Friday, June 22

Negara Berkebajikan PAS Bakal Ancam Islam.


Konsep Negara Berkebajikan yang diperjuangkan PAS sebenarnya adalah penyuburan liberalisasi yang bakal mengancam kedudukan Islam di negara ini, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Beliau berpendapat apa yang berlaku hari ini adalah kedudukan PAS yang dihimpit parti-parti liberal seperti DAP dan PKR.

"Siapa yang mendominasi siapa. Buku Jingga tidak memperjuangkan Islam, jika PAS mahu memperkenalkan negara berkebajikan, konsep negara seperti ini sudah pun wujud dalam konteks sosialis dan kapitalis," katanya.

Katanya, PAS yang mendakwa sebagai parti Islam terpaksa menjustifikasikan ideologi mereka kepada sekutunya - DAP dan PKR - yang merupakan parti sekular dalam Pakatan Rakyat.

"Mereka adalah parti-parti sekular. Mereka membawa ideologi sosialis.

"Bila PAS bersama di dalam Pakatan ini, maka PAS perlu memberi justifikasi Islamik kepada penglibatan tersebut sebab PAS bersetuju dengan Buku Jingga, dan akhirnya Buku Jingga yang menjadi manifesto kepada Pakatan Rakyat," katanya semasa menjadi ahli panel rancangan "Dalam Radar Khas", anjuran bersama Antarapos.com dan Radio24 Bernama, petang semalam.

Lain dari Buku Jingga

Rancangan yang membincangkan tajuk 'Malaysia Negara Berkebajikan - Dasar baharu atau amalan sedia ada' turut menampilkan Pengerusi Sekretariat Ilmuan Malaysia (Ilmu) Ustaz Dr Fadzlan Othman dan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Ustaz Abdullah Zaik juga mempersoalkan sama ada apabila disebut Negara Berkebajikan PAS, adakah ia sesuatu konsep yang laing daripada Buku Jingga yang merupakan manifesto atau kenyataan bersama yang mengikat komponennya.

"Jadi PAS dalam Pakatan Rakyat, adakah bila disebut negara berkebajikan PAS itu, konsep yang lain dari Buku Jingga atau sebahagian dari Buku Jingga itu sendiri?" soalnya.

Sementara Nasrudin pula mendakwa bahawa DAP akan mampu menerima dasar Islam yang diperjuangkan PAS berikutan beberapa siri pertemuan antara pemimpin komponen parti Pakatan Rakyat.

"Dalam beberapa siri pertemuan termasuk konvensyen Pakatan Rakyat mutakhir. Kenyataan mereka sangat positif terhadap dasar perjuangan Islam yang dibawa sekurang-kurangnya mereka memberi hak kepada PAS untuk melaksanakannya di negeri-negeri yang boleh kita seperti di Kelantan, Terengganu dan lain-lain negeri.

"Setakat ini apabila kita buat 'perisytiharaan' itu ia diakui dan diterima dengan baik oleh DAP," katanya.

Rasa ralat

Menurutnya, beliau tidak berasa ralat sekiranya golongan orang bukan Islam tidak memahami perjuangan Islam PAS, sebaliknya lebih ralat sekiranya ada orang Islam sendiri keliru dengan dasar perjuangan Islam parti tersebut.

"Konsep negara Islam masih kekal dalam slogan PAS iaitu negara berkebajikan, cuma ia diberi label baru. Ia untuk tujuan memastikan apa yang kami bawa dapat diterima masyarakat, pertukaran atau penjenamaan itu adalah kebijaksaan yang perlu ada pada pemimpin Islam," katanya.

Bagi Ustaz Dr Fadzlan pula, sekiranya berlaku pertukaran kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan, ini tidak menjamin apa yang dinikmati Melayu dan umat Islam negara ini akan terus kekal.

Katanya, perkara itu jelas dilihat di negeri-negeri yang kini dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

"Kita pernah melalui satu peringkat di mana (Presiden PAS) Tuan Guru Datuk Haji Abdul Hadi Awang telah mengiklan negara Islam. Tetapi setelah sampai kepada satu peringkat di mana adanya Pakatan Rakyat, ia diubahkanpula kepada negara berkebajikan." katanya.

Dilaksanakan BN

Sebaliknya menurut Dr Fadzlan, konsep negara berkebajikan ini sebenarnya sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN di mana pelbagai bantuan, dana serta subsidi diberikan kepada rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.

Malah, pelaksanaan bantuan yang diberikan kerajaan dalam gagasan 1 Malaysia sudah menggambarkan kerajaan mengambil berat soal kebajikan rakyat.

"Konsep 1 Malaysia bukan bermaksud kita abaikan perbezaan yang berlaku, yang kita ada. Tetapi kita mengekalkan apa sahaja perbezaan, keistimewaan yang ada dan kita bekerjasama membawa Malaysia kehadapan, dunia dan akhirat.

"Pada saya ia satu perkara yang cukup sesuai dengan apa yang di bawa oleh Rasulullah dalam Piagam Madinah," katanya.

Justeru, katanya, perkara itu jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya memberi peluang kepada parti pembangkang untuk memerintah terutama selepas melihat PAS seolah-olah tidak mempunyai kuasa apabila berhadapan dengan DAP dan PKR.AP

1 comment:

  1. Assalamualaikum,

    Sekadar peringatan bagi yang terlupa."Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(Al-Maa'idah-Ayat 8)
    Berhati-hati dalam 'posting' yang di paparkan kerana ianya kelak bakal dipersaksikan di padang mahsyar.

    ReplyDelete

Sila berikan pendapat anda di sini .

anda bertanggungjawab sepenuhnya atas komen yang diberi.sebolehnya jika Anonymous,sila letak nama samaran di pangkal komen anda untuk tujuan rujukan post anda.

Whatsoever thoughts, ideas and writings in this blog belong solely to the author and shall not necessarily be the thoughts or ideas of any other organisations or group of people of which the author might seem to be associated with. Any comment found in the comment section of this blog shall not be construed as part of the original posting and shall not be attributed to the author of the blog unless otherwise specifically stated therein. The author of this blog take no responsibility for the contents of third party comments in response to the posting by the author.