Monday, June 8

@NajibRazak BERBANGGA DENGAN @MyRapidKL MELEBARKAN SAYAP DI BUMI AMBIA... @azmiaziz60


Datuk Seri Najib Razak bergambar di hadapan Makkah Metro yang bakal digunakan jemaah haji dari Arafah ke Mina.


Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan mengendalikan operasi perkhidmatan kereta api Metro Line menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina mulai musim haji 2015, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, syarikat Malaysia itu menggunakan tenaga kerja lebih 7,000 pekerja dengan 300 daripadanya adalah rakyat Malaysia.

Katanya, beliau berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas penganugerahan kontrak mengendalikan perkhidmatan pengangkutan itu kepada Prasarana.


Najib menyatakan penghargaan itu dalam pertemuannya dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud selama 30 minit di Istana As-Salam.

Semasa sidang media  Najib berkata Prasarana dilantik sebagai pengendali untuk Jeddah-Metro Jeddah dan berharap dapat mengendalikan perkhidmatan Monorel pada masa akan datang.

Katanya, Prasarana juga sedang meneliti peluang dalam penyediaan infrastruktur di Qatar sebagai persediaan negara itu mengendalikan pertandingan bola sepak Piala Dunia pada 2018


Aksi bersahaja Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.ketika menaiki Metro Mekah.

Pada pertemuan itu, Najib diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib berkata, beliau juga menyuarakan hasrat Tabung Haji kepada Putera Mahkota, Mohammed Naif al-Saud berhubung usaha membangunkan pusatnya di Makkah dan Madinah.


Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata sebagai pengendali bayangan, Prasarana akan menyediakan perkhidmatan rundingan dalam bidang pengendalian dan penyelenggaraan kepada Syarikat Transit Rel Massa Makkah semasa pembinaan Fasa Pertama Makkah Metro.

Pembinaan itu meliputi dua jajaran dengan 22 stesen di sepanjang 45.1 kilometer (km), termasuk 24.9 km rangkaian rel bawah tanah.

Sunday, June 7

DAP JANGAN CABAR ORANG MELAYU................?


Ini bakal menambah garam pada luka dihati Ketua Menteri Paling malang Di Pulau Pinang. Setelah gagal memperdayakan jemaah PAS. Hadi Awang hari ini bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Sabah.

Kini DAP sudah tidak ada banyak pilihan. Iktiraf kepimpinan ulama PAS dan belajar menghormati adab politik parti itu atau secara terbuka menghasung PKR supaya menyebelahinya dalam perimbangan pengaruh dalam Pakatan Rakyat.

Jika DAP masih percaya formula Pakatan Rakyat adalah strategi politik terbaik untuk menjadikan impiannya menubuhkan kerajaan Malaysia ke 14, ia perlu menghakis rasa kurang selesa dan melembutkan pandangan serongnya terhadap PAS.

DAP harus insaf walaupun pelbagai strategi digunakan untuk mempengaruhi PAS, khususnya pemimpin muda dan profesionalnya, supaya memahami pemikiran politik pragmatiknya, namun PAS tetap PAS.

Jemaah PAS memang amat cemburu dan sensitif apabila ada pihak lain cuba mengambil tempatnya sebagai autoriti mentafsir pemikiran agama Islam di negara ini. Saingan paling dekatnya ialah Umno.

Bagi ahli dan penyokong tegar PAS, wibawa menafsir dan menterjemah maksud gerakan Islam di Malaysia ialah hakmiliknya sahaja. Sebab itu, sebarang percubaan, walau dari kalangan ahli, yang cuba mengubah status quo ini, akan ditentang.

Mohamad Sabu walaupun menjadi ayam tambatan PAS untuk berhujah dan berceramah yang boleh merobek maruah dan pengaruh lawan pun tidak boleh mengubah wala’ penyokong PAS kepada ulama.

Hatta Ustaz Haji Ahmad Awang walaupun pernah memimpin Persatuan Ulama Malaysia dan memikul tanggungjawab sebagai Naib Presiden PAS pun tergamak disisihkan dari saf kepimpinan, kerana dilihat “mengancam” kedudukan ulama.

Begitu juga Salahuddin Ayub yang sudah agak sinonim dengan kepimpinan pemuda serta dua penggal menjadi Naib Presiden. Bila ada riak bahawa beliau juga mungkin terpalit dengan usaha mencabar kedudukan ulama, beliaupun diketepikan.

Persepsi yang sama diserkup ke atas peranan “panglima-panglima” PAS seperti Hanipah Maidin, Abdul Khalid Samad dan juga Husam Musa. Kesemuanya ditolak penyokong PAS keluar dari saf kepimpinan parti itu.

Sehubungan itu, walaupun ahli-ahli PAS amat memahami dan kenal pendirian pemimpin seperti Dr Hatta Ramli yang sudah sekian lama diterima baik untuk menjadi ahli parlimen di Kelantan tanpa banyak soal, beliau tetap “dihukum” kerana bersubahat dengan puak yang mahu menjatuhkan ulama.

DAP harus menerima hakikat bahawa ideologi perjuangan PAS disandarkan pada keyakinan pada isi kandungan al Quran dan Sunnah yang memberi “lesen” dan “kuasa” untuk memimpin pemikiran politik muslim di Malaysia.

“Kedaulatan” dan tempat istimewa ulama inilah sumber kekuatan dan kewujudan PAS. Kepercayaan sepenuhnya diberikan kepada ulama untuk menafsir dan menghuraikan apakah sebenarnya ajaran Islam.

Tuduhlah itu sikap taksub kepada ulama, tetapi dalam kitab politik PAS itulah jalan pemikiran dan pengurusan politik yang betul. Sebab itu, mereka menerima tanpa banyak soal dan ragu menu atau syor mengundi mengikut blok.

Kini PAS sudah mengisytiharkan bahawa ia tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Ini adalah cabaran langsung kepada DAP bahawa kali ini PAS bersungguh untuk “memimpin” pemikiran dan halatuju politik pakatan itu pula.


Besar padahnya jika DAP masih bertegas mahu mencabar budaya dan carahidup politik PAS ini. DAP harus insaf yang mengizinkan dan membuka ruang banyak kemenangan bagi DAP dan PKR ialah sumbangan penyokong PAS tegar ini.

Mereka taat pada pemimpin walaupun mereka terpaksa memangkah calon DAP dan PKR yang bukan sahaja tidak menyokong matlamat perjuangan mereka seperti hudud, malah ada kala mempersendakannya.

Jika pemimpin-pemimpin DAP sangat alergik atau ada alahan terhadap jatidiri PAS ini, ia harus mempertimbangkan menjauhkan diri dari PAS dan mungkin juga Pakatan Rakyat sendiri tetapi bukan sebaliknya.

Jika tidak pilihan yang ada ialah berkomplot dengan PKR untuk membuat PAS rasa tidak selesa dalam Pakatan Rakyat dan ini mungkin “menggalak dan merangsang” PAS melangkah keluar pakatan itu.

Bagaimanapun jika DAP cuba membunuh “karakter atau perwatakan” politik PAS sama ada secara bersendirian ataupun bergabung dengan PKR, ia akan menjadi pemicu kepada banyak masalah politik di negara ini.

Oleh kerana terlalu menatang sokongan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina, bagai minyak yang penuh, DAP akan meruncingkan imbangan hubungan kaum Melayu dan umat Islam dengan bukan Islam.

Semangat muktamar yang berakhir Sabtu mempamerkan keyakinan PAS bahawa label pejuang Islam adalah miliknya. Mungkin yang boleh menyainginya ialah Umno. Tetapi banyak kalanya, Umno kurang bermaya menghadapi hujah agama yang digunakan PAS.

Umno terlalu kerap terperangkap dalam kesibukan “memerintah dan mentadbir” negara sehingga kurang memberi tumpuan kepada isu dan sensitiviti agama.

Mungkin ini kerana ia harus berhadapan bukan sahaja dengan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat, malah semakin kerap terpaksa menyemak strategi menguruskan harapan dan kecenderungan bukan Islam dalam Barisan Nasional sendiri.

Muktamar ke-61 PAS bukan sahaja mengukuhkan kedudukan ulama dalam politik PAS tetapi ia semakin memarakkan pengaruh ulama dalam politik Malaysia.

Malangnya di peringkat ini DAP, terutama Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, langsung tidak mahu mengambil iktibar bagaimana pemimpin profesional PAS yang akrab dengannya “dihukum” oleh akar umbi PAS.

Sebaliknya Guan Eng bertindak penuh emosi. Beliau mahu wakil PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang supaya berundur.

"Wakil PAS tidak mempunyai pilihan lain kecuali meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan agensinya serta ahli majlis perbandaran dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

"Walaupun saya menikmati hubungan kerja yang mesra dan baik dengan kebanyakan wakil PAS, saya faham mereka perlu meletakkan jawatan atas sebab etika dan moral.

"Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan daripada segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh saya dalam kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung parti, apabila Muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP," kata Lim dalam satu kenyataan.

Ini menyinggung perasaan mantan Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang mengumumkan akan meletakkan semua jawatan yang dipegangnya dengan mandat kerajaan negeri Pulau Pinang susulan usul Dewan Ulama itu.


“Oleh itu (untuk) memenuhi hasrat usul itu, saya memulakan terhadap diri saya. Minggu ini saya akan letak jawatan di Pulau Pinang sebagai ahli Lembaga Pengarah Air dan Lembaga Halal Hub  Pulau Pinang,” kata beliau dalam ucapan penggulungan di Muktamar PAS ke 61.

“…sebab saya patuh resolusi ulama, kalau tak patuh kata saya lawan ulama. Maka saya mulakan dalam diri saya, diikuti rakan-rakan lain di Pulau Pinang dan Selangor. Jangan bimbang kita akan kuat bila berseorangan,” kata beliau seolah menyindir.

Namun hakikatnya ialah, walaupun usul Dewan Ulama PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP diterima oleh muktamar tanpa bahas tetapi ia belum muktamad kerana perlu dibahas Dewan Syura Ulama terlebih dahulu.

Nampaknya rumusan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ada asasnya. Bahawasanya hayat Pakatan Rakyat sudah sampai ke penghujungnya dan apa yang tinggal adalah membaca talkin untuk pakatan pembangkang itu.

Namun sandaran analisisnya amat menarik.

“Apa yang berlaku pastinya adalah kemenangan untuk ahli strategi dan perencana Umno dalam konspirasi mereka memecah dan menghancurkan PR dengan umpan kerajaan perpaduan di antara Umno serta PAS  dan pelaksanaan hudud di Kelantan.”

Thursday, June 4

TAHNIAH PAS BIJAK DIDALAM MENGATUR LANGKAH DIDALAM POLITIK MALAYSIA.....


Bak kata orang bijaksana, usah dikejutkan raksasa yang sedang lena; buruk padahnya. Begitu juga dalam konteks politik PAS, usaha dicabar ulama yang sedang munajat; goncang iman dibuatnya.

Bagi ulama, berpolitik untuk membolot kuasa bukanlah segala-galanya dalam usaha memupuk dan membentuk saf jemaah yang tersusun ‘bagai sebuah bangunan yang kukuh’.

Berpolitik ialah untuk menginsafi diri sebagai hamba Allah yang memikul tugas untuk menguruskan keperluan duniawi ummah agar lebih selesa dan tekun menyembah Allah.

Semangat politik Islam juga bersandarkan semangat naziran dan basyiran – membawa khabar gembira dan mengingatkan di mana sempadan maksiat dan dosa –tanpa perlu berdiang pada kuasa memerintah sahaja.

Nyata ulama PAS tidak gopoh menyalur dan menyebarkan kefahaman ini pada semua peringkat ahli dan penyokongnya dan bahawa keutamaan mesti diberikan pada soal memelihara wala’ atau kesetiaan pada pemimpin.

Profesional sangka PAS boleh diubah-ubah

Inilah yang sedang berlaku dalam PAS. Ada profesional yang berasa bahawa apabila pintu keahlian dibuka seluas-luasnya kepada mereka, ia dianggap sebagai lesen untuk berbuat apa sahaja untuk mencorakkan jemaah; termasuk menentukan ruang kebebasan dengan pihak luar yang tidak Islami.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menghuraikan gejala kurang sihat ini apabila berkata, ketika rakan komponen Pakatan Rakyat, DAP giat menyerang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ada pemimpin PAS bersikap sambil lewa dan tidak bersungguh mempertahankan presiden.

"Apa yang berlaku hari ini kerana tiada kesetiaan. Kita setia kepada orang lain. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Datuk Dr Mahfodz dan Datuk Dr Haron, kita mesti setia kepada parti dan ketua parti. Dalam syarat tahaluf siyasi juga sebut untuk setia.

"Hari ini apabila DAP serang Presiden, ada yang pandang remeh dan cuba beri alasan mengapa DAP serang Presiden. Mereka tak pertahankan Presiden. Ini salah, bercanggah dengan konsep organisasi dan ia mesti diperbetulkan," katanya.

Sejajar dengan pendirian ini, pemimpin-pemimpin Dewan Ulama menunjukkan contoh betapa semua pimpinan dewan itu menang tanpa bertanding.

Bersandarkan perpaduan utuh ini Dewan Ulama dengan tegas seperti pernyataan Allah tanpa kalimah bismillah dalam pembukaan surah At Taubah, meluluskan usul memutuskan hubungan langsung dengan DAP.

Susuk tubuh Hadi diserang, kiri dan kanan

Haji Hadi diserang hebat DAP sejak beliau menyatakan pendirian tegasnya bersabit isu Langkah Kajang, tahun lalu. Serangan dan kritikan terhadap Ahli Parlimen Marang itu digandakan apabila beliau memimpin inisiatif melaksanakan hudud di Kelantan.

Hadi juga dituduh bersekongkol dengan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam usaha mewujudkan kerajaan perpaduan demi merealisasikan hukum hudud di Kelantan.

Situasi berkenaan mewujudkan perselisihan pendapat yang begitu 'meruncing' apatah lagi ia terzahir menerusi kenyataan pemimpin tertentu sehingga memberi gambaran ada dua puak dalam PAS –pro-ulama dan pro-Pakatan.

"Dalam Islam, malah PAS ada ketuanya, maka automatik kena wala'. Apabila menjadi ahli PAS dan mengisi borang PAS ada (konsep) baiah, wala' kepada presiden. Hal itu amat penting," tokokPemangku Ketua Dewan Ulama,  Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

"Ia bukan perkara baru dan sudah ada dalam perlembagaan PAS. Usul kepimpinan ulama bukan kita yang minta sebaliknya dibawa oleh Dewan Pemuda pada tahun 1982.

“Sekarang ini timbul isu kepimpinan ulama secara khususnya Majlis Syura Ulama. Apa yang kita lakukan sekarang untuk mengekalkan kepimpinan ulama," ujar bekas Pesuruhjaya PAS Johor itu.  

PAS letakkan harapan perpecahan dalam parti tamat selepas muktamar selesai

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama, Nasruddin Hassan menyifatkan perpecahan itu hanya 'sementara' dan hangat apabila menjelang pemilihan.

"Mungkin nampak perbezaan antara dua kumpulan itu menjelang musim pemilihan. Itu normal. Saya yakin selepas daripada perwakilan memberi mandat kepada kepimpinan baru, saf akan kembali bersatu dan fokus kepada agenda perjuangan seperti sedia kala.

"Dan inilah yang kita alami sebelum ini. Ia bukan perkara baru. Dalam muktamar lalu pun, menjelang pemilihan keadaan akan panas, selepas pemilihan akan ada agenda yang kena fokus dan boleh bertolak-ansur," ujarnya.

Dalam pemilihan kepimpinan Dewan Pemuda, calon-calon yang cenderung pada pendirian dan pemikiran politik ulama menang besar semalam. Seperti dijangka, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berjaya merampas kerusi Ketua Dewan daripada Suhaizan Kaiat.

Nik Abduh mendapat 429 undi sementara Suhaizan hanya mendapat 262 undi.
 
Penyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berjaya mempertahankan kerusi itu daripada cabaran Raja Ahmad Iskandar Raya Yaacob.

Khalil mendapat 435 undi sementara Raja Iskandar berjaya mengutip 257 undi.

Dominasi ulama ini dijangka akan berterusan dalam pemilihan pucuk pimpinan parti hari ini, Khamis, 4 Jun 2015.

Persoalannya sekarang, adakah golongan yang agak “mabuk kuasa memerintah” dan sekaligus mahu menyisihkan pengaruh ulama dalam tahaluf dengan parti luar mengikut selera politik mereka mahu mengambil iktibar daripada selera dan pendirian akar umbi PAS sekarang?

Atau, mereka akan bertindak dengan rasukan ego dan meneruskan usaha  mencerna idea “politik Islam” mereka yang setara dengan selera PKR dan DAP dengan membangun wadah baru atau meresap dalam sistem politik bukan Islam?

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive