Tuesday, December 25

Syarat Pesta Liar: Wajib Pakai Bikini, Seluar Pendek


Sekumpulan muda-mudi dipercayai kebanyakkannya Melayu dan beragama Islam tidak sempat berhibur dalam pesta liar di pantai Batu 2, berhampiran sebuah hotel, di sini, tengah malam kelmarin, apabila menyedari kehadiran polis.

Pesta itu dikatakan bermula seawal jam 6 petang kelmarin dan sepatutnya berakhir awal pagi, semalam, tetapi kumpulan seramai 30 orang itu bersurai secara berperingkat menjelang tengah malam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, beliau difahamkan penganjur menyasarkan lebih 100 orang berusia 20 tahun hingga 25 tahun hadir, namun mereka bersurai sebelum pihaknya mengadakan serbuan.

Beliau berkata, pada mulanya penganjur menyatakan mahu mengadakan parti hari jadi, namun pada saat akhir mereka menjual tiket pesta liar itu yang turut menyediakan persembahan muzik raggae dan juruhebah (DJ) popular.

"Mereka (penganjur) datang dari ibu kota dan hanya membuka keahlian untuk menyertai pesta ini kepada ahli yang mendaftar saja. Untuk menyertainya, penganjur mengenakan syarat peserta lelaki memakai seluar pendek, manakala perempuan memakai bikini.

"Untuk menyertai aktiviti ini, mereka akan membeli tiket secara atas talian berharga RM165 seorang, manakala ahli berdaftar pula mendapat diskaun dan hanya membayar RM100.

"Pihak kami tidak membuat sebarang tangkapan kerana kumpulan ini bersurai awal, mungkin sudah dapat menghidu kehadiran kami di sini," katanya yang turut serta dalam pemantauan itu.

Ab Wahab berkata, pihaknya hanya memantau apabila menerima maklumat pesta itu akan berlangsung di pantai terbuka dan dapat dilihat sebahagian penginap berhampiran kawasan itu.

"Jika keadaan memerlukan, kami akan mengambil tindakan termasuk menghubungi Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains). Namun, yang jelas penganjur menghentikan program apabila kami tiba.

"Saya difahamkan pihak hotel sudah menemui penganjur dan mendapatkan tandatangan mereka , menyatakan pesta itu tiada kaitan dengan hotel," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati, terdapat minuman keras disediakan untuk memulakan 'pesta' dengan berjoget mengikut alunan muzik dan beberapa wanita yang memakai bikini kelihatan kecewa dan hanya berlegar di lobi hotel apabila melihat anggota polis.

Turut kelihatan beberapa ahli kumpulan itu berkeliaran di sekitar pantai lengkap dengan alat perakam video dipercayai untuk merakamkan aktiviti tidak bermoral itu.

Sementara itu, pegawai Bahagian Penguat Kuasa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) Port Dickson ketika dihubungi berkata, mereka tidak terbabit dalam operasi itu kerana tidak menerima maklumat secukupnya. Harianmetro

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive