Tuesday, August 22

Lebih 9,500 anggota FSF kawal keselamatan operasi tren haji MMMSL tahun ini


Tahap keselamatan di semua sembilan stesen termasuk depoh dan landasan tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) kini dipertingkatkan menjelang operasi tren terbabit pada 29 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham berkata, tugas tersebut akan dilakukan dengan kerjasama Pasukan Keselamatan Fasiliti Arab Saudi (FSF), sebuah pasukan khusus yang bertanggungjawab melindungi keselamatan aset strategik negara itu.

Katanya, lebih 9,500 anggota FSF dikerah bagi melindungi keselamatan tren, selain memastikan keselamatan pergerakan lebih 350,000 penumpang teratur tanpa sebarang kesulitan.

"Kali ini FSF melakukan persediaan di stesen lebih awal, jadi kawalan di stesen tahun ini lebih mantap berbanding tahun tahun lalu.

"Selain itu kawalan juga dipertingkatkan di semua lokasi menempatkan aset strategik tren haji termasuk depoh dan Pusat Kawalan Operasi (OCC)," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Taklimat Keselamatan Operasi Haji 2017 Bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Mekah (MRDA), di sini semalam.


Masnizam berkata, jumlah petugas berkenaan adalah yang terbesar sejak Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperoleh kontrak tren haji berkenaan pada 2015.

Katanya, ia seiring dengan pertambahan kapasiti pengendalian jumlah keseluruhan 350,000 jemaah kali inj berbanding 310,000 jemaah bagi musim haji tahun lalu.

Selain FSF, Prasarana turut bekerjasama dengan kumpulan mutawif bagi membantu aliran pergerakan jemaah, terutama di sembilan stesen MMMSL dari Arafah ke Mina.

Masnizam menjelaskan dalam tempoh suntuk dan bilangan jemaah cukup ramai, pasti berlaku situasi kritikal yang memerlukan bantuan kumpulan mutawif.

"Berdasarkan pengalaman sejak dua musim haji lalu, pasti berlaku insiden jemaah 'sesat' dan tidak dapat mematuhi jadual pelepasan ditetapkan, terutama dalam kalangan mereka yang pertama kali menggunakan tren.

"Ini ditambah lagi dengan pertambahan jumlah jemaah tahun ini, begitu juga 'tempoh keemasan' waktu wukuf yang dikejar oleh jemaah. Justeru, kerjasama kumpulan mutawif boleh membantu kita dalam mengendalikan situasi ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama wakil kumpulan mutawif terbabit bagi memperincikan skop penugasan mereka pada tempoh kemuncak hari wukuf.

"Untuk 2017, kita diberikan tempoh enam jam (pada petang hari wukuf) untuk mengangkut kesemua jemaah yang berada dalam kawasan penugasan kita dari Arafah ke Mudzalifah.

"Ia tempoh paling kritikal, khusus dalam memastikan 'Tetamu Allah' dapat menunaikan ibadah dalam keadaan selamat dan selesa. Dalam tempoh itu juga, MMMSL menempa rekod sebagai tren paling padat dan tersibuk di dunia," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive