Sejak Mac 2008, keperluan, kemahuan dan pemikiran umum sudah jauh berubah; sama ada berubah dengan inisiatif sendiri, diubah oleh permainan politik pelbagai pihak atau oleh desakan persekitaran. Kegelisahan semasa turut melahirkan persoalan, apakah kesediaan parti dan aktor politik juga sudah berubah untuk memenuhi bukan tuntutan tetapi keperluan sedemikian rupa dalam alam baru ini.
Faktor utama yang harus menjadi tumpuan adalah siapakah yang dimahukan sebagai Perdana Menteri memandangkan kalau dipanjangkan ke bawah sekalipun, hari ini tumpuan diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ataupun Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penginstitusian ke atas legitimasi @keabsahan politik mesti menjadi asas dalam PRU akan datang. Indikator populariti Najib jika diperhebatkan mampu membawa perubahan tetapi apakah sudah distrategikan sedemikian rupa kempen parti komponen sebagaimana yang sedang dilakukan oleh barisan pembangkang yang masih bertanggapan Anwar bukan liabiliti mereka.
Walaupun begitu, isu perlu dihalusi termasuk isu kepartian seperti calon dan jentera; di peringkat nasional dan lokal seperti NFC, Felda, Teoh Beng Hock, kepimpinan Najib, Anwar, SBPA 2012, Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), rasuah, jenayah, kenaikan harga barang, konsep 1Malaysia, inflasi, pendapatan, wanita, kebebasan beragama, kos kehidupan, pendidikan, BR1M, kesemua pelan transformasi, Buku Jingga, kemiskinan, kebajikan, kemudahan prasarana tempatan dan peluang saksama yang menjamin keadilan sosial merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Beberapa personaliti juga digunakan oleh kedua-dua gabungan besar untuk meraih sokongan termasuklah karisma Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Raja Petra Kamaruddin, Ibrahim Ali, Ambiga, A. Samad Said, 'Aunty Bersih' dan tokoh-tokoh daripada sesebuah parti dan dibawa ke parti lain tanpa mengira pangkat dan kedudukan tetapi dianggap memberi impak dalam persekitaran politik semasa.
Ada juga yang bersifat bermuka-muka dalam politik dengan 'makan' di kedua-duanya, baik di BN mahupun barisan pembangkang. Di depan penyokong tertentu, tokoh ini menyokong tetapi di belakang menyalin baju dan tukar prinsip semata-mata untuk survivalitas dalam politik.
Permainan politik hari ini juga melihat kehadiran badan bukan kerajaan (NGO) dan parti serpihan yang dianggap mahu menjadi 'kuasa ketiga' tetapi ketiadaan struktur yang tersusun dan guna tenaga secukupnya mungkin memerlukan lebih masa bagi mereka untuk memain peranan signifikan.
NGO yang lazimnya popular dalam kalangan kelas atasan dan menengah kini meresap perlahan-lahan ke peringkat bawahan dan ia juga masih bergantung kepada literatur politik yang lebih besar untuk merealisasikan nilai perjuangan masing-masing untuk difahami mudah oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Media sosial yang memain peranan dominan dalam PRU lepas akan terus menjadi mainan politik PRU akan datang. Barangkali persoalan yang perlu dijawab adalah - Sudahkah membina 'kepercayaan' daripada berita yang disiar dan diperdebatkan tanpa batasan moral dan secara berhemah? Berita portal masih didominasi oleh portal yang melihat dari lensa berbeza daripada media arus perdana walaupun blog kelihatan penguasaan oleh mereka yang berpihak kepada BN.
Banyak andaian dan spekulasi dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk kedudukan di kawasan yang dimenangi dengan majoriti yang sedikit sehingga kepada 'safe deposit' dan percaturan berbeza mengikut kawasan yang berlatar belakangkan etnik berbeza.
Pengundi muda dilihat mempamer indikator tidak pasti iaitu masih melihat dan memerhati sebagaimana pengundi atas pagar apatah lagi statistik undi rosak, tidak keluar mengundi dan tidak mendaftar masih besar jurangnya. Apa sebenarnya kemahuan kelompok ini?
Sudahkah parti politik kenal pasti terutama di kawasan bandar kerana rata-rata pengundi bandar dikatakan anti-establishment. Kenapa kemenangan Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang tidak dijadikan motivasi kerana kemampuan mendapat undi daripada pelbagai etnik dan kumpulan sasar berbeza, walaupun pernah diheret keluar daripada parti tetapi kembali dalam perjuangan politik beliau.
Pola pengundian latar etnik berbeza akan mempunyai kepentingan sendiri dan sehingga ke hari ini pengundi Cina dikatakan sudah membuat keputusan dalam pemangkahan mereka tetapi adakah ini 'luar biasa'. Bagaimana dengan pengundi Melayu, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut, Melanau dan lain-lain?
Apakah pengundi luar bandar masih setia ataupun pengundi bandar setianya berbeza? Mampukah BN pertahankan sekurang-kurangnya majoriti yang dimenangi dalam PRU lepas atau PRU Mac 2008 merupakan kemuncak barisan pembangkang akan dapat diketahui tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Sila berikan pendapat anda di sini .
anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.
Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.