Sunday, August 2

RAPID PENANG LANCAR INTERCITY KE SUNGAI PETANI @rapidpg @azmiaziz60


Kesediaan Syarikat Rapid Penang Sdn Bhd memperluaskan laluan perkhidmatan meliputi kawasan Sungai Petani, Kedah menerusi perkhidmatan Intercity dijangka bakal memberi nafas baharu kepada sistem pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mejar (B) Mohd Shukri Abdul Rahman berkata, bermula 2 Ogos 2015, Rapid Penang menawarkan perkhidmatan bas Intercity yang menghubungkan Sungai Petani ke Penang Sentral, Butterworth bermula jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Menurutnya, faktor pemilihan kawasan Sungai Petani sebagai lokasi tambahan laluan baharu diputuskan setelah Rapid Penang diminta untuk menerokai laluan perkhidmatan pengangkutan awam baharu meliputi daerah berdekatan Pulau Pinang.

“Bagi memastikan kualiti perkhidmatan kami di laluan baharu lebih lancar dan memudahkan pengguna, Rapid Penang memperuntukkan tambahan bas baharu dan ianya sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bas kami sebanyak 400 buah.

“Rapid Penang juga menyediakan 16 bas bagi setiap laluan perkhidmatan Intercity di mana lapan lokasi hentian dipilih untuk mengambil dan menurunkan penumpang di sepanjang perjalanan dari Sungai Petani ke Penang Sentral.



Caj murah

Mohd Shukri berkata, perkhidmatan bas Intercity itu dijangka mampu memenuhi keperluan penduduk Sungai Petani apabila caj tambang yang dikenakan untuk jarak keseluruhan perjalanan menghubungkan Sungai Petani ke Penang Sentral bernilai RM4.70 sahaja.

Menurutnya, jarak keseluruhan perjalanan yang turut melalui Lebuhraya Utara-Selatan dianggarkan 44 kilometer dan dijangka mengambil masa sejam untuk tiba di destinasi, bergantung kepada situasi trafik.

“Bagi memastikan perkhidmatan disediakan efisien, Rapid Penang turut menetapkan kekerapan operasi bas sekurang-kurangnya sekali pengambilan di setiap hentian dalam tempoh 30 minit hingga 40 minit, meliputi perjalanan Sungai Petani-Penang Sentral-Sungai Petani.

“Selain itu, Rapid Penang turut menjanjikan perkhidmatan selesa apabila bas dilengkapi lantai boleh laras, litar rakaman CCTV, kemudahan mesra orang kurang upaya serta teknologi GPS yang boleh menjejak kedudukan dan kelajuan bas sepanjang perjalanan,” katanya.

Promosi laluan percuma

Mohd Shukri berkata, sempena pelancaran laluan perkhidmatan bas Intercity baharu, Rapid Penang menawarkan peluang menggunakan perkhidmatan laluan baharu itu secara percuma kepada orang ramai bermula 2 Ogos hingga 6 Ogos 2015.

Selain itu, Mohd Shukri turut mengesyorkan orang ramai mendapatkan pas bulanan Rapid Intercity bernilai RM150 bagi membolehkan mereka menikmati setiap perjalanan tanpa had.

“Pada masa sama, Rapid Penang turut memerlukan tambahan 30 pemandu atau kapten bas bagi memastikan kelancaran perjalanan di dua laluan baharu ini.

"Saya mengalu-alukan permohonan penduduk Sungai Petani yang berminat untuk memenuhi kekosongan jawatan yang disediakan,” katanya.

Mohd Shukri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan penambahan laluan perkhidmatan Intercity merangkumi keseluruhan daerah bersempadan Pulau Pinang sekiranya pelancaran laluan baharu ini mendapat sambutan penduduk.

“Justeru, kehadiran Rapid Penang diharap bukan sahaja dapat meningkatkan persaingan sihat dalam kalangan pengusaha syarikat pengangkutan bas awam, malah memaksimumkan tahap  keselesaan bas untuk kegunaan orang ramai,” katanya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive