Saturday, August 22

Rakyat Malaysia Menguruskan Operasi Tren Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Makkah Metro


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kepakaran dan khidmat bakti rakyat Malaysia menyediakan perkhidmatan pengangkutan rel di Tanah Suci Makkah menjadi kunci utama keselesaan dan kemudahan jutaan umat Islam mengerjakan haji tahun ini, kata pengarah Projek Al Mashaaer Al Mugaddassah, Khairani Mohamed.


Beliau berkata ini kerana 350 staf dari Malaysia bakal menerajui operasi tren Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Makkah Metro, yang menyediakan kemudahan pengangkutan kepada para jemaah Haji melaksanakan rukun Islam kelima itu yang memerlukan perjalanan antara Arafah, Muzdalifah dan Mina.

"Di bahu para petugas Malaysia itu juga diletakkan tanggungjawab melatih kira-kira 7,000 penduduk tempatan untuk membantu mengawal pergerakan para penumpang.


"Kami amat gembira dengan sokongan kepakaran daripada ERL dan KTMB kerana mereka dipinjamkan untuk bergandingan dengan staf Prasarana yang berpengalaman luas," katanya ketika dihubungi Bernama dari tanah suci Makkah Sabtu.


"Kami amat gembira dengan sokongan kepakaran daripada ERL dan KTMB kerana mereka dipinjamkan untuk bergandingan dengan staf Prasarana yang berpengalaman luas," katanya ketika dihubungi Bernama dari tanah suci Makkah Sabtu.

Khairani yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management and Engineering Services Sdn Bhd (PRIME) berkata penglibatan rakyat Malaysia dalam menguruskan operasi tren Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Makkah Metro, membuktikan kepada dunia bahawa anak tempatan mempunyai kebolehan dalam teknologi dan operasi rel.


Khairani yang telah bertugas selama tiga tahun di Makkah bersama beberapa orang lagi rakyat Malaysia bagi menguruskan tren berkenaan berkata setakat ini segala persiapan berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah, setakat ini segala persediaan mengendali tren itu berjalan dengan baik," katanya.

Katanya Prasarana dianugerahkan kontrak tiga tahun untuk menjalankan operasi rel berkenaan dan menjadi peneraju operasi.

Menurut Khairani, di bawah kontrak tiga tahun yang dimenangi tahun ini, Prasarana diberikan tanggungjawab sepenuhnya dalam pengendalian operasi perkhidmatan rel berkenaan sepanjang musim haji ini.

"Tugas yang dilaksanakan oleh pasukan kami termasuklah memandu tren, menguruskan stesen dan bilik kawalan operasi, mengawal keluar masuk penumpang, keselamatan stesen dan depoh, penyediaan barangan alat ganti, penyelenggaraan, dan juga kejuruteraan teknikal.

Khairani berkata kumpulan pertama rakyat Malaysia mula bertugas di Makkah sejak Mei lepas dan antara tugas awal mereka adalah membuat pemeriksaan awal ke atas semua aset termasuk tren, depoh, stesen dan penyediaan tempat tinggal bagi staf.

Menurut beliau lagi, para petugas untuk operasi haji tahun ini datang secara berperingkat berdasarkan keperluan.

"Ada yang perlu datang lebih awal kerana perlu menguji tren-tren yang digunakan dan memahirkan diri dengan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan di sini. Operasi yang dijalankan di sini adalah amat berbeza daripada apa yang kami lakukan di Malaysia sama ada LRT, monorel, KTM mahupun ERL.

"Kita juga memperkatakan tentang pergerakan penumpang yang berbeza dan jumlah penumpang yang jauh lebih besar," kata Khairani.


Katanya lagi, operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah ini diketuai Bukhari Mohamed, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang sebelum diberikan tugas baharu ini pada Mei lepas.

"Tentunya, kami menghadapi pelbagai cabaran dalam membuat persiapan untuk melaksanakan tugas ini. Tidak dapat dinafikan ini adalah tugas yang amat besar. Ini adalah projek luar negara pertama yang dikendalikan oleh Prasarana. Namun, Alhamdulillah, segalanya dapat diatasi dan berjalan dengan baik.

"Ia belum selesai lagi. Masih ada persiapan-persiapan yang perlu diteruskan. Sesi latihan dengan pekerja tempatan juga sedang giat dijalankan. Namun, kami yakin akan dapat menyediakan perkhidmatan yang sebaik mungkin untuk para jemaah," kata beliau.

"Secara rasminya, Laluan Al Mashaaer ini hanya beroperasi untuk musim haji selama tujuh hari saja. Tetapi, kerja-kerja penyelenggaraan berjalan sepanjang tahun termasuk penyelenggaraan trek dan tren serta mendapatkan alat-alat ganti bagi operasi tren-tren ini di samping memastikan keselamatan seluruh fasiliti Laluan Al Mashaaer Al Mugaddasah.

Dibina oleh China Railway Construction Company (CRCC), perkhidmatan rel Al Mashaeer Al Mugaddassah dibuka pada tahun 2010 dengan dikendalikan oleh syarikat itu sehingga musim haji 2014 dengan disokong oleh tenaga luar termasuk dari Malaysia.

Beroperasi dengan 17 set tren 12-gerabak, tren-tren ini beroperasi di atas empat laluan atas yang mampu membawa 3,000 jemaah haji satu perjalanan ataupun melebihi 70,000 penumpang dalam masa satu jam.

Dengan jajaran sepanjang 18 kilometer dan sembilan stesen, jajaran ini menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina, yang merupakan kawasan-kawasan rukun dan wajib dalam menyempurnakan ibadat haji.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive