Tuesday, August 22

Lebih 9,500 anggota FSF kawal keselamatan operasi tren haji MMMSL tahun ini


Tahap keselamatan di semua sembilan stesen termasuk depoh dan landasan tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) kini dipertingkatkan menjelang operasi tren terbabit pada 29 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham berkata, tugas tersebut akan dilakukan dengan kerjasama Pasukan Keselamatan Fasiliti Arab Saudi (FSF), sebuah pasukan khusus yang bertanggungjawab melindungi keselamatan aset strategik negara itu.

Katanya, lebih 9,500 anggota FSF dikerah bagi melindungi keselamatan tren, selain memastikan keselamatan pergerakan lebih 350,000 penumpang teratur tanpa sebarang kesulitan.

"Kali ini FSF melakukan persediaan di stesen lebih awal, jadi kawalan di stesen tahun ini lebih mantap berbanding tahun tahun lalu.

"Selain itu kawalan juga dipertingkatkan di semua lokasi menempatkan aset strategik tren haji termasuk depoh dan Pusat Kawalan Operasi (OCC)," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Taklimat Keselamatan Operasi Haji 2017 Bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Mekah (MRDA), di sini semalam.


Masnizam berkata, jumlah petugas berkenaan adalah yang terbesar sejak Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperoleh kontrak tren haji berkenaan pada 2015.

Katanya, ia seiring dengan pertambahan kapasiti pengendalian jumlah keseluruhan 350,000 jemaah kali inj berbanding 310,000 jemaah bagi musim haji tahun lalu.

Selain FSF, Prasarana turut bekerjasama dengan kumpulan mutawif bagi membantu aliran pergerakan jemaah, terutama di sembilan stesen MMMSL dari Arafah ke Mina.

Masnizam menjelaskan dalam tempoh suntuk dan bilangan jemaah cukup ramai, pasti berlaku situasi kritikal yang memerlukan bantuan kumpulan mutawif.

"Berdasarkan pengalaman sejak dua musim haji lalu, pasti berlaku insiden jemaah 'sesat' dan tidak dapat mematuhi jadual pelepasan ditetapkan, terutama dalam kalangan mereka yang pertama kali menggunakan tren.

"Ini ditambah lagi dengan pertambahan jumlah jemaah tahun ini, begitu juga 'tempoh keemasan' waktu wukuf yang dikejar oleh jemaah. Justeru, kerjasama kumpulan mutawif boleh membantu kita dalam mengendalikan situasi ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama wakil kumpulan mutawif terbabit bagi memperincikan skop penugasan mereka pada tempoh kemuncak hari wukuf.

"Untuk 2017, kita diberikan tempoh enam jam (pada petang hari wukuf) untuk mengangkut kesemua jemaah yang berada dalam kawasan penugasan kita dari Arafah ke Mudzalifah.

"Ia tempoh paling kritikal, khusus dalam memastikan 'Tetamu Allah' dapat menunaikan ibadah dalam keadaan selamat dan selesa. Dalam tempoh itu juga, MMMSL menempa rekod sebagai tren paling padat dan tersibuk di dunia," katanya. - UTUSAN ONLINE

Friday, August 18

Kumpulan Terakhir Staf Prasarana Berlepas ke Mekah untuk Operasi MMMSL #MekkahMetro

Kumpulan terakhir staf Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) seramai 53 orang untuk menyokong operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) berlepas dari KLIA hari ini dengan janji untuk menabur bakti sebaik mungkin untuk membantu para jemaah menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci Mekah.

Sebahagian besar daripada mereka akan bertugas untuk Pasukan Bertindak Cepat atau ‘Rapid Response Team’, yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sepanjang jajaran 18.1km MMMSL dari Arafah ke Jamrah itu.

Dari Kiri Dari Kiri, Mohd Rosli Endut dan Anuar Yusoff

Bakal menjejak kaki buat pertama kali di Tanah Suci Mekah, Anuar Yusoff, yang sudah berkhidmat lebih 12 tahun dengan LRT Laluan Kelana Jaya di bidang pengurusan rangkaian trek (track network management), mereka semua sudah bersedia untuk mencurahkan segala pengalaman mereka untuk memastikan kejayaan operasi tahun ini.

“Saya akan bekerja dengan pasukan RRT dan sudahpun dimaklumkan secara am tentang apa yang perlu dilakukan nanti di MMMSL dan juga cabaran-cabaran yang bakal kami hadapi daripada cuaca panas terik, bekerja pada masa yang panjang dan tidur yang tidak menentu. Minda kami sudah ‘set’ menerima dan menghadapi cabaran-cabaran itu.

“Tentunya, bekerja dengan pasukan RRT, cabarannya lebih tinggi kerana perlu memastikan apa jua kecemasan dan gangguan, kalau ada, diselesaikan secepat mungkin. Jangkaan atau ‘expectation’ di sana adalah jauh lebih tinggi daripada apa yang hadapi di Malaysia. Ini semua sudah dimaklumkan kepada kami,” kata Anuar, yang melahirkan rasa gembira untuk terpilih berkhidmat di MMMSL tahun ini.

Katanya, beliau memohon untuk bertugas pada tahun lepas, tetapi tidak berjaya.

“Akhirnya, dapat juga saya menjejak kaki di Tanah Suci Mekah. Saya merasa amat gembira dan teruja; walaupun ada sedikit sedih untuk  meninggalkan anak dan isteri. Mereka, bagaimanapun, amat menyokong saya dan sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya. Alhamdulillah,” kata Anuar.

Mohd Shahdan Jalil, 38 tahun

Rakannya, Mohd Rosli Endut, yang juga bertugas dengan pengurusan rangkaian trek di LRT Laluan Kelana Jaya, turut melahirkan rasa syukur untuk diberi peluang berkhidmat di Tanah Suci Mekah tahun ini selepas tidak terpilih untuk operasi pada kedua-dua tahun lepas.

“Ini kira rahmat besar buat saya. Tentunya, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi saya peluang ini. Pada saya, ini adalah ibadat yang amat besar kerana kita membantu para jemaah menunaikan ibadat haji,” kata juruteknik berusia 55 tahun itu.

Beroperasi selama tujuh hari khusus untuk musim haji, MMMSL digunakan oleh kira-kira 350,000 jemaah dari negara-negara Timur Tengah dan Asia Selatan termasuk India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.

Seperti Anuar dan Rosli, Mohd Shahdan Jalil, 38, juga akan berkhidmat buat pertama kali dengan perkhidmatan MMMSL, yang menggunakan 15 tren 12-gerabak dan bergerak atas landasan bertingkat.    

“Saya rasa bangga untuk terpilih. Ingatkan peluang akan terlepas lagi tahun ini kerana lama menunggu kelulusan visa. Akhirnya, dapat juga pergi hari ini. Memang rezeki untuk terpilih walaupun sedih juga untuk meninggalkan anak tunggal saya yang baru berusia 17 bulan,” kata Shahdan, yang sudah bertugas dengan Rapid KL selama lapan tahun.

Selain juruteknik, delegasi yang berlepas hari ini turut mempunyai staf daripada Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik, yang akan memberikan liputan terperinci mengenai operasi MMMSL tahun ini.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 500 rakyat Malaysia akan bertugas untuk operasi MMMSL, yang akan melibatkan tidak kurang daripada 17,000 orang tenaga pekerja termasuk daripada pasukan keselamatan Arab Saudi.

Sebagai mengurangkan tekanan kepada operasi di Malaysia, Prasarana telah mengambil lebih 100 pesara dan  bekas staf Rapid Rail, KTMB dan ERL untuk menyokong operasi musim ini, yang merupakan tahun ketiga penglibatan Prasarana dalam projek ini.

Tuesday, August 15

Elak sesak, jom naik LRT ke Bukit Jalil @MyRapidKl @KhairyKJ


Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan awam untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil di sini susulan daripada penutupan kawasan parkir di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, penggunaan pengangkutan awam seperti bas RapidKL dan Transit Aliran Ringan (LRT) dapat membantu mereka ke lokasi tanpa menghadapi masalah kesesakan lalu lintas dan kawasan parkir.

“Ini adalah usaha kita menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan mereka ke lokasi pertandingan dengan tidak perlu memikirkan soal tempat letak kereta dan sebagainya.

“Saya ingin mengumumkan tempat meletak kereta di Kompleks Sukan Bukit Jalil ditutup kepada orang ramai. Hanya di Selangor Turf Club sahaja dibuka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan penggunaan LRT ke Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang pembukaan rasmi Sukan SEA 2017 pada 9 Ogos ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau selepas itu merasmikan stesen LRT Bukit Jalil berwajah baharu yang menampilkan tema sukan pada hiasan bangunan berkenaan khas sempena Sukan SEA yang ke-29 ini serta Panduan Perjalanan Pengguna Rapid KL.

Panduan perjalanan tersebut boleh dimuat turun menerusi laman web rasmi Sukan SEA 2017, Kementerian Belia dan Sukan dan media sosial Rapid KL.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd. Datuk Ir Zohari Sulaiman.

Friday, August 11

RAPID BUS LANCAR PROGRAM KAD IDENTITI KAPTEN BAS


Rapid Bus Sdn Bhd – anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini melancarkan program Kad Identiti Kapten Bas sebagai satu lagi inisiatif untuk meningkatkan lagi keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan bas sekali gus meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di negara ini.

Program ini turut diharapkan akan menaikkan imej Kapten Bas di negara ini di samping menjadi platform untuk memantapkan hubungan Rapid Bus dengan para pelanggannya khususnya dalam mendapatkan maklum balas mengenai perkhidmatannya.

Dengan penampilan positif ini, Rapid Bus turut berharap program ini akan meningkatkan motivasi di kalangan Kapten-kapten Bas untuk meningkatkan prestasi kerja khususnya ketika berinteraksi dengan pelanggan.

Diadakan hari ini di Hab Bas Akhir Pasar Seni, Kuala Lumpur, program berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Encik Mohd Azam Omar dengan dihadiri oleh para pegawai tinggi anak syarikat Prasarana itu.

Selain perkhidmatan bas Rapid KL termasuk perkhidmatan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway, Rapid Bus turut mengendalikan operasi dan perkhidmatan Rapid Penang di Pulau Pinang dan Seberang Prai; Rapid Kuantan di bandar Kuantan dan kawasan-kawasan persekitarannya; dan Rapid Kamunting untuk perkhidmatan di bandar Taiping dan Kamunting.

Di samping perkhidmatan bas henti-henti ini, Rapid Bus turut bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan bas perantara untuk menyokong perkhidmatan LRT dan MRT Sungai Buloh Kajang di samping sokongan kepada perkhidmatan bas percuma Go KL dan SMART Selangor.

Rapid Bus kini sedang dalam persiapan akhir untuk memulakan operasi Rapid Manjung di Perak dan Rapid Sungai Petani di Kedah.

Berucap pada majlis berkenaan, Azam berkata Rapid Bus akan terus mengadakan inisiatif-inisiatif baru dalam misinya untuk usaha dan misi Prasarana Malaysia Berhad khususnya Rapid Bus dalam memartabatkan industri perkhidmatan bas henti-henti dan meningkatkan ‘modal share’ pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2030.

“Hari ini, kita mengambil satu langkah kecil daripada banyak lagi siri inisiatif yang akan Rapid Bus akan adakan dalam usaha kami untuk meningkatkan lagi prestasi Rapid Bus khususnya dalam mengeratkan lagi persefahaman dengan para pelanggan.

“Program Kad Identiti Kapten Bas ini dilancarkan sebagai jambatan untuk menghubungkan Rapid Bus dan jenama-jenama perkhidmatannnya – Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan dan Rapid Kamunting dengan para pelanggannya.

“Dengan memperagakan identiti Kapten-kapten Bas yang mengendalikan bas ketika itu, kami berharap ia akan merapatkan hubungan para Kapten dengan para penumpangnya dalam berinteraksi dan memberikan komen,” kata Azam.

Menurut Azam, di samping pengenalan Kad Identiti ini, Rapid Bus akan terus memantapkan program Budaya Layanan Cemerlang di kalangan staf dan kakitangan kami khususnya yang bertugas di barisan depan (frontliners) sebagai Kapten Bas dan pengawal trafik (Traffic Controllers).

“Penekanan akan diberikan untuk memastikan staf dan kakitangan kami bekerja dengan memberikan senyuman ketika bertugas, bekerja dengan bersopan santun berbudi mulia dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” tambah beliau.

Sunday, August 6

Boleh bawa basikal naik LRT RapidKL


Basikal kini dibenarkan dibawa menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) setiap Ahad minggu pertama dan ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid KL, Datuk Zohari Sulaiman berkata, kebenaran itu diberikan dalam usaha menyokong program ‘KL Car Free Morning’ yang bertemakan ‘Go Green and Stay Healthy’.

"Sebelum ini hanya basikal lipat sahaja dibenarkan dibawa menaiki tren pada waktu tertentu tetapi kini basikal bersaiz penuh pula dibenarkan bermula 6 pagi hingga 10 pagi.


"Basikal dengan panjang tidak melebihi dua meter dan tinggi tidak melebihi 1.2 meter dibenarkan dibawa menaiki tren LRT empat gerabak di laluan Kelana Jaya dan tren LRT enam gerabak laluan Ampang/Sri Petaling," katanya selepas merasmikan program Bike & Ride LRT Rapid KL di stesen LRT Bandaraya di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Zohari, sebelum pelaksanaan itu, pihaknya sudah menjalankan kajian menerusi laman Twitter @MyRapidKL.

"Menerusi kajian itu, 80 peratus pengguna bersetuju dan menyokong usaha itu khususnya aktiviti sihat seperti berbasikal,” katanya.

Setakat ini, pelaksannan ini dicuba di tren LRT dan jika mendapat sambutan pengguna akan dilaksanakan di MRT juga, katanya

"Selain itu, Rapid KL juga menjalankan beberapa siri kayuhan simulasi dengan kerjasama Kelab Berbasikal Prasarana dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD)," katanya.

Thursday, August 3

PAK LAH AJAK RAKYAT MALAYSIA TURUN PADANG SOKONG ATLIT NEGARA


Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi berharap seluruh rakyat Malaysia akan bangkit bersama-sama untuk memberi sokongan bagi menyemarakkan semangat juang atlit-atlit negara pada temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (KL2017) yang  bakal bermula pertengahan bulan ini.

Tun Abdullah, yang mengunjungi Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil di sini hari, turut merakamkan rasa kekaguman atas transformasi yang telah dilakukan terhadap kompleks sukan berkenaan khususnya Stesen LRT Bukit Jalil, yang kini berwajah baru.

Tun Jeanne Abdullah bersama Kapten Tren LRT Siti Nur Asnene bt Tajuddin

Memperagakan imej sukan dengan ungkapan kata-kata semangat sebagai hiasan dalaman, Tun Abdullah, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, memuji langkah Rapid KL menghiasi stesen berkenaan khususnya dalam memberikan imej sukan kepada fasiliti pengangkutan awam itu.

Diringi oleh isterinya, Tun Jeanne Abdullah dan disertai oleh beberapa anggota keluarga lain, rombongan Perdana Menteri Malaysia kelima itu pergi ke kompleks sukan berkenaan dengan menggunakan perkhidmatan Rapid KL LRT Laluan Sri Petaling, yang dijangka menjadi mod pengangkutan awam utama untuk ke temasya sukan berkenaan.


Naik dari Stesen LRT Hang Tuah, Tun Abdullah menyatakan rasa gembira terhadap perkhidmatan berkenaan dan menyarankan para peminat yang ingin ke Kompleks Sukan Bukit Jalil untuk datang ke acara-acara yang dipertandingkan di sana.

Selain menjadi gelanggang utama untuk trek dan balapan di Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil yang turut acara pembukaan dan penutup temasya sukan berkenaan, acara-acara lain yang akan diadakan di sekitar Bukit Jalil adalah akuatik, badminton dan hoki padang.

Wednesday, August 2

STAF PRASARANA TERUJA KENDALI TREN HAJI MMMSL DI MEKAH


Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus menggiatkan usaha sebagai persiapan menjelang bermulanya operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), yang bakal bermula pada 29 Ogos ini di Tanah Suci Mekah, Arab Saudi.

Dengan cabaran yang dijangka lebih getir ekoran cuaca yang lebih panas berbanding dengan dua tahun lepas ketika Prasarana mula mengendalikan projek ini, staf dan kakitangan yang sedang dan bakal bertugas di sana diingatkan supaya sentiasa mengambil air yang banyak dan mengambil langkah-langkah menjaga kesihatan diri masing-masing.

“Sebenarnya, ini adalah tahun ketiga untuk saya bertugas di Mekah untuk operasi tren haji ini. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat di sana dan amat berterima kasih kepada Prasarana kerana terus memberikan kepercayaan kepada saya,” kata Mohamad Fardzreen Abdul Razak, yang berangkat ke Arab Saudi petang semalam dari KLIA bersama-sama dengan 21 rakan kerja yang lain.

Bertugas dalam bahagian kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, Fardzreen berkata kesemua mereka yang akan bertugas dalam operasi MMMSL ini telah dimaklumkan tentang cabaran-cabaran di sana khususnya mengenai cuaca yang panas dan mengendalikan sebilangan besar daripada jemaah yang menggunakan perkhidmatan itu adalah warga tua dan yang tidak pernah menaiki tren.

“Kerja-kerja mengurus penumpang di sana adalah jauh lebih berbeza dan jauh lebih mencabar daripada apa yang kami lakukan di sini sama ada untuk LRT, monorel ataupun MRT di sini. Pergerakan penumpang adalah secara serentak dan pada tempoh-tempoh tertentu yang singkat berdasarkan kepada urusan ibadat haji.

“Pada Hari Wukuf pada 9 Zulhijjah, umpamanya, semua jemaah akan berpusu-pusu ke Arafah untuk berkumpul di sana. Menjelang tengah malam, kesemua mereka akan bergerak pula ke stesen Mudzalifah sebelum bergerak pula ke Mina. Untuk tujuh hari berturut-turut termasuk dua hari sebelum Hari Wukuf, kami semua di sana bertugas tujuh hari berturut-turut tanpa henti.

“Justeru itu, adalah penting untuk setiap seorang daripada kami yang bertugas di sana memastikan tahap kesihatan kami adalah di tahap yang baik. Kerana, kami perlu sihat dan cergas untuk memastikan dapat menguruskan jemaah sebaik mungkin. Waktu rehat adalah amat minima,” kata Fadzreen, yang bertugas dengan Laluan Monorel di Kuala Lumpur.

Siap dibina pada tahun 2009 oleh Kerajaan Arab Saudi dan mula beroperasi sepenuhnya pada 2010, Jajaran MMMSL sepanjang 18.1km itu menghubungkan stesen-stesen di Arafah, Muzdalifah dan Jamrah untuk kegunaan jemaah yang berkhemah di kawasan berdekatan dengan laluan berkenaan.

Kedudukan khemah-khemah jemaah haji di kawasan Tanah Suci Mekah ditetapkan berdasarkan lokasi negara-negara. Kerana kedudukan khemah mereka, hanya para jemaah dari negara-negara Timur Tengah dan Asia Selatan seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka yang berpeluang menggunakan perkhidmatan ini. Para jemaah Malaysia menginap terlalu jauh untuk dapat menggunakan perkhidmatan MMMSL; dan akan terpaksa berjalan kaki tidak kurang daripada 8km untuk sampai ke stesen-stesen ini.

Prasarana dianugerahkan kontrak mengendalikan penyelenggaraan dan operasi MMMSL ini selama tiga tahun bermula pada 2015. Musim ini adalah tahun ketiga untuk Prasarana mengendalikan projek ini. Kira-kira 350,000 jemaah haji menggunakan perkhidmatan MMMSL ini.

“Jika ditanya tentang harapan saya, selain daripada dapat menjalankan kerja sebaik; dan menunaikan amanah yang diberikan dengan baik lancar dan sempurna untuk memberikan kemudahan kepada para jemaah menunaikan haji, harapan saya adalah untuk Prasarana akan terus mendapat kontrak ini dan saya dapat terus datang ke Mekah untuk menabur bakti kami.

“Saya sendiri, dan juga rakan-rakan kerja yang lain, cukup gembira, terharu dan teruja dengan pelbagai komen baik dan ucapan tahniah yang diberikan kepada jemaah kepada kami. Mereka bukan memuji Prasarana; tetapi memuji Malaysia. Kami di sana menyebarkan nama baik Malaysia dan rakyatnya. Ini amat membanggakan saya dan rakan-rakan saya yang lain.

“Kerana itu, saya sentiasa bersedia untuk pergi bertugas di Mekah dan mengendalikan operasi haji ini pada tahun-tahun akan datang. Susah dan payah, cuaca yang panas, kerja yang panjang ini, kami lupakan kerana peluang berkhidmat untuk memudahkan tetamu Allah melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.

“Dari segi bisnes, saya rasa ia cukup menguntungkan Malaysia. Kerana Prasarana membawa nama baik dan kepakaran Malaysia ke Arab Saudi dan Timur Tengah dan ini akan membuka peluang-peluang baru kepada Prasarana dan juga syarikat-syarikat Malaysia yang lain pada masa akan datang,” kata Fardzreen.

Perasaan teruja bertugas di Mekah untuk operasi haji ini turut dirasai oleh rakan sejawat, Saiful Ezani Ibrahim, yang mendapat peluang untuk bertugas untuk operasi MMMSL buat pertama kali untuk bergandingan dengan Fadzreen mengendalikan urusan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.

“Saya amat terharu untuk akhirnya mendapat peluang bertugas di Mekah. Bukan mudah untuk terpilih kerana kami perlu membuat permohonan dan ditapis oleh pihak pengurusan Rapid Rail. Ini adalah kerana Rapid Rail mahu memastikan bahawa operasi di Kuala Lumpur ini terus berjalan dengan lancar.

“Kerana itu, saya sangat gembira kerana mendapat jemputan ini. Saya akan cuba berikan khidmat yang sebaik mungkin, bukan saja untuk menjaga reputasi Prasarana dan Rapid Rail; tetapi lebih penting lagi, para jemaah dapat menunaikan ibadat haji mereka selesa dan selamat. Insya-Allah,” kata Ezani.

Di Mekah sekarang, staf yang bertugas di MMMSL sedang sibuk menjalani ujian operasi atau ‘trial operation’ berdasarkan 19 kes ujian yang ditetapkan bersama-sama dengan Kerajaan Arab Saudi bagi memastikan perkhidmatan mantap bila operasi sebenar dilaksanakan.
Ujian simulasi itu akan turut mengandungi dua sesi pelan latihan kecemasan dengan agensi-agensi keselamatan tempatan pada 23 dan 24 Ogos ini.

Demi mengurangkan sandaran kepada tenaga kerja Rapid Rail, operasi MMMSL musim ini lebih banyak menggunakan tenaga para pesara berpengalaman daripada Prasarana dan KTMM khususnya di bidang teknikal dan sebagai pemandu tren.