RAPID

Monday, July 17

LEBIH SETENGAH JUTA BAKAL NIKMATI DISKAUN 50 PERATUS TAMBANG PERKHIDMATAN REL & BRT RAPIDKL SEHINGGA 31 OGOS


Lebih setengah juta pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT Rapid KL sedia ada dan puluhan ribu pengguna baharu dijangka menikmati diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan mereka mulai esok sehingga 31 Ogos 2017 berikutan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika majlis perasmian fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) hari ini.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri tersebut, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan MRT SBK berkata pihaknya sedang bersiap sedia untuk menyelaraskan sistem tambang kesemua perkhidmatan terlibat untuk kemudahan semua pengguna.

“Insya Allah, sistem tambang kami akan siap diselaraskan untuk memberi diskaun 50 peratus kepada kesemua pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT mulai esok, kata Zohari.

Selaras dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK kepada orang ramai mulai 4 petang ini, Zohari turut menyeru orang ramai untuk mengambil kesempatan untuk menggunakan secara percuma perkhidmatan MRT fasa dua dari Stesen Kajang ke Stesen Muzium Negara sehingga tamat waktu perkhidmatan hari ini (17 Julai 2017) dengan tren terakhir berlepas dari Stesen Kajang dan Muzium Negara kira-kira jam 11.30 malam ini.

“Perkhidmatan fasa kedua MRT SBK akan beroperasi secara percuma di antara Stesen MRT Kajang dan Stesen MRT Muzium Negara, yang dihubungkan ke Stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki bawah tanah, pada hari ini sebelum ia dihubungkan dengan sepenuhnya dengan MRT fasa satu dari Stesen MRT Sungai Buloh dan stesen-stesen LRT dan KTM di dalam jaringan rel  bersepadu Lembah Kelang mulai 6 pagi esok,” kata Zohari.

Dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK, Zohari berkata lebih 1,200 anggota Rapid Rail yang ditugaskan untuk mengendalikan perkhidmatan MRT SBK turut bersedia menyambut bilangan pengguna baharu perkhidmatan MRT yang dijangka meningkat 10 kali ganda sehari berbanding jumlah pengguna MRT sedia ada.

Berikutan jangkaan peningkatan jumlah pengguna baharu tersebut, terutamanya di stesen-stesen sambungan dan bersepadu, Rapid Rail telah dan sedang mengubahsuai beberapa stesen utama, antaranya Stesen LRT KL Sentral.

“Anjung Timur (East Wing) Stesen LRT KL Sentral telah siap diubahsuai dan dibuka sepenuhnya mulai hari ini sebagai pintu masuk kedua Stesen LRT KL Sentral.

“Anjung Timur Stesen LRT KL Sentral dilengkapi Pejabat Khidmat Pelanggan; 17 pintu  penghadang otomatik; empat eskalator, kamera litar tertutup, 11 mesin penjualan token, kemudahan menambah nilai Touch ‘n Go, dan kemudahan untuk penukaran kad MyRapid yang biasa,” kata Zohari sambil mengingatkan pemegang kad MyRapid untuk menukar kad mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go yang baharu untuk memastikan perjalanan yang lancar di antara sistem LRT dan sistem MRT yang baharu tersebut.

“Para pemegang kad MyRapid yang biasa (kad berwarna hitam) boleh menukar kad mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go secara percuma di kebanyakan stesen LRT, BRT, dan monorel sehingga 31 Julai ini.

“Para pemegang kad konsesi, termasuk warga emas, OKU, dan pelajar boleh menukar kad konsesi MyRapid mereka di Stesen LRT Subang Jaya, Stesen LRT Awan Besar, dan Stesen LRT Sri Rampai dari 7 pagi sehingga 7 petang, setiap hari, selain Pusat Kad Konsesi MyRapid di Hentian Akhir Bandar Pasar Seni,” tambah Zohari.

Friday, July 14

FASA KEDUA MRT ANTARA KAJANG DAN MUZIUM NEGARA DIBUKA PADA 4 PETANG, 17.07.2017


Fasa Kedua Laluan MRT antara Kajang dan Muzium Negara akan dibuka kepada orang ramai mulai 4 petang pada 17 Julai 2017, selepas majlis pelancaran fasa tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, yang mengendalikan Laluan MRT Sungai Buloh – Kajang tersebut, orang ramai boleh mengambil kesempatan ini untuk menaiki tren MRT dari Stesen Kajang ke Stesen Muzium Negara, yang dihubungkan ke Stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki bawah tanah mulai 4 petang sehingga tamat waktu perkhidmatan MRT pada 17 Julai.

“Hubungan ke Fasa Pertama Laluan MRT Sungai Buloh – Semantan dan juga ke stesen-stesen integrasi Laluan LRT Kelana Jaya, LRT Laluan Sri Petaling, dan LRT Laluan Ampang hanya akan dibuka bermula 6 pagi pada hari berikutnya, pada 18 Julai,” kata Zohari.

Dengan jajaran keseluruhan sepanjang 51km merentasi 31 stesen, termasuk tujuh stesen bawah tanah, Laluan MRT Sungai Buloh - Kajang berintegrasi dengan Laluan LRT di stesen-stesen Pasar Seni, Maluri, dan Merdeka, yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat.

Jajaran ini turut mempunyai kemudahan sambungan dengan rangkaian LRT, monorel, KTM dan ERL di Stesen Muzium Negara, yang dihubungkan dengan stesen KL Sentral.

Stesen MRT Bukit Bintang juga disambungkan dengan stesen monorel Air Asia – Bukit Bintang.

Serentak dengan pembukaan Fasa Kedua Laluan MRT ini, perkhidmatan bas perantara untuk stesen-stesen yang baru dibuka turut dimulakan, sekali gus meluaskan liputan bas perantara yang disediakan oleh Rapid Bus Sdn Bhd kepada 23 laluan tambahan merentasi 12 stesen MRT yang baru.

Sebanyak 100 bas perantara tambahan disediakan untuk menghubungkan penduduk di kawasan-kawasan perumahan dan komersial yang berhampiran dengan stesen-stesen MRT terpilih.

Fasa pertama antara Sungai Buloh dan Semantara mula beroperasi pada 16 Disember tahun lepas selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri pada hari sebelumnya dengan purata 15,000 penumpang sehari.

Jumlah penumpang harian ini dijangka meningkat ke 150,000 hasil impak daripada kemudahan integrasi (Integration) dan sambungan (connecting) dengan rangkaian-rangkaian sistem perhubungan rel bandar yang lain.

Thursday, July 13

#MRT MAMPU KURANGKAN KENDERAAN SEBANYAK 160,000 #JomNaikMRT #GreaterKL


Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangka penurunan 160,000 kenderaan persendirian memasuki Lembah Klang setiap hari apabila perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) beroperasi sepenuhnya mulai 17 Julai ini.

Penggunaan perkhidmatan Laluan SBK sejauh 51km itu dapat menangani masalah kesesakan lalu lintas secara drastik di ibu kota. Apabila anggaran 400,000 penumpang menggunakan Laluan SBK setiap hari, ini bermakna ianya dapat mengurangkan 160,000 kenderaan di atas jalan setiap hari.

Sebuah tren dengan empat gerabak boleh membawa 1,200 penumpang dengan selesa…bayangkan ruang yang diperlukan jika setiap penumpang ini terus menggunakkan kenderaan masing-masing untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

Jika jumlah penumpang ini meninggalkan kereta masing-masing di rumah dan mengambil tren, bayangkan ruang kosong yang dapat diwujudkan di atas jalan serta pemilik kenderaan dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan.

Hampir dua juta orang telah menggunakan perkhidmatan MRT sejak fasa pertama Laluan SBK meliputi jarak sepanjang 21km dari Sungai Buloh ke Semantan mula beroperasi sejak Disember tahun lepas.

Fasa dua Laluan Semantan-Kajang, sepanjang 30km, yang melengkapkan jajaran MRT SBK, akan diancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Julai ini.

Bagi kemudahan pemilik kenderaan, MRT menyediakan 14 tempat letak kereta bertingkat dan terbuka dengan 8,000 petak di stesen-stesen sepanjang Laluan SBK bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan itu untuk berulang-alik ke pusat bandar.

Tambahan pula, sejumlah 300 bas pengantara akan beroperasi bagi membawa orang ramai ke stesen berdekatan dengan setiap bas berkapasiti 62 penumpang dengan kekerapan setiap 10 minit.

Rapid Rail, operator MRT, meramalkan bilangan pengguna akan meningkat 10 kali ganda pada masa masa akan datang daripada purata 15,000 penumpang sehari kepada 150,000 penumpang sebaik sahaja fasa dua laluan Semantan-Kajang dibuka.

Beliau berkata, satu lagi faktor yang akan menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut ialah faktor tambang yang berpatutan.

Misalnya, Tambang tiket dari Sungai Buloh ke Kajang hanya RM5.50 dengan penggunaan kad Touch n Go dan RM4.60 untuk bayaran tunai dan masa perjalanan adalah kira-kira 80 minit.

Bayangkan jika anda memandu dari Sungai Buloh ke Kajang dari segi masa, kos petrol, tol serta tekanan yang anda perlu lalui tetapi dengan menggunakan perkhidmatan MRT, anda mendapat banyak faedah dari segi ekonomi, penjimatan kos dan masa serta kurang stres serta dapat melakukan perjalanan dengan selesa.

Pada keseluruhan, Laluan SBK mempunyai 31 stesen dengan 19 stesen baharu bagi fasa kedua laluan Semantan-Kajang di mana tujuh merupakan stesen bawah tanah.

Stesen laluan Semantan-Kajang terletak di Muzium Negara, Pasar Seni, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Maluri, Cochrane, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Connaught.

Taman Mutiara, Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 11, Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Merdeka, Stadium Kajang dan stesen Kajang.

Thursday, July 6

APA YANG ADA PADA FELDA.........?


Banyak cerita positif dan kejayaan anak anak Felda yang peneroka boleh banggakan. Cerita cerita ini lebih baik dikongsi dan disebar berbanding dakwaan, cerita karut dan fitnah yang dibawa oleh pembangkang.

Jasa Tun Abdul Razak mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) amat besar.  Allahyarham Tun Razak pernah sebut ‘land for the landless’. Mereka yang tak ada tanah diberikan tanah 10 ekar (4 hektar). Kini lebih bukan sekadar tanah, lebih daripada itu yang peneroka dapat.

Kesannya sampai kepada generasi yang keempat sekarang. Anak, cucu dan cicit peneroka generasi pertama mendapat kesan. Pencapaian dan cerita positif ini yang orang Felda harus kongsi dan banggakan.

Tahukah anda siapakah Ikon Sukan Felda? Beliau adalah Mohamad Ridzuan Mohamad, atlet paralimpik yang menang emas acara 100 meteri di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 2016.

Ridzuan adalah cucu kepada peneroka Felda di Kampung Sertik, Wilayah Mempaga dan anak kepada pemandu kenderaan di Felda Wilayah Alor Setar. Hebat anak Felda, mampu menang emas di peringkat dunia.

Sebagai contoh di tahun 2014, sekumpulan anak-anak peneroka FELDA telah berjaya menimba ilmu di luar negara dengan mengikuti program akademik di London melalui Program Generasi Global yang dijayakan oleh Felda Global Venture dan Universiti Lim Kok Wing. Ini adalah inisiatif pertama kali buat anak-anak FELDA sehingga mereka berjaya memperoleh ijazah dan diploma di London.

Pada beberapa tahun lalu, tujuh anak peneroka FELDA telah berjaya mengikuti projek Everest FELDA. Projek Everest FELDA itu dianjurkan Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) dan mendapat sokongan serta tajaan FELDA, FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Majlis Belia FELDA Malaysia.

Seorang anak peneroka FELDA bernama Siti Hanisah Sharuddin, 23 (2013), yang merupakan anak jati Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan telah menjadi wanita termuda negara berjaya menakluk puncak Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter. Misi menakluk Gunung Everest itu diadakan sekitar tahun 2013.

Anak seorang Peneroka Felda Gemas Negeri Sembilan, Azmir Jaafar telah menjejakkan kaki di Universiti Georgia, Amerika Selatan untuk melanjutkan pelajaran  dalam bidang Pengajian Pemakanan (Diet Klinikal). Bermula dengan hanya sebagai Pengurus Pelatih McDonald's sahaja, kemudian memegang jawatan Pengarah Urusan McDonald's Malaysia.

Selepas itu Azmir ke China, memegang jawatan sebagai Naib Presiden/Ketua Pegawai Pembangunan. Azmir membuka lebih daripada 1,100 restoran dalam tempoh lima tahun di sana.

Bermula penubuhan Felda pada 1 Julai 1956. "Felda Hanya 1 Di dunia” bertapak dari penerokaan hutan dan berubah menjadi komuniti maju. Sesungguhnya tiada program pembangunan rakyat miskin di luar bandar yang berjaya seperti Felda.

Rancangan pertama Felda, yang bermula di rimba Lembah Bilut, Pahang. Kini sudah berkembang dengan 317 tanah rancangan di seluruh negara, dan menempatkan hampir dua juta keluarga peneroka.

Felda menjadi model contoh kepada negara-negara lain yang ingin melaksanakan konsep penyusunan semula tanah di negara mereka. Sierra Leone, Columbia, Laos dan Myanmar mahu meniru konsep Felda.

Pembangkang hanya pandai menuduh Malaysia kononnya menjual kedaulatan bila berbaik baik dengan China. Hasil hubungan baik itu menguntungkan peneroka Felda, bila Presiden Xi Jinping mahu membeli lebih banyak minyak kelapa sawit dari Malaysia.

"Dahulu harga minyak kelapa sawit RM2,300 setong tetapi hari ini telah mencapai RM3,100 setong... yang untungnya siapa? 550,000 pekebun kecil dan peneroka Felda dan saya mahu harga ini naik lagi," kata Datuk Seri Najib.

Pada 21 hingga 23 Julai 2017 ini akan diadakan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya. Program Ekspresi Felda Negaraku Malaysia  akan turut diadakan sempena sambutan Hari Peneroka ini. Tentunya banyak lagi cerita kejayaan yang boleh dirasai dan dilihat sendiri oleh rakyat Malaysia. Ini adalah acara "showcase" kejayaan kejayaan peneroka Felda.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive