Rapid

Thursday, April 19

PIES SELAMATKAN NYAWA WANITA MENGANDUNG


Sistem PIES (Platform Intrusion Emergency Stop) yang dipasang di platform stesen LRT Laluan Kelana Jaya telah menyelamatkan nyawa seorang wanita mengandung yang terjatuh ke atas trek di stesen LRT Damai pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.48 pagi tadi, seorang wanita yang berusia 26 tahun sedang menunggu tren untuk ke tempat kerja. Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dalam keadaan tidak stabil dan tiba-tiba terjatuh ke atas trek ketika tren menghampiri platform.

Mangsa diiringi pegawai Rapid KL dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Sistem PIES bertindak memberhentikan tren yang sedang menghampiri platform secara serta merta apabila ia mengesan ada “objek” yang terjatuh ke atas trek.

Sejurus selepas kejadian, Polis Bantuan Prasarana bersama pegawai operasi stesen bertindak mengarahkan semua penumpang untuk mengosongkan platform bagi menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa.

Pasukan penyelamat yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat serta ambulans yang tiba di lokasi sejurus kemudian, telah mengambil masa kira-kira 7 minit untuk menyelamatkan mangsa.

Mangsa diiringi pegawai Rapid KL dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan lanjut.

Sistem LRT Laluan Kelana Jaya pulih seperti sediakala pada jam 8.15 pagi setelah kira-kira 25 minit mengalami kelewatan jadual perjalanan.

“Sistem PIES berfungsi memberhentikan aliran elektrik pada sistem LRT sekiranya terdapat impak melebihi 7kg ke atas plat PIES. PIES ini dipasang di semua platform di stesen LRT Laluan Kelana Jaya kecuali di stesen bawah tanah”, kata Khairani Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd.

Bagi LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling, kerja-kerja pemasangan PIES sedang dijalankan dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

“Kami amat bersyukur kerana sistem keselamatan yang terdapat pada tren dan stesen berfungsi dengan baik sekali. Sistem PIES ini direka dan dipasang di kebanyakan sistem rel bandar di serata dunia  bagi mengesan sebarang objek atau gangguan pada sistem trek,” tambah Khairani lagi.

Kami juga bersyukur dengan tindakan pantas dan profesional petugas RapidKL bersama agensi penyelamat dalam mengendalikan situasi cemas berkat latihan amal kecemasan yang dibuat secara berkala bersama agensi penyelamat dan kecemasan.

Thursday, April 12

RAPID RAIL BAKAL BERWAJAH BAHARU DEMI CPR


Dengan misi melonjakkan imej dan prestasi, Rapid Rail Sdn Bhd bakal memperkenalkan inisiatif strategik baru sebagai landasan baru bagi menyelaraskan halatuju Syarikat dan panduan kepada warga kerja anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu.

Dengan singkatan nama CPR, yang diambil daripada abjad pangkal COST, PROCESS dan REVENUE ataupun Kos, Proses dan Pendapatan, menggantikan model bekerja yang terdahulu iaitu PMS atau PEOPLE, MONEY dan SYSTEM. Dengan pengenalan CPR, ia sekali gus bakal menyerlahkan Rapid Rail yang berwajah baru.

Secara mudah, tiga elemen baru itu akan menjadi penekanan Syarikat di bawah pucuk pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Haji Khairani Mohamed, yang kembali untuk menerajui Rapid Rail selepas berubah angin untuk memimpin Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME) dan Prasarana Rail and Infrastructure Projects (PRAISE).


Sasaran CPR adalah untuk mengoptimakan kos sambil mengekalkan operasi dan perkhidmatan yang cemerlang; melancarkan proses kerja bagi menghasilkan mutu kerja berkualiti dan produktif dan meningkatkan pendapatan untuk Syarikat.

Bagai sirih pulang ke gagang, Haji Khairani atau lebih mesra dengan nama KM, mengumumkan inisiatif ini bersama-sama pelbagai inisiatif lain serta azam beliau untuk membawa Rapid Rail kembali ke era kegemilangan pada sesi ‘Rail Dialogue’ 2018 pada 10 April lepas.

Diadakan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Sentul di sini dalam dua sesi bagi memastikan operasi berjalan lancar seperti biasa, lebih 500 staf menghadiri sesi pagi yang menyaksikan KM menyenaraikan keutamaan dan inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh setiap warga kerja Rapid Rail untuk merealisasikan sasaran 2018.

Serentak dengan pengumuman itu, KM turut memaklumkan bahawa rancangan untuk mengkaji semula dan menstruktur semula Rapid Rail bagi memantapkan operasi yang semakin berkembang dan jangkaan pemegang taruh yang semakin meningkat.

Bisnes Rapid Rail menjadi semakin mencabar bukan saja kerana rangkaian LRT yang semakin berkembang dengan Projek Penyambungan Jajaran LRT, operasi Laluan Monorel dengan jumlah tren yang terhad dan kemasukan operasi MRT Laluan Sungai Buloh Kajang, yang masih menunggu matang dari segi ‘ridership’ kerana projek-projek pembangunan yang belum siap sepenuhnya khususnya bandaraya kewangan Kuala Lumpur yang baru, TRX City Sdn Bhd.

Bercakap kepada WARNA, KM, yang memulakan karier dengan Prasarana sejak zaman operasi PUTRA LRT pada akhir tahun 1990an, berkata pendekatan baru itu perlu selaras dengan perkembangan Rapid Rail, yang menjadikan model PMS dilihat sudah tidak lagi relevan untuk diguna pakai.

“Pada pandangan saya, Rapid Rail pada masa ini sudah banyak berubah. Dahulu syarikat hanya bermula dengan rangkaian perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) bagi Laluan Ampang dan Kelana Jaya, lalu ditambah pula dengan perkhidmatan monorel. Kini, organisasi syarikat sudah semakin bertambah besar apabila ditambah dengan operasi perkhidmatan transit aliran massa (MRT) dan projek rangkaian perkhidmatan seterusnya yang bakal siap tidak lama lagi.

“Evolusi operasi perkhidmatan rel secara langsung telah memberi impak kepada peningkatan kos sistem pengurusan Syarikat dan operasinya. Sekarang, Syarikat memasuki fasa yang amat mencabar dan perlu memastikan sistem pengurusannya adalah lebih cekap dan lebih efisien.

“Pada saat ini, pendekatan yang berbeza perlu diguna pakai menggantikan yang lama (PMS) supaya ia lebih praktikal dan relevan dengan situasi semasa syarikat. Justeru, syarikat berpendapat CPR merupakan pendekatan yang paling strategic,” kata KM, yang dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail bulan lepas.

Menurut KM, pelan tindakan untuk pelaksanaan CPR dan penstrukturan semula Rapid Rail adalah dalam proses perangkaan; dan kajian akan meliputi formula yang digunakan oleh perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang telah membuat sumbangan signifikan kepada pendapatan Syarikat.
“Formula yang sama perlu dikaji sama ada boleh dipraktikkan dalam rangkaian perkhidmatan yang lain di bawah Syarikat,” tambah KM.

Turut hadir pada sesi Rail Dailog 2018 ini adalah keempat-empat Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail – Encik Abdul Hadi Amran (LRT Laluan Ampang/Sri Petaling), Haji Ismail Abdullah (LRT Laluan Kelana Jaya), Haji Mohd Ariffin Idris (Laluan Monorel) dan Ketua Pegawai Operasi MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, Haji Azmi Mohd Zain.

Wednesday, March 28

PENGGUNA PUJI POLIS BANTUAN RAPID FERRY


Para anggota Polis Bantuan yang bertugas dengan Rapid Ferry mendapat pujian daripada para pelanggan Feri Pulau Pinang, yang secara keseluruhan memberikan impak positif kepada perkhidmatan berkenaan berdasarkan satu kajiselidik yang dijalankan sebagai persiapan sebelum beroperasi secara rasmi.

Dalam kaji selidik ‘Kepuasan Pelanggan terhadap Perkhidmatan Feri’, yang diadakan selama 7 hari bermula 2 Mac secara atas talian sepenuhnya, perkhidmatan Polis Bantuan yang disediakan mendapat tahap kepuasan pelanggan paling tinggi berbanding faktor-faktor lain pada kadar catatan 67%.

Kajian selidik itu turut menunjukkan kekerapan feri serta maklumat perjalanan feri sebagai faktor yang mendapat tahap kepuasan pelanggan paling rendah. Responden juga dilihat tidak meletakkan jangkaan (expectation) yang tinggi terhadap faktor- faktor tersebut dan hampir menyamai tahap kepuasan pelanggan. Ia juga menunjukkan perkhidmatan bas Rapid Penang memainkan peranan penting di mana lebih daripada 66% pejalan kaki menggunakan bas sebagai perantara untuk perkhidmatan Feri.


Kaji selidik berkenaan mendapat penyertaan yang amat menggalakkan dengan 994 responden memberi maklum balas dalam tempoh seminggu ia dijalankan.

Bagi menggalakkan penglibatan dalam kaji selidik itu, para responden berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah, yang disediakan oleh Rapid Ferry. Tiga pemenang bertuah yang terpilih adalah Puan Normardiana Kamaruddin, Encik Darma Sillan dan Encik Soh Kheng Siang.

Monday, March 26

SELEPAS PEMANDU TREN, PRASARANA LATIH STAF OCC, PENYELENGGARAAN MRT JAKARTA


Akademi Perkeretaapian Indonesia  (API) bercadang untuk  mengembangkan kolaborasi dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menghantar staf penyelenggaraan dan Pusat Kawalan Operasi (OCC) MRT Jakarta mengikuti latihan dengan Akademi Rel Rapid Rail di Kuala Lumpur.

Mengumumkan perkara ini hari ini, Pengarah API, Dedy Cahyadi berkata langkah ini adalah adalah lanjutan daripada program latihan yang sedia ada; dan khusus untuk pemandu tren MRT Jakarta, yang bakal memulakan operasi tahun depan.

Dedy Cahyadi, Pengarah Akademi Perkeretaapian Indonesia

Dedy berkata API, yang bertanggungjawab untuk program latihan kakitangan rel Republik  Indonesia, amat berpuas hati dengan program Latihan Pemandu Metro Profesional, yang kini dikendalikan oleh Akademi Rel Rapid Rapid untuk para pemandu tren MRT Jakarta.

“Setakat ini, 54 pemandu tren telah tamat mengikuti program latihan dan respons yang diberikan oleh kesemua mereka adalah amat baik.  Ini menyakinkan kami untuk membuat program tambahan untuk staf penyelenggaraan dan petugas OCC MRT Jakarta,” kata Dedy kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Latihan Pemandu Metro Profesional untuk kumpulan pelatih yang kelima.

Diadakan di Akademi Rel, Depot LRT Laluan Ampang di Ampang di sini, majlis berkenaan turut dihadiri oleh dua pegawai tinggi MRT Jakarta, Cenni Ratisha dan Damaris Hastiti di samping Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang, Abdul Hadi Amran serta Ketua Akademi Rel, Haji Zaki Mohamad.

Kata Dedy, program kolaborasi API dan Prasarana dipersetujui pada 2016 dengan kumpulan pertama menjalani latihan selama enam minggu pada tahun berikutnya. Mereka datang secara berperingkat dalam lapan kumpulan di mana latihan meliputi kerja kursus dalam kelas dan praktikal termasuk memandu sendiri tren-tren automatik LRT Laluan Ampang/Sri Petaling. Kumpulan 5 terdiri daripada sembilan pemandu tren termasuk dua wanita.

Menurut beliau, apa yang pihak API cukup gembira dengan program latihan yang disediakan oleh Akademi Rel dan Rapid Rail adalah para pemandu berkenaan bukan saja menimba ilmu mengenai tugas sebagai pemandu tren; tetapi turut didedahkan dengan tugas-tugas lain termasuk aspek keselamatan dan budaya kerja.

“Kita bukan saja mahu kemahiran dalam operasi keretapian; tetapi seluruh budaya dalam mengendalikan operasi dan mengurus perkhidmatan tren khususunya aspek-aspek keselamatan dan budaya layanan pelanggan. Prasarana memberikan ini kepada para pelatih kami di sini,” kata Dedy.

Katanya lagi, pemilihan Malaysia bukan sekadar kerana kedudukan georafi Jakarta dan Kuala Lumpur yang berdekatan; tetapi juga kerana reputasi Prasarana dan Rapid Rail sebagai operator tren automatik serta pertimbangan Malaysia dan Indonesia sebagai bangsa serumpun dan menggunakan bahasa yang sama untuk memudahkan pembelajaran dan diskusi.

Berucap pada majlis berkenaan, Dedy mengingatkan para pelatih bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar sebagai perintis kepada pembangunan rel urban di Indonesia, yang diharapkan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan aktiviti bisnes di Jakarta dan Indonesia keseluruhanannya.

“Tolong manfaatkan sebaik mungkin masa anda semua di sini. Sentiasa bekerja dengan tulus dan sentiasa ingat bahawa kalian semua adalah harapan untuk membangunkan negara. Sebagai perintis, kalian menjadi pemangkin kepada pembangunan rel urban di Indonesia,” kata Dedy.

Haji Zaki, dalam ucapannya, turut melahirkan harapan yang sama agar semua para pelatih menggunakan kesempatan berada di Malaysia dengan sepenuhnya untuk mempelajari segala aspek mengenai operasi tren.

“Bukan saja terhad kepada pemanduan tren; tetapi semua aspek-aspek lain. Kami di Akademi Rel sentiasa bersedia untuk memberi tunjuk ajar dan berkongsi apa jua pengalaman yang kami ada untuk membantu membangunkan industri rel di Indonesia,” kata Zaki.

Sesi ujian dan pentauliahan (testing and commissioning) MRT Jakarta dijadualkan bermula September ini.

Wednesday, March 21

PENYOKONG KL, RED GIANTS DISARAN GUNA MRT KE STADIUM KUALA LUMPUR, CHERAS

Bas perantara MRT SBK dikendalikan oleh Rapid Bus menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada para pengguna dengan menghubungkan terus ke stesen-stesen MRT. Gunakan bas perantara T400 dari Stesen MRT Cochrane dan Maluri untuk ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Para peminat bola sepak khususnya penyokong-penyokong Kuala Lumpur dan Selangor digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) untuk berkunjung ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia yang melibatkan kedua-dua pasukan berkenaan.

Walau dari manapun memulakan perjalanan, para peminat hanya perlu pergi ke stesen MRT SBK terdekat dan meneruskan perjalanan ke Stesen MRT Cochrane untuk mengambil bas perantara T400 (Cochrane – Bandar Tun Razak) dan terus ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Tambang untuk bas perantara adalah RM1 satu perjalanan.

“Bas perantara berkenaan mempunyai hentian khusus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus menyediakan perjalanan selesa untuk para peminat tanpa perlu memandu dan mengharungi kesesakan lalu lintas serta kepayahan mencari tempat parkir kereta di stadium,” menurut satu kenyataan Rapid KL di sini hari ini.

“Bagi yang menggunakan LRT pula, anda hanya perlu menuju ke Stesen LRT Maluri, yang berhubung dengan Stesen MRT Maluri. Anda tidak perlu meneruskan perjalanan ke Stesen Cochrane kerana bas perantara T400 akan turut singgah di Stesen MRT Maluri dalam perjalanannya ke Bandar Tun Razak.

“Ini adalah perjalanan rutin bas perantara T400, yang sentiasa menghubungkan Stadium Cheras dengan perkhidmatan MRT SBK. Bagi keselesaan para peminat bola sepak, Rapid KL akan memantapkan lagi operasi pada hari-hari perlawanan termasuk meningkatkan kekerapan bas di sebelah malam. Bagaimanapun, perjalanan bas bergantung kepada arahan pihak berkuasa di kawasan stadium,” tambah kenyataan itu.

Operasi MRT SBK dikendalikan oleh Rapid Rail manakala perkhidmatan bas perantara  diuruskan oleh Rapid Bus di bawah jenama perkhidmatan, Rapid KL. Kedua-dua Rapid Rail dan Rapid Bus adalah anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Menurut kenyataan itu lagi, para peminat boleh memakir kenderaan di mana-mana fasiliti parkir dan gerak (park ‘ ride) yang terdapat di stesen-stesen terpilih MRT dan LRT dan meneruskan perjalanan dengan selesa dengan tren.

Bagi saingan Liga Super dan Piala FA musim ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, yang mempunyai kapasiti 18,000 penonton, dipilih sebagai venue untuk pasukan Kuala Lumpur dan Selangor ‘Red Giants’, yang sebelum ini menggunakan Stadium Shah Alam. Stadium Shah Alam kini menjadi gelanggang rasmi pasukan Liga Super PKNS dan kelab Liga Perdana Felcra FC untuk musim ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas Rapid KL, sila layari laman web www.myrapid.com.my

Monday, March 19

Indri, Amalia Bukan Cewek Biasa dari Jakarta


Indri Yulia Erlanita dan Amalia Hasanah Nur Ahlina bukan sebarang cewek dari Jakarta, Indonesia. Dua dara pingitan ini adalah pemandu tren MRT Jakarta, yang bakal mula beroperasi tahun depan.

Secara keseluruhan, MRT Jakarta setakat ini mempunyai 90 pemandu tren dan lima daripada mereka adalah pemandu tren wanita termasuk Indri dan Amalia, yang hari ini menamatkan program latihan Pemandu Tren Metro Profesional, yang dikendalikan oleh Akademi Rel Rapid Rapid Rail.

Bersama-sama 10 pemandu tren lelaki, mereka adalah daripada Kumpulan 4 yang mengikuti latihan dengan Rel Akademi daripada 8 kumpulan di bawah kontrak yang ditandatangani tahun lepas antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Akademi Perkeretaapian Indonesia (API), yang menguruskan program latihan untuk para pemandu tren berkenaan.

Gambar kenangan para pelatih dengan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Khairani (duduk lima dari kiri) dan para pegawai tinggi Rapid Rail dan tenaga pengajar Akademi Rel.

Berusia 23 tahun dan berasal dari Lampung, Sumatera, Indri berkata beliau amat berbangga untuk memilih karier sebagai pemandu tren dan tidak merasa kekok untuk bergandingan dengan rakan-rakan kerja lelaki.

Katanya, sebagai pemandu tren perkhidmtan MRT Jakarta, mereka menjadi perintis kepada pembangunan rel urban untuk Indonesia sekali gus diharapkan untuk  menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi dan aktiviti bisnes di Jakarta dan Indonesia secara menyeluruh.  

“Sebagai pemandu wanita, kami juga sedar bahawa kami mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membuktikan keupayaan kaum wanita di bidang ini,” kata Indri, yang berharap ramai wanita akan tampil untuk memilih karier dengan MRT Jakarta khususnya sebagai pemandu tren.

Beliau juga berharap rakyat Indonesia khususnya warga kota Jakarta akan menyokong projek MRT Jakarta, yang beliau lihat akan mencetus transformasi dalam sistem pengangkutan awam dan membantu menyelesaikan masalah trafik di Indonesia.

“Saya berharap seluruh rakyat Indonesia akan mendokong kami sebagai agen transformasi untuk sistem pengangkutan awam, yang kita sudah lihat di Malaysia; tetapi masih belum dilihat di Indonesia dan Jakarta,” katanya.

Menyatakan rasa gembira beliau untuk mengikuti program berkenaan, Indra memuji program latihan yang dilaluinya dengan perkhidmatan LRT Ampang khususnya peluang memandu sendiri tren.

Berasal dari daerah Boyolali, Jawa Tengah, Amalina, 23, turut berkongsi kegembiraan belajar di Akademi Rel khususnya mempraktikkan segala yang dipelajarinya ketika mula menyertai MRT Jakarta tahun lepas.

“Kita di sini berkesempatan untuk mempraktikkan apa yang dipelajari. Di Indonesia, kami belum berpeluang untuk belajar; tetapi semuanya ada di sini. Saya harap dapat menggunakan segala ilmu yang dipelajari untuk memberi perkhidmatan yang terbaik di Indonesia nanti,” katanya.

“Harapan saya supaya projek MRT Jakarta ini tidak akan berhenti di sini; tetapi dikembangkan ke seluruh Indonesia untuk manfaat seluruh masyarakat Indonesia,” kata Amelina.

Mengulas mengenai program latihan berkenaan, Ketua Jabatan Pengurusan Projek untuk Operasi dan Penyelenggaraan, MRT Jakarta, Encik Masum Asim gembira dengan keputusan API untuk  memilih Prasarana dan Akademi Rel.

Katanya, pemilihan Prasarana menepati ekspektasi dalam menyediakan program latihan yang mantap kepada staf MRT Jakarta.

“Maklum balas daripada tiga kumpulan lepas dan kumpulan yang menamatkan latihan hari ini adalah amat baik sekali. Prasarana bukan sekadar memberi latihan tetapi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan ikhlas. Terlalu banyak yang dipelajari oleh mereka,” katanya.’

Menurut beliau, pihaknya kini dalam perancangan dengan Prasarana untuk meluaskan latihan kepada staf daripada bidang-bidang lain dalam operasi dan penyelenggaraan MRT Jakarta.

Sijil-sijil telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Khairani Mohamed. Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang, Abdul Hadi Amran dan Ketua Akademi Rel, Zaki Mohamad.

Friday, March 16

PELANCARAN RAPID MANJUNG – KERJASAMA NBOS OLEH NCIA, PRASARANA DAN KERAJAAN NEGERI PERAK


Menteri Besar Perak YAB Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir hari ini melancarkan perkhidmatan bas awam Rapid Manjung, yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan bas awam dalam bandar di daerah Manjung, yang efisien dengan harga tambang yang berpatutan.

Inisiatif Rapid Manjung telah dirangka berpandukan aspirasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melalui kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM). Dua laluan khas akan diwujudkan meliputi laluan 101: Bandar Manjung - TLDM Lumut; dan 102 – Manjung City Loop, melibatkan kawasan pasar raya, bangunan kerajaan, hospital, sekolah, kawasan rekreasi serta kawasan kediaman di daerah Manjung. Rapid Manjung adalah perkhidmatan bas kedua yang diperkenalkan melalui kolaborasi dengan pihak NCIA dan pihak berkuasa tempatan selepas Rapid Kamunting, yang mula beroperasi pada tahun 2016.

Rapid Manjung adalah perkhidmatan bas henti-henti kedua yang dikendalikan oleh Prasarana melalui anak syarikatnya, Rapid Bus Sdn Bhd selepas Rapid Kamunting, yang diperkenalkan pada bulan Mac, 2016 untuk perkhidmatan sekitar bandar Taiping dan Kamunting.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Encik Mohd Azam Omar berkata Rapid Manjung mula beroperasi 1 Mac 2018 dengan 10 buah bas dan meliputi jarak 22 km dari Bandar Manjung ke Lumut dan laluan Manjung City Loop sepaniang 31 km dengan purata kekerapan 45 minit untuk satu perjalanan. Perkhidmatan bas ini juga akan memudahkan jaringan perhubungan masyarakat khususnya sekitar daerah Manjung. Orang awam berpeluang menggunakan perkhidmatan Bas Rapid Manjung secara percuma sebulan sehingga 31 Mac 2018.

“Pendekatan ini akan memberi peluang kepada orang ramai merasai perkhidmatan Bas Rapid Manjung yang efisien, kondusif dan selesa. Justeru, kami percaya dengan sistem pengangkutan yang efisien ini akan menjadi perintis kepada pertumbuhan sosio-ekonomi disekitar daerah Manjung,” kata Encik Mohd Azam.

Pengenalan perkhidmatan ini dijangka mampu menjadi rangka strategik dalam usaha menyediakan jaringan perhubungan yang bersepadu serta dapat menghubungkan sesebuah kawasan ke kawasan lain menerusi inisiatif-inisiatif yang akan diwujudkan melalui nod pertumbuhan di daerah ini.
Bersama majlis pelancaran ini, ‘Program Jelajah UtaraKU Blueprint 2.0’ turut diadakan untuk menyebarkan maklumat mengenai Rangka Tindakan Pembangunan NCER 2016-2025 (Blueprint 2.0) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri tahun lalu.

Program ini merupakan satu platform baru bagi NCIA dalam usaha memastikan setiap lapisan rakyat mendapat maklumat serta penjelasan yang terperinci berhubung perancangan pembangunan di NCER. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penduduk setempat termasuklah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin belia tempatan mengenai pelan pembangunan NCER yang terkandung dalam Blueprint 2.0.

Pendedahan yang diberikan ini dapat membawa limpahan manfaat kepada masyarakat setempat serta merancakkan lagi pembangunan sedia ada dan seterusnya memastikan tiada kelompok masyarakat yang dipinggirkan dalam arus pembangunan selaras dengan tema ‘Pertumbuhan Berteraskan Kesaksamaan Sosial’.

Menurut Datuk Redza Rafiq, Ketua Eksekutif NCIA, inisiatif-inisiatif di dalam Blueprint 2.0 telah diolah dan diselaraskan supaya lebih sesuai dengan keadaan ekonomi terkini, dan memberi penumpuan kepada pembangunan yang inklusif agar membawa pembangunan kepada kumpulan sasaran makro, mikro malah tahap akar umbi jua. “Program ini dilancarkan dengan kesedaran bahawa dalam memastikan rakyat terus makmur, NCER mesti melangkah ke hadapan dengan semangat serta iltizam yang tinggi”, ujar beliau.

Pembangunan nod pertumbuhan dijangka dapat menjadi pemangkin serta mampu memberikan kesan limpahan kepada kawasan sekelilingnya. Nod pertumbuhan Manjung-Aman Jaya Maritime City terletak di daerah Manjung yang kaya dengan hasil laut. Kedudukan nod pertumbuhan ini yang strategik berpotensi mewujudkan industri maritim yang berpendapatan tinggi dan menjadi pusat ekonomi yang berdaya saing. Manjung-Aman Jaya Maritime City dijangka akan menyumbangkan RM22.5 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan sebanyak 35,310 peluang pekerjaan di kalangan penduduk setempat. “Perkhidmatan pengangkutan bas awam merupakan salah satu projek “quick-win” yang terdapat di dalam kajian Manjung-Aman Jaya Maritime City”, tambah Datuk Redza.

Bagi memastikan pembangunan yang seimbang diwujudkan di negeri ini, NCIA juga terus komited dalam merencana pembangunan Wilayah Perak Selatan (WPS). Kini, perbincangan awal diadakan bagi menyokong dan membangunkan infrastruktur sokongan di Bagan Datuk Water City (BDWC) dan Perak Heavy Industrial Park (PHIP) terus dijayakan sebagai projek pemangkin ekonomi di WPS.

NCIA juga sedang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak dalam membangunkan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai. Pulau Pangkor berupaya memberi lebih banyak pilihan kepada para pelabur dan menarik kemasukan Foreign Direct Investment (FDI) dan Domestic Direct Investment (DDI) ke negeri Perak. NCIA dan Kerajaan Negeri sedang merangka pelan pembangunan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai di samping memastikan kelestarian hidup penduduk tempatan sentiasa terjamin.

Di samping taklimat berkaitan Blueprint 2.0, program pada kali ini turut dimeriahkan dengan Pertandingan Mewarna yang akan disertai oleh seramai 100 kanak-kanak KEMAS di daerah Manjung dan penyerahan sumbangan beg sekolah oleh YAB Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir.

Sunday, March 4

STESEN LRT KELANA JAYA DIBUKA SEMULA 6 PAGI ESOK

Stesen LRT Kelana Jaya akan dibuka semula kepada pengguna pada 6 pagi esok.

Sebahagian besar kerja-kerja membaikpulih bumbung di atas platform telah siap sekitar 6 petang tadi.

Kerja-kerja dihentikan sementara waktu akibat hujan lebat di Kelana Jaya sebentar tadi.

Dalam kejadian yang berlaku semalam, hujan lebat serta angin kencang telah menerbangkan sebahagian bumbung stesen berkenaan.

Bertindak atas faktor keselamatan, pihak pengurusan Laluan LRT Kelana Jaya  telah menutup sementara stesen ini bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan membaikpulih.

Sepanjang penutupan stesen ini, bas perantara percuma disediakan untuk membawa penumpang dari Stesen Taman Bahagia ke Stesen Kelana Jaya dan sebaliknya.

Operasi di stesen-stesen lain di LRT Laluan Kelana Jaya berjalan seperti biasa.

Baki kerja-kerja membaikpulih bumbung stesen di bahagian atas landasan akan bersambung dalam beberapa hari ini, selepas waktu operasi setelah bekalan elektrik di atas landasan ditutup sementara untuk kerja membaikpulih bumbung.

Justeru itu, para pengguna diminta mematuhi arahan dan notis yang ditampal di platform stesen.

Para pengguna diminta menyemak status terkini perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya menerusi akaun media sosial facebook.com/myrapid atau twitter @MyRapidKL.

Pihak pengurusan LRT Laluan Kelana Jaya ingin merakamkan penghargaan kepada para pelanggan dan pengguna perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kerana kesabaran dan sokongan padu mereka.

Sebarang kesulitan amatlah dikesali.

Kemaskini 9.50pm: Station LRT Kelana Jaya kini telah dibuka kepada pengguna.

Saturday, March 3

RIBUT DAN ANGIN KENCANG DI PJ: STESEN LRT KELANA JAYA DITUTUP SEMENTARA. PERKHIDMATAN BIASA DI STESEN LAIN


Stesen LRT Kelana Jaya ditutup buat sementara waktu atas sebab faktor keselamatan berikutan hujan lebat beserta angin kencang yang melanda Petaling Jaya tengah hari tadi.

Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa keping atap bumbung stesen  diterbangkan angin.


Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.

Berikutan hujan yang masih turun lebat, pihak operasi LRT Laluan Kelana Jaya bertindak menutup stesen LRT Kelana Jaya atas faktor keselamatan.

Tren dari Gombak ke Putra Heights dan sebaliknya akan melalui stesen LRT Kelana Jaya tanpa berhenti mengambil penumpang.

Para pelanggan dari Gombak atau Putra Heights yang ingin ke Stesen Kelana Jaya harus turun di Stesen Taman Bahagia untuk menaiki bas perantara ke Stesen Kelana Jaya.

Pengguna diminta mengikut maklumat terkini menerusi saluran media sosial di Facebook dan Twitter Rapid KL untuk mendapatkan status terkini perkhidmatan LRT.

Rapid KL ingin memohon maaf di atas kesulitan ini. Keselamatan penumpang adalah tanggungjawab kami.

Wednesday, February 28

SUSPEK KES CABUL BERJAYA DI TANGKAP


Seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki mencabul kehormatan seorang penumpang wanita di dalam LRT telah berjaya ditangkap oleh anggota unit tindakan khas (SAT) Polis Bantuan Prasarana pada petang Sabtu lepas.

Suspek berjaya dikesan di Stesen Monorel Imbi sekitar jam 1.35 petang Sabtu ketika sedang keluar daripada tren. Anggota SAT yang sedang menjalankan rondaan dengan berpakaian preman telah terserempak dan seterusnya menahan suspek.

Pengecaman dibuat menerusi gambar dari rakaman kamera litar tertutup dan suspek mengaku gambar yang ditunjukkan itu adalah wajah beliau.

Suspek kemudian dibawa ke pejabat Polis Bantuan Prasarana untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Dalam kejadian yang berlaku pada 14 Disember 2017, pengadu mendakwa telah dicabul oleh seorang lelaki ketika menggunakan perkhidmatan LRT dari stesen Pasar Seni ke Stesen Masjid Jamek.

Setelah tiba di stesen Masjid Jamek mangsa dan Polis Bantuan mengejar suspek namun suspek berjaya melarikan diri.

Bertindak atas kejadian, pasukan SAT melancarkan gerakan menjejaki suspek dengan muat turun gambar yang telah dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup. Pemantauan dilakukan disetiap rangkaian pengangkutan kendalian Rapid KL sehingga suspek berjaya diberkas.

Rapid KL ingin menasihati kepada pengguna agar melaporkan terus sebarang kes jenayah kepada kapten bas, pegawai operasi di stesen atau Polis Bantuan sekiranya anda mangsa atau melihat kejadian seumpama ini.

Pengguna LRT, MRT, Monorel, BRT dan bas Rapid KL juga boleh mengunakan aplikasi “Whatapps” untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah. Hantar gambar beserta  butiran kejadian seperti no tren, lokasi, tarikh dan masa ke nombor 0107664472. Pihak kami akan mengambil tindakan segera berdasar maklumat yang disalur.

Selain itu, pengguna boleh berhubung dengan kami menerusi aplikasi media sosial Rapid KL Facebook dan Twitter atau hubungi talian bantuan Rapid KL.

Tindakan memuat naik gambar kejadian seperti ini ke dalam media sosial dengan tanpa membuat laporan kepada Rapid KL atau pihak berkuasa akan menyukarkan siasatan. Suspek mungkin akan mengubah identiti ketika menggunakan perkhidmatan awam bagi mengelak dikesan.

Untuk rekod, kebanyakkan kes jenayah berjaya diselesaikan sejurus selepas laporan dibuat. Siasatan sukar dijalankan tanpa kerjasama dari semua pihak khususnya pengadu.

Keselamatan dan keselesaan pengguna Rapid KL adalah keutamaan kami dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia.

Thursday, February 8

SOLAT HAJAT DEMI KESEJAHTERAAN PRASARANA @MyRapidKL


Mengambil berkat hari Khamis, 22 Jamadilawal 1439H, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengadakan solat hajat bagi mendoakan kejayaan berterusan untuk Syarikat berkenaan di samping kesejahteraan dan keselamatan seluruh warga kerjanya.

Diadakan sejurus selepas solat Zohor berjemaah dan didahului dengan sesi tazkirah oleh ustaz-ustaz jemputan, solat berkenaan diadakan serentak di ibupejabat korporat Prasarana di Menara UOA Bangsar di sini, di Kompleks Rapid Rail di Subang, Depoh LRT Ampang di Ampang; dan di Wisma Monorail, Brickfields.

Dianjurkan atas cadangan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana yang baru, Puan Masnizam Hisham, solat hajat dan solat Zohor berjemaah turut diadakan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di Balakong dan di depot Rapid Penang di Lorong Kulit, Georgetown serta Depoh Rapid Kuantan di Semambu, Kuantan.

Puan Masnizam Hisham (tudung hitam) khusyuk mendengar 
tazkirah oleh Ustaz Shahrizan Daud Al Turabi 
di ibu pejabat korporat Kumpulan Prasarana di Bangsar.

Sesi tazkirah adalah bertemakan kepada tajuk ‘Amanah, Tanggungjawab Majikan dan Pekerja’, yang rata-rata memberi fokus kepada nilai-nilai yang perlu didokong oleh seluruh warga kerja Kumpulan Prasarana dalam menunaikan tugas harian mereka.

Intipati daripada tazkirah-tazkirah berkenaan adalah dalam melaksanakan tugas-tugas harian ini, ianya perlu dijadikan sebagai satu ibadat, yang sekali gus perlu dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab, ikhlas dan berintegriti.  

Masnizam dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana pada 18 Januari lepas; menggantikan Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz.

Banyak Sebab Mydin Rugi DSP Abdul Rahman Dahlan @mpkotabelud


1. Saya ingin merujuk kepada beberapa laporan media, mengenai kenyataan Pengarah Urusan Pasaraya Mydin, bahawa di sebalik pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh, rakyat tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan.

2. Menurutnya, ini dibuktikan berdasarkan kemerosotan jualan yang dialami pasaraya-pasaraya besar:

3. Berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), jualan di pasaraya besar hanya mewakili 8% daripada keseluruhan perdagangan runcit di Malaysia.

4. Atas sebab itu, jualan pasaraya tidak boleh dijadikan sebagai satu-satunya penanda aras prestasi perdagangan runcit di Malaysia, apatah lagi keadaan ekonomi semasa negara dan rakyat.


5. Tambahan pula, perdagangan runcit di Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dari segi nilai dan jumlah. Dari segi nilai, perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan dua angka untuk tiga suku tahun berturut-turut pada tahun 2017, manakala dari sudut jumlah pula, perdagangan runcit berkembang 7.8%, 11.5%, dan 10.5%, untuk suku tahun pertama, kedua, dan ketiga bagi tahun 2017 masing-masing.

6. Perdagangan runcit pada 11 bulan pertama tahun 2017 telah meningkat daripada RM367.7 bilion kepada RM410.5 bilion untuk tempoh yang sama bagi tahun 2016, iaitu peningkatan sejunlah 11.6%.
7. Bilangan kedai bukan pengkhususan, yang termasuk pasaraya besar, telah meningkat daripada 66,920 (2016) kepada 73,848 bagi tahun 2017. Ini merupakan satu faktor mengapa pasaraya besar mengalami kadar jualan yang perlahan, ekoran lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membeli-belah.

8. Berdasarkan, laporan Bancian Ekonomi 2016 yang diterbitkan DOSM, transaksi pengguna-kepada-perniagaan (B2C), mencatat nilai sebanyak RM73.7 bilion dan ia berkembang saban tahun. Lebih ramai pengguna membeli produk, termasuk barangan runcit asas tanpa perlu keluar rumah kerana terdapat pilihan yang lebih mudah melalui internet.

9. Sebilangan pasaraya besar di Malaysia sudah pun mula menyediakan perkhidmatan membeli barangan atas talian dan menghantarnya terus ke rumah pelanggan masing-masing. Syarikat-syarikat pasaraya besar yang masih belum mengikuti trend ini akan kehilangan potensi besar yang berpunca daripada perniagaan atas talian yang memberangsangkan.

10. Data-data lain juga menyatakan yang rakyat Malaysia, secara amnya, mempunyai wang untuk dibelanjakan.

11. Sebagai contoh, perbelanjaan pelancong domestik meningkat sebanyak 10.2% pada 2016, dengan nilai dicatat sebanyak RM74.8 bilion, berbanding RM67.7 bilion pada tahun sebelumnya. Aktiviti membeli-belah terus menjadi komponen terbesar dalam perbelanjaan pelancong domestik, dengan peratusan sumbangan sebanyak 35.3%

12. Pelancong Malaysia telah membelanjakan RM33.5 bilion di luar negara pada tahun 2016, berbanding RM31.3 bilion pada tahun sebelumnya, satu peningkatan tatkala nilai matawang Ringgit menyusut.

13. Kesemua angka-angka ini adalah selari dengan kenaikan median pendapatan bulanan isi rumah, iaitu 6.2% setahun daripada RM4,585 (2014) kepada RM5,228 (2016).
14. Dan purata perbelanjaan isi rumah bulanan meningkat 5.9% setahun, iaitu daripada RM3,578 (2014) kepada RM4,033 (2016), seperti mana dilaporkan dalam Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh DOSM.


15. Perkembangan ekonomi Malaysia yang kukuh sememangnya memberi manfaat rakyat, iaitu dari segi peningkatan pendapatan, serta kuasa membeli, yang mana akhirnya akan turut meningkatkan penggunaan swasta.

16. Penggunaan swasta terus menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dengan peratusan sumbangan kepada KDNK sejumlah 53.2%, atau RM589.7 bilion.

17. Sekali lagi ingin saya ingatkan, prestasi ekonomi dan keadaan sesebuah negara, tidak boleh dinilai hanya daripada satu sub-sektor, seperti industri pasaraya besar sahaja.

18. Tidak dinafikan, KDNK mempunyai had-had tertentu dalam mengukur taraf kesejahteraan hidup rakyat dan bukan penanda aras yang sempurna untuk, tetapi ia sememangnya berkait rapat dengan ukuran kualitatif kemakmuran sesebuah negara. Dengan pertumbuhan KDNK yang meningkat, lebih banyak peluang pekerjaan dicipta, pendapatan isi rumah meningkat, dan seterusnya rakyat akan mempunyai wang untuk dibelanjakan.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Unit Perancang Ekonomi

Wednesday, January 31

TINDAKAN PANTAS KAPTEN BAS RAPID KL MENGENDALIKAN SITUASI CEMAS DIPUJI


Tindakan pantas kapten bas Rapid KL laluan 772 Pasar Seni - Mah Sing mengendalikan situasi cemas dalam insiden bas terbakar harus dipuji.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.50 petang di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Subang berhampiran susur keluar Jalan Templer, sebuah bas Rapid KL yang dalam perjalanan telah terbakar.



Laporan awal menyebut kapten bas telah terdengar bunyi pelik di bahagian belakang bas.

Secara kebetulan terdapat sebuah kereta peronda polis yang mengekori dari belakang bas telah membunyikan siren dan kapten memberhentikan bas di tepi jalan serta mengarahkan penumpang turun dari bas.

Terdapat 7 penumpang berada di dalam bas terbabit.Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pihak polis telah menghubungi bomba untuk bantuan.

Cubaan memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api tidak berjaya. Pihak bomba yang tiba dilokasi telah berjaya memadamkan kebakaran.

Rapid KL akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian. Keselesaan dan keselamatan pengguna adalah keutamaan kami.

Kapten bas Rapid KL telah diberi latihan dan pendedahan simulasi dalam mengendalikan keadaan cemas atau luar jangkaan.

Tindakan kapten bas yang segera memberhentikan bas dan mengarah penumpang keluar dari bas adalah satu  prosedur standard yang diamalkan oleh semua.

Penumpang yang terkandas meneruskan perjalanan dengan menaiki bas yang seterusnya.

Friday, January 19

BERTEKAD TERUS TRADISI KECEMERLANGAN PRASARANA

Bersyukur kepada Illahi atas pelantikan beliau, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang baharu, Puan Masnizam Hisham berazam untuk terus meneruskan tradisi kecemerlangan yang dilaksanakan oleh Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz.

Puan Masnizam Hisham ketika memimpin operasi untuk perkhidmatan tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line di Tanah Suci Mekah tahun lepas.

“Tentunya, saya rasa gembira untuk diberikan kepercayaan untuk menerajui operasi Kumpulan Prasarana. Ianya adalah satu penghormatan buat diri saya dan keluarga saya serta kaum wanita yang berkarier.

“Tetapi, saya akan menjadi orang pertama untuk mengakui bahawa ia adalah satu tugas yang amat mencabar khususnya dengan Kumpulan Prasarana sekarang sudah mengembangkan sayap daripada fungsi asalnya sebagai penyedia perkhidmatan bas henti-henti dan rel urban.

“Kumpulan Prasarana kini turut menjadi pemacu dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pengangkutan awam termasuk pembangunan berasaskan transit, pengoptimum nilai-nilai komersial melalui aset-aset yang dimiliki di samping mengeksport kepakaran di bidang pakar runding untuk pengurusan projek serta operasi dan penyelenggaraan pengangkutan awam,” kata Masnizam, yang sebelum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Prasarana Integrated Management & Engineering Services Sdn Bhd (PRIME).

Katanya, cabaran terbesar untuk Kumpulan Prasarana sekarang bukan saja untuk meningkatkan jumlah pengguna sistem pengangkutan awam khususnya MRT, LRT, monorel dan bas henti-henti kendaliannya; tetapi memastikan efisiensi dalam perbelanjaan dan pelaburannya.

“Kita perlu mengoptima segala sumber-sumber yang ada di Prasarana, yang mempunyai kepakaran di pelbagai bidang khususnya kejuruteraan rel dan bas, pengurusan projek, komersial dan pentadbiran. Kepakaran ini sudah terbukti; bukan saja dengan keupayaan mengendalikan sistem pengangkutan awam berkelas dunia di negara ini; tetapi juga di pentas antarabangsa.

“Saya berkeyakinan penuh Kumpulan Prasarana mampu melangkah lebih jauh untuk menaikkan nama negara di pentas antarabangsa khususnya dalam dunia pengangkutan awam,” kata Masnizam, yang kini berada di Arab Saudi atas jemputan Presiden, Saudi Railway Organisation untuk membincangkan kolaborasi di dalam bidang rel.

Berusia 46 tahun, Masnizam telah berkhidmat di Prasarana lebih 12 tahun dari 2005 sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Setiausaha syarikat di Rapid KL. Beliau pernah memegang jawatan Ketua Bahagian Perolehan Kumpulan, Ketua Bahagian Komunikasi dan Pemasaran
Strategik dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Kumpulan Prasarana sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PRIME pada 2016.

Selain PRIME, Kumpulan Prasarana turut sekarang mempunyai lima anak syarikat lain – Rapid Rail Sdn Bhd untuk menggendalikan perkhidmatan dan bisnes rel urban, Rapid Bus Sdn Bhd untuk menggendalikan perkhidmatan dan bisnes rel urban, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) untuk perkhidmatan komersial dan pembangunan berorientasikan transit; Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd (PRAISE) untuk mengendalikan projek-projek infrastruktur besar yang baharu; dan Prasarana Integrated Solution and Management Sdn Bhd (PRISM) untuk menyediakan perkhidmatan insurans bagi perkhidmatan pengangkutan awam.

Pelantikan Masnizam sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana yang baharu telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) semalam (18 Januari) dan berkuat kuasa serta-merta untuk tempoh tiga tahun.

Beliau menggantikan Dato' Seri Azmi, telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember 2017.

Tuesday, January 16

Prasarana @MyRapidKL , LTA dilantik syarikat infrastruktur RTS JB-Singapura


Malaysia dan Singapura akan melantik syarikat infrastruktur (InfraCo) masing-masing untuk membiayai, membina, memiliki, menyelenggara dan memperbaharui infrastruktur awam dan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura di wilayah masing-masing.

Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) akan menjadi InfraCo Malaysia manakala Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura adalah InfraCo bagi negara tersebut.

Menurut kenyataan LTA, kedua-dua kerajaan secara bersama akan melantik syarikat operasi (OpCo) bagi memiliki, mereka, membina, membiayai, mengendali, menyelenggara dan memperbaharui aset operasi RTS seperti tren, landasan dan sistem.

OpCo akan membayar fi konsesi kepada kedua-dua negara dalam pertukaran hak untuk mengutip tambang daripada opeasi RTS, katanya.


“Tambang akan ditentukan secara komesial oleh OpCo dan tidak dikawal selia oleh kedua-dua kerajaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan LTA sempena majlis pemeteraian perjanjian RTS antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan LTA.

Pada majlis yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Singapura, Lee Hsien Loong itu, Malaysia diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan manakala Singapura diwakili Menteri Penyelaras Infrastruktur yang juga Menteri pengangkutan, Khaw Boon Wan.

Menurut LTA, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk tempoh konsesi pertama, yang meliputi jangka masa 30 tahun pertama operasi, OpCo dilakukan secara usahasama antara sebuah syarikat Malaysia dan sebuah syarikat Sinagpura.

“Kedua-dua kerajaan mengalu-alukan pertukaran surat antara Jabatan Perdana Menterti Malaysia, Prasarana Malaysia Berhad, LTA dan SMRT Corporation Ltd. yang menyatakan komitmen mereka untuk Prasarana dan SMRT membentuk syarikat usahasama (JV) menjadi OpCo bagi tempoh konsesi pertama.

“Syarikat-syarikat terbabit komited untuk menubuhkan JV menjelang 30 Jun 2018 dan menandatangani perjanjian konsesi pada 30 September 2018,” katanya.

Konsesi berikutnya akan dilakukan menerusi tender terbuka, jelas kenyataan itu.

Menurut LTA, RTS berkeupayaan membawa 10,000 penumpang sejam untuk perjalanan sehala, atau 60,000 pengguna menyeberangi Tambak Johor sejam untuk perjalanan sehala semasa waktu puncak.

Tambahnya, keupayaan membawa 10,000 penumpang sejam itu adalah lebih tinggi daripada keupayaan perkhidmatan Shuttle Tebrau kendalian Keretapi Tanah Melayu Bhd. KTM).

Katanya, perkhidmatan tersebut mempunyai purata kapasiti membawa 300 penumpang sejam sehala pada hari ini.

“Perkhidmatan Tebrau Shuttle akan dihentikan selepas enam bulan RTS memulakan perkhidmatannya, yang disasarkan pada Disember 2024,” katanya.

RTS yang menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan stesen Woodland North di Singapura akan menyeberangi Tambak Johor menerusi jambatan setinggi 25 meter.

Bagi kemudahan aliran penumpang, kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin akan ditempatkan di Bukit Chagar dan Woodland North dengan penumpang perlu melalui kemudahan tersebut di kedua-dua negara.

Wednesday, January 10

Tiada Kaitan Dengan Projek MRT @NajmuddinAbd


Kejadian struktur bangunan dalam pembinaan yang runtuh semalam, tiada kaitan dengan projek Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang, dengan Stesen MRT Cochrane antara stesen laluan itu, siap dan dibuka kepada orang ramai pada Julai lalu.


Tempat kemalangan yang mengorbankan seorang pekerja binaan warga Bangladesh itu, terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Cochrane, Jalan Cochrane. Tambahnya MRT Corp menafikan kenyataan dikeluarkan pihak lain yang mengaitkan substesen itu dengan Stesen MRT Cochrane atau projek MRT.

Katanya substesen itu terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Cochrane, dan menggunakan nama berdasarkan lokasi terbabit.

Substesen itu dipercayai bertujuan menaik taraf bekalan kuasa di seluruh kawasan. MRT Corp juga ingin menyuarakan rasa kesal terhadap insiden itu.

Tuesday, January 2

MANAGEMENT RESHUFFLE AT RAPID RAIL AS MUHAMMAD ISOM AZIS IS NEW ACTING CEO

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) today announced a management reshuffle at its subsidiary, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) following the departure of its Chief Executive Officer Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, who has joined MRT Corporation as Project Director for MRT Line 3.

Muhammad Isom Azis has been appointed as the Acting CEO of Rapid Rail; with his previous position of Chief Operating Officer of MRT Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) Line to be filled by Abdul Hadi Amran from LRT Ampang/Sri Petaling Line.

From left Dato Ir Zohari Sulaiman and En Muhammad Isom Azis

“Hadi’s position as the Chief Operating Officer will be filled by Mohd Ariffin Idris, who was previously the Chief Operating Officer of KL Monorail,” Prasarana said in a statement here today.

Previously the Head of Operations for MRT SBK Line, Azmi Mohd Zain has been promoted as the Chief Operating Officer of KL Monorail. In his absence, the post is filled by Puan Sofiah Hussien, who was the Head of MRT SBK Line Operation Control Centre.

Rapid Rail’s other service network – LRT Kelana Jaya Line is headed by Ismail Abdullah, the statement added.

Leaving the organization after more than 22 years of service including the period during the days of Rapid KL, Zohari said he was deeply honoured to be part of Prasarana and helped to contribute in elevating the standard of public transport services in Malaysia to world-class standard.

“At Prasarana, we are mandated by the Government to help transform the public transport system in Malaysia with emphasis on network integration, providing connectivity and extending the coverage of the urban public transport services. I am happy to be able to provide my service in various capacities under Prasarana,” said Zohari, who had also served as Director of Prasarana’s Infrastructure Services Division, Chief Executive Officer of Rapid Bus; and Chief Executive Officer of Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd (PRAISE).

Prior to establishment of Prasarana in 2002, Zohari, who has been involved in the rail industry for more than 36 years in total including his KTM days, was also the General Manager of Engineering and Operations for Ampang and Kelana Jaya Line under Rapid KL.

On his new appointment, Zohari said he was looking forward to his new assignment; adding that managing the MRT3 project would be very special for him; it would also be more challenging as it would be far bigger than the Bus Rapid Transit – Sunway Line Project and the LRT Line Extension Project (LEP) that PRAISE delivered in 2015 and 2016 respectively.

While the BRT-Sunway Line is Malaysia’s first elevated bus transit system and operated fully by electric buses, the LEP involved the extension of both the Sri Petaling and Kelana Jaya LRT networks; merging both lines at the integrated Putra Heights station.

In his comments, Muhammad Isom thanked the leadership of Prasarana for the confidence and trust in his capability to lead Rapid Rail; adding that he was proud and honoured to continue the excellent record of his predecessor, Dato’ Ir. Zohari.

“I am humbly delighted; and it is indeed an incredible honor to have the opportunity to lead Rapid Rail through this exciting phase of its journey. I look forward to all of the excitement and challenges that lie ahead. I thank Prasarana for this opportunity. l look forward to meeting employees, leaders,  customers and other stakeholders and to be working with them to achieve further success.

“In maintaining the high level of achievements left by our former CEO, we will need to strive to work together with all subsidiaries to achieve Prasarana main goals. We can only make progress on this journey when all of us are driving together in the same direction. This is achievable by working together as a team.

“The main focus of Rapid Rail will be to further promote its services as a cool, convenient and safe service for city folks and woo in higher ridership especially outside the peak hours. We will continue to work closely with our stakeholders especially amongst the private sector to inject more life and to rejunavate our stations and our services,” Muhammad Isom, who has more than 30 years working experience including over 21 years’ experience in Railway Industry especially on rail projects.

A multi-disciplinary Railway Project Manager with hands-on experience in Project and Programme Management, System Integration, Maintenance Management, Depot design and installation and Systems Engineering, Muhammad Isom has wide experience in the complete manufacturing process of Electric Multiple Unit, Light Rail Vehicle, Mass Rapid Transit train sets including on the systems and Testing and Commissioning.

“I cannot imagine a more important and exciting time to lead Rapid Rail,” added Muhammad Isom.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive