Monday, May 9

Tolak Pemimpin Yang Diragui



Pada zaman sekarang, jika tidak mustahil, amatlah sukar untuk menemui seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian seperti Rasulullah SAW sebagaimana Umar Abdul Aziz. Dan barangkali kita juga tidak akan menjumpai lagi orang yang menolak jawatan tinggi. Yang sanggup melobi, menipu dan merasuah supaya diberikan jawatan adalah lebih ramai.

Maka kita tidak boleh terlalu idealistik dalam urusan memilih pemimpin. Memadai kita meneliti dan menilai secara realistik dan pragmatik sahaja.Di Malaysia, oleh kerana majoriti rakyat beragama Islam dan inilah juga agama rasmi, maka pemimpin tertinggi negara wajib seorang Muslim yang sahih menunaikan rukun Islam. Dia juga mestilah bertakwa, yakni mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Sekurang-kurangnya, itulah tanda zahir seseorang yang beriman. Menunaikan solat lima waktu, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji apabila mampu. Dia juga tidak melakukan dosa besar seperti zina, menggelapkan wang rakyat, rasuah, minum arak dan sebagainya.

Sangat buruk akibatnya jika rakyat tersalah pilih pemimpin. Jika sekadar tidak sebijak pemimpin sebelumnya, tidaklah begitu memudaratkan jika si pemimpin masih mempunyai integriti dan baik akhlaknya. Yang ditakuti ialah kita memilih pemimpin yang diragui akhlak dan ketakwaannya.

Jika ini berlaku, sama-samalah kita dan generasi akan datang menanggung musibahnya. Jangan salahkan takdir. Yang bersalah atau menzalimi sendiri adalah kita sendiri. Allah SWT sama sekali tidak menzalimi diri kita.Sebab itulah kita perlu amat berhati-hati dalam memilih pemimpin. Jika ada sebarang tompok keraguan di hati kita mengenai seseorang, putuskanlah dengan muktamad bahawa dia tidak layak memimpin.

Tidak memberikan peluang kepada seseorang untuk menjadi pemimpin bukanlah satu penganiayaan. Ia bukan satu hukuman kejam atau perkara yang mengaibkannya. Memimpin bukanlah satu hak, tetapi hanyalah amanah.Tiada siapa yang berhak membuat tuntutan untuk menjadi pemimpin. Sebaliknya hak menentukan siapa yang layak jadi pemimpin terletak di tangan rakyat. Hak ini juga bersifat amanah kerana jika tersalah pilih, kesannya terlalu buruk kepada rakyat dan negara. Oleh itu pilihlah pemimpin yang benar-benar diyakini memenuhi tuntutan Allah dan panduan Rasulullah.

Kenapa mahu menjudikan nasib diri, masyarakat dan negara dengan memilih seorang pemimpin yang dipenuhi dengan unsur keraguan? Sedangkan Rasulullah melarang kita melakukan perkara yang diselubungi was-was atau keraguan, sama ada dalam ibadat atau kehidupan.

Jika anda seorang beriman, jangan mudah tertipu atau terpengaruh dengan cakap orang lain. Siasat dan pertimbangkan dengan adil segala fakta yang terbentang. Kemudian berserahlah kepada Allah supaya diberikan segala petunjuk untuk kita membuat keputusan dengan betul.

Sesudah itu, marilah kita berdoa.

''Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim. Ya Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. Engkaulah yang memberikan kuasa kepada siapa jua yang Engkau kehendaki. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui apa yang kami sedang alami.

''Angkatlah orang yang beriman untuk memimpin kami dan negara kami, dan jauhkanlah kami daripada dipimpin oleh orang munafik dan fasik. Sesungguhnya tiada daya upaya kami, ya Allah, melainkan dengan ketentuanMu. Tentukanlah yang terbaik bagi kami. Salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.

No comments:

Post a Comment

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.