Tuesday, April 15

#Janji BN #PRU13 Jadikan Alor Setar Sebagai Hab Pendidikan @MukhrizMahathir


Ahli perniagaan dan jutawan terkenal Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary kini berhutang dengan rakyat negara ini khususnya masyarakat akademik apabila mengumumkan mahu menutup Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) yang terletak di Alor Setar, pada Jun depan.

Hutang yang dimaksudkan bukan hutang wang ringgit atau kebendaan tetapi beliau terhutang satu jawapan yang menjadi tanda tanya umum apabila mahu menghentikan operasi universiti yang semakin menempa nama itu, tanpa memberi sebarang sebab musabab.

Sememangnya menjadi hak beliau untuk tidak memberi sebab atas pelbagai faktor tertentu atau mungkin terlalu banyak yang berlegar-legar dalam fikirannya untuk dilakukan demi 'rakyat dan negara'.

Namun untuk menutup universiti yang menjadi kebanggaan masyarakat khususnya di Kedah kerana jasanya membantu pelajar yang kini berjumlah 600 orang dari dalam dan luar negara yang kurang berkemampuan selain mempunyai kakitangan dan lebih 100 kakitangan dan pensyarah, sudah tentu tindakan itu mengundang persoalan umum.

Lebih-lebih lagi, keputusan itu menjadikan nasib dan masa depan para pelajar dan kakitangan AIU dalam keadaan samar-samar.

AIU sebelum ini dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap penuntutnya yang rata-ratanya terdiri daripada golongan tidak berkemampuan dari seluruh dunia.

Selain tempat tinggal, makan dan minum serta kos pembelajaran, penuntut juga ditanggung pihak Yayasan Al-Bukhary yang ditubuhkan oleh Syed Mokhtar pada 1996.

Banyak pihak berpendapat, sekurang-kurangnya apa yang Pengerusi Kumpulan Albukhary itu harus lakukan adalah untuk memberi penjelasan sebenar serta tindakannya yang mewajarkan penutupan AIU.

Universiti itu menawarkan tiga program termasuk Yayasan, diploma dan ijazah sarjana muda di Sekolah Perniagaan dan Pengajian Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Pelajar AIU tidak dikenakan bayaran yuran pengajian malahan diberi biasiswa penuh oleh universiti yang dibiayai sepenuhnya oleh yayasan itu di bawah konsep wakaf.

Keutamaan diberikan kepada pelajar-pelajar dari latar belakang miskin, kurang bernasib baik atau terpinggir dari luar bandar di Malaysia dan negara dunia ketiga dan miskin di luar negara.

Difahamkan, kakitangan dan pensyarah telah diberi taklimat mengenai penutupan itu, dinasihatkan untuk mula mencari pekerjaan baru di tempat lain dan dijangka akan diberi wang pampasan mengikut undang-undang buruh.

Pada masa sama, difahamkan Naib Canselor AIU, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang memegang jawatan itu selepas bersara sebagai Naib Canselor di Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu telah mengosongkan jawatan di AIU pada pertengahan tahun lepas.

Syed Mokhtar jarang kelihatan dalam liputan media. Penampilan terkini Syed Mokthar ialah ketika muncul pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembangunan Perdana Quay bernilai RM4 bilion di Teluk Burau Langkawi pada 30 Mac lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Menurut Forbes, dianggarkan nilai bersih syarikat korporat yang dimilikinya ialah berjumlah AS $3.1 bilion (RM10 bilion). Itu tidak termasuk kekayaan peribadi anak jati Alor Setar itu yang juga lelaki ketujuh terkaya di Malaysia itu.

Berbalik soal AIU. Tidak dinafikan Syed Mokhtar melabur dana yang banyak kepada universiti yang terletak di Jalan Langgar dan turut menempatkan Masjid Albukhary Alor Malai itu.

Pelaburan tersebut bukan sahaja dari segi pembinaan kemudahan, infra-struktur dan bangunan beraneka bentuk indah serta berciri-ciri keislaman yang terdapat di AIU, tetapi dari segi hasrat murni membina modal insan serta membantu golongan tidak bernasib baik mendapatkan peluang pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Justeru, penutupan AIU menimbulkan misteri sedangkan menjadi hasrat kerajaan negeri Kedah untuk menjadikan Alor Setar sebagai hab pendidikan sebagaimana dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tahun lalu.

Justeru, adakah penutupan AIU adalah langkah mengundur ke belakang dari segi pembangunan hab pendidikan Kedah dan jika benar ia berlaku maka manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah yang dicanang pada PRU-13 memperlihatkan kegagalan!

Atau adakah terdapat strategi baharu untuk membuka universiti bertaraf antarabangsa yang lain dengan fokus berbeza di bandar raya itu dalam sedikit masa lagi. Ini perlu ditanya kepada Menteri Besar kerana beliau sebagai Pengerusi BN Kedah bertanggungjawab terhadap janji-janji dalam manifesto tersebut.

Dengan penutupan AIU Jun ini bermakna hanya tinggal satu institut pengajian tinggi (IPT) di Alor Setar iaitu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang turut akan menghilang di Alor Setar kerana bakal berpindah ke Kuala Ketil sedikit masa lagi. Universiti Utara Malaysia (UUM) pula di Sintok yang memberi kesan kepada Jitra manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Merbok.
 
Kedah adalah negeri pertanian yang hasil pendapatannya adalah rendah manakala rata-rata penduduk luar bandar khususnya di daerah Baling, Kuala Ketil, Sik hingga ke Jerlun berada dalam kemiskinan. Apabila pendidikan menjadi salah satu senjata ampuh membasmi kemiskinan, adalah malang jika sebuah universiti hendak ditutup pula.

Adakah Kedah kini lebih mementingkan kepada pelaburan pelancongan berskala besar di Langkawi yang lebih mampu memberi keuntungan dalam tempoh yang singkat berbanding sektor pendidikan untuk melahirkan modal insan sebagai pelaburan masa depan?

Namun sebelum bertanya kepada Mukhriz mengenai manifesto hab pengajian tinggi di Alor Setar, mungkin ramai yang hendak mendengar terlebih dahulu penjelasan daripada Syed Mokhtar tentang penutupan AIU pada Jun ini. Apa sebenarnya Tan Sri?

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive