Wednesday, October 11

PEMBANGKANG SABOTAJ EKONOMI MALAYSIA @MpKotaBelud


1.       Media dikawal pembangkang seperti Malaysian Insight dan Edge meneruskan kempen mensabotaj ekonomi  Malaysia bagi kepentingan politik mereka, sekali gus menjejaskan ekonomi kebajikan rakyat.

2.       Terbaru, mereka mengambil laporan mutakhir Bank Dunia mengenai Asia Timur, dan tanpa segan silu menyebarkan penipuan berhubung hal berkaitan Malaysia.

3.       Mereka memulakannya dengan mendakwa: "Daripada 15 ekonomi Asia yang dianalisis dalam laporan itu, Malaysia dan beberapa negara lain Asia diunjur menjadi lebih buruk." Bagaimanapun, hakikatnya, ini adalah apa yang dinyatakan laporan terbabit: “Malaysia diramal tumbuh lebih pantas, mencerminkan peningkatan keyakinan, lebih banyak pelaburan dan pemulihan dalam dagangan dunia." Itu saja adalah perakuan terhadap kejayaan pelan jangka panjang Kerajaan yang dinikmati rakyat Malaysia.

4.     Mari kita memperhalusi butiran terperinci: “Beberapa kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal pada 2017, khususnya Mongolia dan Malaysia, namun defisit kekal tinggi atau di landasan untuk terus meningkat bagi kebanyakan negara." Pencapaian ini adalah susulan tindakan Kerajaan mengambil beberapa keputusan sukar yang tidak popular tetapi meletakkan kepentingan rakyat - sedangkan banyak negara tidak berbuat demikian.

5.       Laporan itu turut menyebut: “Pertumbuhan dalam perbelanjaan penggunaan persendirian dan peningkatan eksport komoditi utama serta pembuatan menyumbang terhadap kepantasan pertumbuhan Malaysia. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh pada kadar 5.6 peratus dalam suku pertama 2017 dan 5.8 peratus pada suku kedua — prestasi terbaik sejak suku pertama 2015”. Bunyinya tidak mencerminkan ekonomi semakin merudum seperti mana dicanang oleh media pembangkang, bukan?

6.       Ia turut menyatakan: “Malaysia mengubahsuai bajetnya ketika harga minyak dunia menjunam pada 2016, dan langkah itu berjaya mengembalikan program penyatuan fiskalnya kembali ke landasan betul.". Ia adalah perakuan bahawa sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab melakukan apa yang sewajarnya untuk memastikan ekonomi berada di landasan tepat.

7.       Sebagai mengukuhkan keyakinan negara lain terhadap negara ini, laporan itu menyebut: “Jumlah kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) terus rancak di Malaysia." Justeru, adalah amat menjijikkan apabila pembangkang dan proksi media mereka cuba merendah-rendahkan keyakinan terhadap Malaysia.

8.       Berbeza dengan pembangkang yang menentang Cukai Barang dan Jualan (GST), Bank Dunia jelas menggalakkan pelaksanaan cukai itu secara lebih meluas: “Keutamaan di Malaysia wajar merangkumi peluasan asas cukai pendapatan peribadi, dan mengurangkan pengecualian daripada cukai jualan am." Aneh juga apabila perkara itu tidak disebut oleh media dikuasai pembangkang!

9.       Laporan Bank Dunia bagi Oktober turut menyebut: “Angka kemiskinan tegar di Malaysia adalah amat sedikit."

10.   Ia menyebut, Malaysia "adalah antara destinasi kunjungan utama di dunia, berdasarkan jumlah pelancong antarabangsa. Secara keseluruhannya, rantau ini mendapat manfaat daripada infrastruktur pengangkutan udara yang baik, namun ada beberapa negara agak ketinggalan. Bilangan pelepasan (domestik dan antarabangsa) perkapita boleh digunakan secara jangkaan keberkesanan infrastruktur pengangkutan udara negara terbabit. Dalam keadaan ini, Malaysia mendahului negara lain dengan 14 pelepasan bagi setiap 1,000 orang rakyat, manakala Kemboja, Myanmar, dan Laos jauh ketinggalan dengan satu pelepasan bagi setiap 1,000 rakyatnya.

11.   Menjurus kepada perkara paling pokok, Malaysian Insight berkata: "Semua rakyat Malaysia perlu membaca laporan baharu Bank Dunia untuk membuat kesimpulan sendiri sama ada Barisan Nasional terlepas peluang tambahan ke arah pertumbuhan ekonomi."

12.   Memang mereka wajar membacanya kerana ini adalah kesimpulan Bank Dunia:

13.   “Pertumbuhan KDNK di Malaysia berlaku pantas ketika separuh pertama 2017 kepada 5.7 peratus (perbandingan tahun ke tahun), disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang kukuh. Hasilnya, ekonomi Malaysia diunjur berkembang dengan kadar 5.2 peratus  pada 2017. Prospeknya kekal positif, sejajar keadaan ekonomi Malaysia terus menikmati pertumbuhan memberangsangkan yang merentasi pelbagai sektor secara meluas.

14.   “Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan semasa pada 2018 dan 2019, walaupun pada kadar lebih sederhana di sebalik unjuran pertumbuhan penggunaan modal yang lebih rendah.”

15.   Semua petikan ini bukannya “berpilih".  Sesiapa saja yang berkata demikian patut membaca keseluruhan laporan itu. Walaupun ia ada menyentuh aspek bahaya risiko dalaman, laporan itu turut memuji pencapaian semasa Malaysia.

16.   Ini sama seperti laporan Bank Dunia pada Jun lalu – khusus membabitkan Malaysia, bukannya rantau ini. Rumusannya adalah: “Pengurusan ekonomi makro negara itu sentiasa proaktif dan efektif ke arah memacu cabaran mendatang dalam persekitaran ekonomi."

17.   Kesimpulan menyeluruh itu dengan sendirinya menepis dakyah dangkal golongan tidak patriotik, kononnya ekonomi Malaysia semakin parah. Ramalan siapa? Hanya golongan tidak mempedulikan negaranya yang berharap ekonomi hancur supaya dapat meraih kepentingan politik murahan.

18.   Ini adalah kesimpulan Bank Dunia dan sesiapa saja boleh membacanya di laman web rasminya:

19.   “Ekonomi Malaysia berkembang untuk menjadi lebih kukuh." (Jun 2017).

20.   Ini adalah pencapaian sebenar Kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Semua rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan rekod pencapaian ekonomi negara. Mereka yang menyebarkan pembohongan demi kepentingan politik sepatutnya berasa malu – kerana memalukan negara dan rakyat Malaysia. Berita palsu mereka tidak seiring dengan apa yang diperakui institusi global mengenai Malaysia. Mereka mengetahui Kerajaan ini mempunyai pelan ekonomi – dan perancangan itu telah dan akan terus dilaksanakan demi manfaat rakyat Malaysia.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri

11 Oktober , 2017

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive