
Lebih malang, penggunaan bahasa dan istilah tidak sewajarnya dari mulut wakil rakyat kerajaan negeri bergema tanpa batasan menghina bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Setiausaha Negara (KSN) malah Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru diperkenan Sultan Selangor, Datuk Mohd Khusrin Munawi.
Shuhaimi contohnya menggunakan istilah ‘budak suruhan’ bagi merujuk kepada KSN dan dituduh diperguna pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya untuk mengkucar-kacirkan kerajaan Selangor.
Ucapan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San yang mendakwa konsep 1Malaysia sebagai Sapu Malaysia juga tidak ada kena mengena dengan tujuan asal, usul pindaan Perkara 52(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
Disebabkan itu, apabila Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman menyatakan kerajaan negeri Selangor ‘syok sendiri’ mengadakan sidang khas kelmarin amat tepat dan benar kerana belumpun sidang berakhir, Menteri Besar awal-awal lagi sudah mengaku tewas yang kerajaan negeri pimpinannya tidak akan mendapat sokongan dua pertiga daripada ADUN.
Abdul Khalid juga dengan cepatnya menerusi sidang media menegaskan sidang DUN Selangor itu bukan sidang tergempar, sebaliknya persidangan biasa bagi membincangkan perkara spesifik, mendesak dan berkepentingan awam.
“DUN membincangkan pelantikan SUK yang membabitkan kepentingan awam,” kata Abdul Khalid yang jelas sekali menjelmakan niat sebenar kerajaan negeri yang hanya mahu publisiti murahan di sebalik tindakan yang mendapat pengesahan dari sudut undang-undang.
Walaupun mempunyai 35 ADUN, kerajaan negeri tidak mampu mengubah apa-apa terhadap undang-undang berkenaan kerana mereka tidak cukup syarat untuk memindanya kerana masih memerlukan dua lagi undi daripada ADUN.
Sebaliknya, 20 ADUN mewakili BN sebulat suara tidak menyokong pindaan undang-undang itu dengan berpegang kepada empat faktor iaitu ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, pindaan hanya bermotif politik, BN tidak pernah membelakangkan Sultan Selangor dan menganggap kerajaan negeri menderhaka kerana tidak menerima pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK, sedangkan Sultan Selangor sudah memperkenan pelantikannya.
Kerajaan Selangor masih hendak bermimpi pada siang hari.
Jika sudah tahu tidak mampu meminda undang-undang berkenaan, mengapa perlu diadakan sidang khas. Tidak lain dan tidak bukan ia satu persidangan yang membuang masa dan satu proses sia-sia.
Mohamad Satim menganggap sidang itu pentas Abdul Khalid dan wakil rakyat mengkritik UMNO termasuk Dr Mahathir.
“Kerajaan negeri sebenarnya tidak puas hati dengan pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK.
Cadangan pindaan ini juga untuk mengalihkan perhatian yang mereka akan mencanangkan kepada rakyat kononnya BN tidak menghormati institusi raja,” katanya di luar dewan.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri juga cuba memutar belit pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993.
“Pindaan itu disalah erti kerajaan negeri dengan menyatakan ia tindakan BN yang cuba mengurangkan kuasa Sultan.
“Sebaliknya pindaan itu sebenarnya dilakukan untuk mengukuhkan kedudukan institusi raja-raja di negara ini di bawah sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini,” katanya.
Anehnya, persidangan DUN yang gagal mencapai matlamatnya ini dianggap berjaya oleh Abdul Khalid dengan alasan semua wakil rakyat kerajaan negeri bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
Hakikatnya, pindaan itu gagal dan kerajaan Selangor boleh dianggap sebagai kerajaan yang lemah dan hilang wibawa kerana gagal dalam tujuannya memenuhi agenda yang dirancang.
2 comments:
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.
Bukan sia-sia bro cuba kita renung disebalik agenda ini. Mereka dapat membuktikan kepada penggundi cina dan india bahawa perlembagaan negeri boleh diubah dengan syarat mereka mahukan 2/3 majoriti. Oleh itu adalah amat2 perlu mereka menyeru dan mengembeling tenaga untuk mempastikan 2/3 diperolehi pada PRU13 nanti. Ini gambaran pada bangsa lain bahawa perlembaggan boleh diubah dan mereka mampu menjadi menteri besar akan datang. Nampak tak bro agenda mereka.
ReplyDeletebetul pandapat itu akan tetapi rakyat selangor terutama melayu perlu sedar dan mengembalikan kepada pemerintahan kepada bn.
ReplyDelete