Saturday, September 19

BERKAT DOA RAKYAT MALAYSIA KUOTA HAJI DITAMBAH 2100


Kerajaan berjaya mendapat kuota tambahan sebanyak 2,100 jemaah haji muassasah dengan ihsan kerajaan Arab Saudi dan telah melakukan beberapa penerbangan sejak Rabu lepas.

Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, TH dengan kerjasama Malaysia Airlines Berhad berjaya mengusahakan penerbangan kapal terbang jenis Airbus A380 dengan muatan 489 penumpang untuk sebuah pesawat.


"Ini adalah kali pertama penerbangan jenis A380 digunakan oleh TH untuk operasi haji.

"Penerbangan tambahan itu KT 66, 67 dan 68 serta beberapa penerbangan komersil telah selamat terbang sehingga 17 September dengan jumlah 1,612 orang (kuota tambahan)," katanya pada sidang media di Kompleks TH Kelana Jaya, di sini Sabtu.

Beliau berkata, penerbangan terakhir jemaah tambahan iaitu KT69 dijadual berlepas pada pukul 12 tengah hari Ahad dengan 489 jemaah.

Selain itu katanya, kuota asal jemaah haji Muassasah seramai 22,320 orang telah berjaya dihantar ke tanah suci Rabu lepas dan kesemua jemaah berada dalam keadaan sihat di maktab-maktab di Makkah.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, TH tidak akan menghentikan usaha mencari dua jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas.

"Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi proses pengecaman jenazah dijangka diperoleh selewat-lewatnya tiga minggu lagi dan dalam tempoh itu kita tidak akan berhenti mencari sehingga mendapat keputusan DNA yang muktamad," katanya.

Sampel DNA waris dua jemaah haji Malaysia yang masih hilang, telah diserahkan kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk proses pengecaman jenazah di rumah mayat Muaissem di Mina.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, waris Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah dan Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah, tiba di Jeddah pada 6.15 petang Jumaat dan mereka terus dibawa ke rumah mayat itu untuk proses pengambilan spesimen masing-masing.

Abdul Azeez turut memaklumkan setiap waris mangsa yang diterbangkan ke tanah suci akan diberi peluang mengerjakan haji memandangkan hari wukuf tidak lama lagi dan perbelanjaan mereka ditanggung tabung kebajikan TH.

"Mengenai jemaah yang cedera, kita akan membawa mereka ke Arafah dengan ambulans bagi membolehkan mereka menyempurnakan ibadah haji mereka," katanya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive