Sunday, June 17

POLITIK KELIRUKAN RAKYAT!! HAJI ATAU UNDI?




Agak melegakan apabila beberapa mufti dan juga ulama mula mencampuri isu wajar atau tidak umat Islam Malaysia menangguhkan kerja haji mereka tahun ini dan tumpukan perhatian untuk menyertai pilihanraya umum ke-13.

Ini secara langsung membantu menjernihkan suasana dan mengurangkan keraguan mengenai apa sebenarnya yang terkandung di sebalik isu bagaimana memilih kerajaan yang adil di Malaysia yang dimulakan oleh PAS.

Lantaran terdesak di segi politik, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan supaya ahli Pas yang terbabit secara langsung dengan pilihanraya umum akan datang supaya berikhtiar tidak melaksanakan rukun haji tahun ini dan perlu beri tumpuan pada pilihanraya umum.

Maksud terbabit dengan pilihanraya, beliau menerangkannya kemudian, membabitkan ahli-ahli Pas yang dikira akan jadi calon dan pekerja parti seperti pemerhati peti undi dan sebagainya.

Isu sebenar di sebalik pandangan Tuan Ibrahim ini ialah, bolehkah ibadah lain seperti pilihanraya umum yang datang empat atau lima tahun sekali itu mengatasi kewajiban menunaikan rukun Islam kelima? Maka tercetuslah perdebatan umum berhubung perkara itu.

Yang menguja ialah, kali ini perdebatan tidak terhad pada pelaku dalam ruang agama yang biasa seperti Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak dan Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis. Kali ini mufti lain seperti Datuk Tamyes Abdul Wahid dari Selangor dan beberapa ulama lain turut melontarkan pendapat mereka.

Memang demikian indahnya syariah Islam. Setiap isu diselusuri dari segenap sisi. Ini sesuai dengan pesan Rasulullah s.a.w. bahawa perbezaan pandangan adalah satu rahmat bagi umat. Namun dalam kes ini apakah rahmatnya bagi orang Melayu Islam?

Yang paling ketara, perhitungan politik kini semakin jelas menguasai dan meruncing dalam pemikiran umat Islam Malaysia. Sebaik sahaja ditegur oleh pelbagai pihak sebagai “menurunkan darjah rukun Islam kelima” itu berbanding pilihanraya, Tuan Ibrahim segera memperjelaskan bahawa maksud beliau ialah bukan semua ahli Pas yang perlu menangguhkan ibadah haji mereka; cuma yang terbabit dengan pilihanraya sahaja.

Namun Pas tidak meninggalkan Tuan Ibrahim keseorangan. Bertali arus pemimpin Pas membuat kenyataan untuk mengatakan cadangan beliau itu wajar dan tepat -- pilihanraya lebih penting kerana ia akan menentukan siapa memimpin negara ini untuk lima tahun lagi!

Pemimpin-pemimpin Pas bingkas mempertahankan Tuan Ibrahim kerana melihat kepentingan politik; khuatir ramai ahli Pas yang tidak dapat memangkah calon parti itu jika mereka berada di Tanah Suci. Walhal ada banyak sudut lain yang mereka abaikan atau sengaja tidak mahu tonjolkan.

Antaranya, dalam kuota 28 ribu jemaah haji Malaysia tahun ini, berapa ramaikah penyokong Pas tegar hingga boleh menjejaskan peluang parti itu dalam pilihanraya? Bagaimana dengan jemaah yang menyokong Umno; tidakkah Umno juga akan rugi jika membiarkan mereka meneruskan hasrat menunaikan haji?

Yang menjadi persoalan ialah soal hukum. Mana lebih utama, haji atau pilihanraya? Persoalan ini bukan terhad kepada pekerja atau calon pilihanraya, ia soal hukum – mana lebih utama dan perlu didahulukan?

Yang tersirat ialah Pas mahu meleraikan misteri politik. Atau, lebih tepat lagi ia mahu menyergap pengerusi Brisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak supaya mengikrarkan bahawa beliau tidak akan membubarkan parlimen menjelang akhir Oktober 2012.

Dengan fatwa bersalut politik ini, Pas dan rakan Pakatan Rakyatnya akan berasa lebih lega kerana dapat membayangkan (walau tidak dapat memastikan) bila pilihanraya ke-13 akan berlaku. Ini sebenarnya. Ia bukan soal mana lebih afdhal dan mana yang lebih wajar!

Seharusnya Pas mengatur tindakan politik mengikut iman. Menang kalah, adalah hak Allah. Jika Pas di jalan yang benar, ia tidak mungkin kecundang; tidak kira sebijak mana Najib mengatur siasah. Jika lebih separuh daripada 28,000 jemaah haji Malaysia berada di Tanah Suci, tetapi jika Pas memang ditakdirkan menang, ia akan tetap menang.

Namun Pas perlu dapat isyarat bila pilihanraya akan berlaku. Jika Najib terus dengan program transformasi dan tidak lokek menabur panen ekonomi negara dengan adil kepada semua rakyat, maka akan lebih sempit kelak ruang untuk menang bagi Pas dan Pakatan Rakyat.

Jika Najib berpolitik “ikut buku” dan membubarkan parlimen hingga tempoh matangnya, bagaimana Pas dan sekutunya hendak terus “menghangatkan semangat rakyat” untuk terus membenci Barisan Nasional yang saban hari semakin dekat di hati rakyat.

Lelah ekonomi, tenaga dan isu pasti berlaku dan saban hari semakin banyak kelemahan dan ketidakjujuran kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat terselak. Rakyat mulai nampak -- isu haji ialah untuk beri gambaran bahawa Najib sekali lagi “zalim dan cuba mengganggu amal ibadat” orang Islam Malaysia.

Matlamatnya dua. Satu, tambah kebencian rakyat terhadap Najib. Kedua, ia mungkin boleh memaksa Najib untuk beri “bayangan” bahawa pilihanraya tidak akan diadakan semasa musim haji. Jika itu benar kemungkinannya ia akan berlaku November atau mungkin April tahun depan. Jadi lebih mudah untuk mengatur rencana politik serta menguruskan soal stamina ekonomi dan isu.

Jika tidak, tentu ini akan memaksa Najib untuk memanggil pilihanraya diadakan sebelum Ramadan. Itu yang Pas lebih harapkan. Pada bacaan Pas, sekarang sokongan pada Pas dan Pakatan makin memuncak. Peluang menang lebih besar.

Isu martabat rukun haji bukan perkiraan Pas. Itu hanya sergahan politik. Pemimpin Pas kini lebih cenderung pada politik dan kurang mesra pada persoalan melepaskan jemaah menunaikan rukun agama dengan tenteram dan tertib.


- Posted using BlogPress from my iPad

2 comments:

Anonymous said...

sekiranya anda betul-betul yakin dengan Agama (ISLAM)yang anda anuti di mana Nabi Muhamaad SAW sebagai pensuruh Allah SWT bagi mengembangkan Agama Islam ini hingga sekarang,maka seruan untuk anda melakukan haji &umrah hendaklah diteruskan.tetapi sekiranya anda bertopingkan seorang islam, kerana mencebori parti politik yang dikatakan berteraskan islam,janganlah membazirkan wang untuk menunaikan haji.nanti parti tuan&puan akan kalah.pandangan yang mudah untuk tatapan yang sudi membaca.tepok dada tanya selera.

Anonymous said...

Sokong komen hang...
Pengundi pas tak sabar bak undi bn...

Pejuang hamas...

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive