Indri Yulia Erlanita dan Amalia Hasanah Nur Ahlina bukan sebarang cewek dari Jakarta, Indonesia. Dua dara pingitan ini adalah pemandu tren MRT Jakarta, yang bakal mula beroperasi tahun depan.
Secara keseluruhan, MRT Jakarta setakat ini mempunyai 90 pemandu tren dan lima daripada mereka adalah pemandu tren wanita termasuk Indri dan Amalia, yang hari ini menamatkan program latihan Pemandu Tren Metro Profesional, yang dikendalikan oleh Akademi Rel Rapid Rapid Rail.
Bersama-sama 10 pemandu tren lelaki, mereka adalah daripada Kumpulan 4 yang mengikuti latihan dengan Rel Akademi daripada 8 kumpulan di bawah kontrak yang ditandatangani tahun lepas antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Akademi Perkeretaapian Indonesia (API), yang menguruskan program latihan untuk para pemandu tren berkenaan.
Gambar kenangan para pelatih dengan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Khairani (duduk lima dari kiri) dan para pegawai tinggi Rapid Rail dan tenaga pengajar Akademi Rel.
Berusia 23 tahun dan berasal dari Lampung, Sumatera, Indri berkata beliau amat berbangga untuk memilih karier sebagai pemandu tren dan tidak merasa kekok untuk bergandingan dengan rakan-rakan kerja lelaki.
Katanya, sebagai pemandu tren perkhidmtan MRT Jakarta, mereka menjadi perintis kepada pembangunan rel urban untuk Indonesia sekali gus diharapkan untuk menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi dan aktiviti bisnes di Jakarta dan Indonesia secara menyeluruh.
“Sebagai pemandu wanita, kami juga sedar bahawa kami mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membuktikan keupayaan kaum wanita di bidang ini,” kata Indri, yang berharap ramai wanita akan tampil untuk memilih karier dengan MRT Jakarta khususnya sebagai pemandu tren.
Beliau juga berharap rakyat Indonesia khususnya warga kota Jakarta akan menyokong projek MRT Jakarta, yang beliau lihat akan mencetus transformasi dalam sistem pengangkutan awam dan membantu menyelesaikan masalah trafik di Indonesia.
“Saya berharap seluruh rakyat Indonesia akan mendokong kami sebagai agen transformasi untuk sistem pengangkutan awam, yang kita sudah lihat di Malaysia; tetapi masih belum dilihat di Indonesia dan Jakarta,” katanya.
Menyatakan rasa gembira beliau untuk mengikuti program berkenaan, Indra memuji program latihan yang dilaluinya dengan perkhidmatan LRT Ampang khususnya peluang memandu sendiri tren.
Berasal dari daerah Boyolali, Jawa Tengah, Amalina, 23, turut berkongsi kegembiraan belajar di Akademi Rel khususnya mempraktikkan segala yang dipelajarinya ketika mula menyertai MRT Jakarta tahun lepas.
“Kita di sini berkesempatan untuk mempraktikkan apa yang dipelajari. Di Indonesia, kami belum berpeluang untuk belajar; tetapi semuanya ada di sini. Saya harap dapat menggunakan segala ilmu yang dipelajari untuk memberi perkhidmatan yang terbaik di Indonesia nanti,” katanya.
“Harapan saya supaya projek MRT Jakarta ini tidak akan berhenti di sini; tetapi dikembangkan ke seluruh Indonesia untuk manfaat seluruh masyarakat Indonesia,” kata Amelina.
Mengulas mengenai program latihan berkenaan, Ketua Jabatan Pengurusan Projek untuk Operasi dan Penyelenggaraan, MRT Jakarta, Encik Masum Asim gembira dengan keputusan API untuk memilih Prasarana dan Akademi Rel.
Katanya, pemilihan Prasarana menepati ekspektasi dalam menyediakan program latihan yang mantap kepada staf MRT Jakarta.
“Maklum balas daripada tiga kumpulan lepas dan kumpulan yang menamatkan latihan hari ini adalah amat baik sekali. Prasarana bukan sekadar memberi latihan tetapi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan ikhlas. Terlalu banyak yang dipelajari oleh mereka,” katanya.’
Menurut beliau, pihaknya kini dalam perancangan dengan Prasarana untuk meluaskan latihan kepada staf daripada bidang-bidang lain dalam operasi dan penyelenggaraan MRT Jakarta.
Sijil-sijil telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Khairani Mohamed. Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang, Abdul Hadi Amran dan Ketua Akademi Rel, Zaki Mohamad.
1 comment:
Great reaad thanks
Post a Comment